Jumaat, 5 Jun 2015

Atasi penyakit lupa, baca al-Quran

SEJAK telefon bimbit dicipta, ramai betul manusia, termasuk dalam kalangan kita, memilih untuk lupa nombor telefon.

Kalau nombor telefon sendiri pun sudah lupa, nombor telefon orang lain apa lagi.

Sebab itu apabila telefon bimbit hilang atau tersalah letak, kebanyakan kita jadi tenggelam punca, seperti kucing hilang anak.

Dunia tiba-tiba jadi gelap; tiada siapa dapat hubungi kita, tiada siapa yang kita dapat hubungi. Kosong dan sepi.
 
 

Lagilah dalam era WhatsApp ini, macam-macam maklumat dan video tentang perkara terbaharu yang berlaku di seluruh pelosok dunia berpindah dari satu telefon pintar ke telefon pintar dengan laju dan meluas.

Cerita pasal lupa, saya ada seorang kawan, orangnya berpendidikan tinggi, tetapi tentang letak barang-barang, memang dia kaki lupa.

Setiap tahun, menurut cerita kawan-kawan yang rapat dengannya, dia kehilangan lima atau enam telefon bimbit.

Sudah kira-kira 10 tahun saya tidak jumpa dengannya. Bayangkan, sudah berapa banyak telefon bimbit agaknya yang dia hilangkan dalam tempoh itu.

Pernah dia dihantar ke lapangan terbang oleh isterinya. Apabila keluar dari kereta, dia pakai kot dan terus naik kapal terbang, tanpa menyedari dia lupa tukar selipar jepun dengan kasut. Bayangkan betapa malunya dia sebaik sahaja berada di dalam kapal terbang dalam keadaan yang sangat pelik itu.

Sampai destinasi, dia beli kasut dan berjalan dengan yakin dan gembira. Tapi dia tidak sedar, sekejap lagi bala lain pula datang. Apabila dia singgah kedai untuk makan roti canai dan teh tarik, dia tertinggal pula kot yang disangkutnya di kerusi kedai.

Memanglah lupa itu penyakit manusia. Bukan manusia kalau tak lupa, Buktinya? Apa yang kita makan dan apa yang kita pakai tiga hari lalu pun payah kita nak ingat. Apa yang kita cakap dua tiga minit tadi pun kita sudah lupa. Ada yang sanggup bertegang urat menafikan apa yang baharu diucapkan.

Kalau ada yang mahu mendakwa dia tidak pernah lupa, itu adalah suatu keajaiban.

Semalam, saya bertemu dengan seorang yang sudah berusia lebih 90 tahun. Penglihatannya sudah kabur, pendengarannya juga hampir pupus. Anda jerit di telinganya pun sudah tidak berguna lagi.

Tetapi yang menarik, ingatannya masih kuat dan dia sihat. Dia masih kenal dan ingat nama orang di kelilingnya dan boleh ingat kisah-kisah lampau. Alhamdulillah.

Kata kawan-kawan, dia banyak kayuh basikal. Sejak remaja hingga tua dia naik basikal sahaja ke hulu ke hilir.

Dia tiada pilihan kerana dia tidak tahu tunggang motosikal dan pandu kereta, tetapi syukurlah itu membantunya menjadi sihat, dengan izin ALLAH.

Tentang ingatannya yang tajam itu tidak pula saya banyak periksa, tetapi saya difahamkan, kalau anda banyak membaca al-Quran, ingatan anda menjadi tajam.

Sebab itu kata orang, mereka yang hafal al-Quran mudah sahaja lulus peperiksaan dalam mata pelajaran walaupun masa yang diberi untuk belajar suntuk. Wallahualam.

Tapi berdasarkan kekuatan dan hikmah al-Quran itu sendiri, ia bukanlah satu perkara yang mustahil pun.

Al-Quran diketahui sebagai sumber yang tenteramkan jiwa, sebagai penawar dan penyembuh penyakit, sebagai pembentuk kepada akhlak dan macam-macam lagi.

Jadi apalah yang mahu dihairankan jika dengan kekerapan membaca al-Quran ingatan seseorang itu boleh menjadi lebih tajam dan tidak mudah lupa atau nyanyuk.

Saya terbaca tentang otak daripada sebuah buku Inggeris. Katanya apabila kita cerdaskan fikiran, ia akan mencergaskan benda lain dalam tubuh kita, daripada kulit hingga organ bergerak dengan baik untuk memberi tenaga dan keceriaan.

Jadi, bagaimana anda boleh cerdaskan otak? Katanya, itu sangat mudah. Anda hanya perlu kreatif dan melakukan pelbagai senaman dan kegiatan setiap hari.

Pergerakan yang berbeza-beza, katanya, akan bantu membina kekuatan fikiran anda.

Dalam buku mengenai ketajaman fikiran itu, ia juga mencadangkan anda tidak menggunakan GPS dan cuba hafal nombor telefon dan alamat e-mel untuk menguatkan ingatan. Atau anda boleh sahaja belajar bertutur apa-apa bahasa asing.

Dalam Islam, terdapat beberapa perkara yang boleh dibuat untuk meningkat dan mencerdaskan daya ingatan.

Antaranya, konsisten membaca al-Quran,  menggosok gigi, berpuasa sunat dan meminum madu.

Juga disebut, perkara-perkara yang boleh membawa kepada lupa ialah maksiat, kegelisahan, keterlaluan dalam kesedihan kerana memikirkan urusan dunia dan sibuk bekerja untuk urusan duniawi. Wallahualam.
 http://pastiislam.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda Berkenan .

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...