Mempunyai
sahabat yang “sekepala” sememangnya menyeronokkan. Apatah lagi kawan
yang banyak persamaan dengan kita dalam pelbagai perkara. Namun,
sebenarnya bukan kawan yang “sekepala” saja yang kita perlukan dalam
hidup.
Menurut pakar psikologi dan perunding perhubungan bebas, Cherie
Burbach dari Amerika Syarikat, ada lima jenis kawan dengan ciri
tersendiri yang kita perlukan dalam kehidupan.
Lima jenis kawan ini dapat membuatkan kita berasa positif tentang
kehidupan dan membantu kita menjadi seorang individu yang lebih baik.
Malah mereka juga boleh membuatkan kehidupan menjadi lebih menarik,
pemikiran menjadi luas juga membantu kita memahami dan mengharungi waktu
sukar. Senang kata dunia menjadi lebih relevan dan indah bila berkawan
dengan mereka.
Si Penghubung
Kawan yang aktif bersosial sesama rakan, sering bertanya khabar dan
tidak ego untuk berhubung sangat diperlukan supaya kita tidak selalu
rasa bersendirian. Mereka ini bagaikan bunga api dalam persahabatan yang
menceriakan suasana. Si penghubung juga sering memperkenalkan kawan
mereka kepada kita dan rangkaian kenalan kita pun menjadi semakin meluas
dan ia bagus untuk hubungan kita sesama rakan dan mungkin juga baik
untuk kemajuan karier.
Namun, jangan selalu mengharapkan mereka saja, kita juga perlu usaha bersama dalam mengukuhkan jalinan silaturahim itu.
Berpandangan berbeza
Pasti bosan jika kita mempunyai kawan yang pemikiran dan pandangannya
sama saja seperti kita. Seorang rakan yang mempunyai pandangan berbeza
dalam kehidupan membolehkan kita melihat sisi lain dalam sesuatu perkara
itu. Mereka membuka mata dan minda kita mengenai banyak perkara atau
isu yang kita tidak pernah terfikir sebelum ini.
Mereka juga meluaskan perspektif kehidupan kita dan memberi kita
anjakan untuk berfikir dengan lebih mendalam lagi dalam banyak hal.
Bersetuju atau tidak itu tidak penting, apa yang penting adalah kita
menerima mereka seadanya dan belajar sesuatu yang lain sesama sendiri.
Kawan dekat
Di zaman teknologi hebat ini memang kita masih boleh berhubung dengan
rakan walaupun dia ratusan batu jauhnya. Namun sebagai manusia biasa
terutama yang masih bujang, kita masih memerlukan kawan yang kita boleh
berjumpa dan berinteraksi secara peribadi.
Bila dalam kesenangan kita tidak lupakan mereka dan bila mengalami
kesusahan boleh kita meminta bantuan mereka untuk ada di sisi kita. Jika
dijaga persahabatan ini pasti berkekalan lama.
Si sempoi
Seorang kawan yang “sempoi” memahami apabila kita berlawak bodoh
dengan mereka begitu juga sebaliknya. Mereka tidak cepat kecil hati dan
kita juga tidak mudah terasa dengannya. Mereka boleh dibawa bergurau dan
sering membuat kita ketawa.
Merekalah yang kita berhubung jika kita tertekan dan ingin melupakan
seketika masalah yang membelenggu diri untuk kita terus ceria.
Positif dan matang
Ada bezanya kawan positif dengan berpura-pura. Kawan yang semula jadi
positif dan matang mempunyai pandangan yang seimbang tentang baik dan
buruk. Mereka realistik dan memberi nasihat yang tidak hanya untuk
menyedapkan hati dan rasa kita namun dia bercakap benar tanpa mengguris
perasaan kita.
Kawan begini sabar mendengar masalah dan keraguan kita dan sering
menyuruh kita berfikir positif malah memberikan semangat berterusan
untuk kita. Cubalah mencontohi mereka tentunya kita juga lebih positif
dan matang dalam kehidupan.
mymetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan