Hangat diperkatakan ketika ini iaitu
Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). Malaysia adalah antara
negara yang bersetuju dan telah menandatangani perjanjian TPPA ini.
Pelbagai reaksi rakyat Malaysia mengenai perjanjian ini. Ada yang
bersetuju dan ada juga yang tidak bersetuju dengan perjanjian TPPA ini.
Malaysia termasuk 11 negara lain iaitu
Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New
Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam mencapai persetujuan dalam
rundingan perjanjian perdagangan bebas, Perjanjian Perkongsian
Trans-Pasifik (TPPA) yang akan menghapuskan sekatan dan memudahcarakan
prosedur perdagangan di semua negara anggota.
Apa itu TPPA dan kesan jangka panjang pada ekonomi negara – ikuti ulasan Prof Dr Agus Yusoff
SAYA menerima banyak permintaan dari
sahabat supaya menulis tentang Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau
Trans-Pacific Partnership Agreement yang akan ditandatangani pada
Oktober nanti. Pada mulanya saya tidak mahu menulis tentang isu ini
kerana mahu serahkan kepada pakar ekonomi untuk menulis mengenainya.
Tetapi apabila tidak ada ulasan yang saya harapkan, maka saya menulis
juga untuk memberi pencerahan kepada kawan-kawan supaya kita semua tahu
tentang inti Perjanjian ini dan kesannya kepada kita.
TPPA adalah perjanjian multilateral
terikat yang melibatkan negara Asia Pasifik seperti Australia, AS, New
Zealand, Kanada, Mexico, Chile, Brunei, Malaysia dan Vietnam. TPPA ini
alah tentang liberalisasi pasaran di mana negara ahli bebas berniaga di
pasaran negara ahli secara terbuka sesuai dengan konsep globalisasi.
Masalahnya dengan TPPA ini ialah semua
perbincangannya dibuat secara rahsia dan semua teks perbincangan adalah
rahsia sehinggalah selepas empat tahun perjanjian dimeterai. Ini
bermakna perjanjian TPPA ini meletakkan rakyat dalam kegelapan, sesuatu
yang cukup pelik dalam sebuah dunia terbuka tanpa sempadan.
Apabila ditanya mengapa dirahsiakan,
jawapan kerajaan adalah standard: Perjanjian ini baik untuk negara
kerana memudahkan barangan kita untuk memasuki pasaran luar.
Persoalannya, jika TPPA begitu bermanfaat, mengapa teks perjanjian yang
sedang dirundingkan tidak dibentangkan untuk pengetahuan umum? Mengapa
perlu berahsia?
Saya tanyakan hal di atas kerana
terdapat beberapa klausa dalam TPPA ini yang akan memberikan kesan yang
cukup besar kepada rakyat dan negara dan cukup membimbangkan saya. Untuk
maklumat ringkas, di bawah ini saya perturunkan beberapa kesan negatif
yang perlu sangat kita ketahui:
i. Hampir 80% harga ubat akan menjadi
mahal, sehingga mencecah 1000% dari harga sekarang. Ini kerana ubat
generik yang lebih murah tidak boleh dijual lagi kerana Malaysia terikat
menggunakan ubat patented (asli) yang dihasilkan syarikat famarkeutikal
dari luar negara. Kesannya akan menyukarkan pesakit berpendapatan
rendah dan sederhana kerana kos untuk mendapatkan ubatan menjadi sangat
tinggi. Bayangkan jika seorang guru menghidap penyakit barah yang
memerlukan ubat bernilai RM7000 sebulan, mampukah mereka untuk membayar
kos perubatan semahal itu? Apakah nasib ramai rakyat di negara kita
nanti?
ii. Syarikat gergasi akan bebas
berniaga di negara kita menyebabkan usahawan-usahawan kecil terpaksa
bersaing dengan syarikat gergasi dari luar negara. Ini seolah-olah
meletakkan kepentingan syarikat asing mengatasi kepentingan rakyat kita.
Ini juga seperti memberi kuasa kepada negara maju seperti AS, Singapura
dan Australia untuk mencereboh ekonomi negara kita.
iii. Kerajaan boleh disaman oleh
pelabur luar di tribunal antarabangsa yang berpangkalan di Washington
dan Geneva jika terdapat dasar-dasar kerajaan yang boleh merugikan hak
pelabur luar dan menghalang aktiviti perdagangan mereka. Ini tentunya
menjejaskan bidang kuasa kerajaan dalam menentukan apa yang terbaik
untuk rakyat dan negara.
iv. Petani kita terpaksa bersaing
dengan hasil pertanian luar negara. Lebih merisaukan lagi ialah TPPA
bakal memberi kesan buruk ke atas industri padi negara apabila beras
dari AS yang menerima subsidi yang tinggi dipasarkan di negara ini.
Ratusan ribu keluarga petani padi di negara ini akan terjejas jika TPPA
dimeterai.
v. TPPA juga menyebabkan bidang
pelaburan dan khidmat undang-undang dan pelbagai khidmat profesional
tempatan yang lain terpaksa berhadapan dengan persaingan pasaran
terbuka. Mampukah industri perkhidmatan kita berhadapan dengan kemasukan
syarikat gergasi ini?
vi. TPPA melanjutkan perlindungan
hakcipta bahan-bahan rujukan dari 50 tahun selepas kematian penerbit
kepada 120 tahun. Ini bermakna segala bahan-bahan rujukan yang kini
percuma dan telah didigitalkan akan menjadi terhad kepada pengguna. Ini
juga bermakna segala bahan rujukan wajib dibeli atau wajib dibayar sewa,
sekaligus menghadkan kemudahan ilmu kepada rakyat yang kurang mampu.
Justeru implikasi TPPA ini besar kepada
rakyat dan negara, maka saya merayu supaya kerajaan mengambil tindakan
berikut terlebih dahulu sebelum memetarai perjanjian ini. Antaranya:
i. Menangguhkan perundingan TPPA
sehingga segala teks mengenainya didedahkan kepada rakyat untuk
mendapatkan maklumbalas. Rakyat berhak tahu dan diberi hak memberi
pandangan kerana perjanjian ini melibatkan kualiti hidup mereka.
ii. Ahli parlimen perlu diberi
pencerahan dan perlu membahaskan baik buruk Perjanjian ini. Semasa
membahaskan hal ini, ahli parlimen perlulah melihat Perjanjian ini dari
aspek kebaikannya untuk rakyat dan negara, bukannya berterusan terikat
kepada kepentingan parti.
iii. Kerajaan mesti menolak status layanan tempatan yang perlu diberikan kepada syarikat gergasi luar.
Saya akui TPPA ini ada baiknya untuk
negara kerana kita bergantung kepada kemasukan pelaburan luar untuk
memacu ekonomi negara kita. Namun, setelah mengamati kesan perjanjian
ini, saya dapati perundingan TPPA ini perlu disemak semula dengan teliti
oleh kerajaan kerana ia memberi kesan besar kepada rakyat. Sekiranya
kerajaan mendapati keburukannya lebih banyak dari kebaikan, maka masih
belum terlewat untuk kita menarik diri daripada Perjanjian ini.
Harapan saya cuma satu dari keputusan
muktamad yang bakal diambil oleh kerajaan nanti: Jangan biarkan anak
cucu kita tergadai melalui perjanjian yang bersifat globalisasi ini.
Jangan biarkan menang sorak kampung tergadai.
Oleh: Mohammad Agus Yusoff
Tiada ulasan:
Catat Ulasan