Wujud golongan wanita yang berniat dari awal lagi untuk menjadi orang ketiga dalam hubungan sepasang suami isteri. Ya, ada yang usia belum matang untuk bercinta tapi ditakdirkan bertemu cinta dengan lelaki berstatus suami kepada seseorang. Persoalannya: Adakah salah jika mencintai suami orang?


Fatwa mazhab dan ijmak ulama’ juga tidak menyatakan bahawa mencintai suami orang adalah satu kesalahan. Jadi memang tak salahlah kalau seorang wanita mencintai suami orang asalkan wanita itu bukan tunangan atau isteri orang. Kalau anda isteri orang, jangankan bercinta, rasa suka pada lelaki lain pun salah!


Kenapa mencintai suami orang tak salah? Bukankah ramai yang melarang malah mengutuk jika tau seseorang memilih suami orang sebagai teman hidup?
 
Jawapannya: Sebab bercinta bukan perkara jenayah. Bercinta bukan dosa tetapi boleh menjadi ibadah. Tambahan pula di dalam Islam ada kebenaran kepada suami orang untuk beristeri lebih daripada satu. Kalau tak bercinta, bagaimana nak ada hubungan atas nama poligami, betul tak? Cuma, ada syarat yang perlu anda patuhi kalau dah jatuh cinta pada hak orang.


Dua syarat utama yang perlu anda patuhi ialah jujur dan ikhlas untuk berkongsi dan bukan merampas serta tidak mendominasi dan menguasai sama ada sebelum berkahwin atau selepas berkahwin.


Pelik kan, walau bukan semua tapi ramai orang ketiga yang rasa dirinya hebat sebab berjaya tambat cinta suami orang. Mungkinlah dia lebih muda atau lebih cantik atau bijak, jangan lupa si wanita yang kini menjadi isteri lelaki yang anda cintai juga pastinya mempunyai aura tersendiri.


Tak perlu seronok dengan pujian melangit dari si kekasih kepada anda. Tak payah nak teruja kalau dimomokkan dek kekurangan isterinya yang diluahkan kepada anda.
 
Ingat ya, lelaki yang baik tak akan memburukkan isterinya sendiri. Kalau dah buruk sangat, kenapa disimpan lagi? Mudahnya, segala keburukan si isteri hanya diluahkan untuk meraih simpati anda. Tolonglah sedar!
mingguan wanita