Jangan
takut! Jangan cemas! Setiap masalah ada penyelesaiannya. Setiap
penyakit itu ada rawatannya! Cuma, kesedaran awal tentang pencegahan
gejala hidung berdarah perlu didedahkan supaya masalah ini dapat
dihindari. Kadang-kadang perkara remeh pun boleh buat hidung berdarah.
Ikuti tip-tip ini untuk mengelakkan pendarahan pada hidung:-
SUHU BADAN TERLALU TINGGI
Faktor cuaca antara penyebab berlakunya gejala hidung berdarah pada
seseorang. Keadaan udara yang terlampau (terlalu sejuk dan panas) boleh
mencetuskan hidung berdarah. Ini kerana tubuh badan tidak mampu
menyesuaikan diri dengan suhu yang naik atau turun mendadak. Rawatan
pencegahan yang boleh anda lakukan adalah dengan memperbanyakkan
mengambil air kosong atau air suam bagi memastikan badan sentiasa sejuk
dan tidak terhidrat. Jangan biarkan hidung anda kering. Semasa cuaca
sejuk dan kering, sapukan gel petroleum pada bahagian hujung hidung
anda. Selain itu, anda juga boleh melakukan kaedah mudah dengan
membasahkan hidung serta pastikan kawasan hidung sentiasa lembap.
PERSEKITARAN
Hidung berdarah juga boleh berlaku disebabkan faktor persekitaran
seperti pencemaran. Udara yang kotor dan tercemar akan mengganggu
selaput lendir pada hidung. Akibatnya, hidung mengeluarkan darah.
Keadaan tempat yang penuh dengan asap rokok, asap kenderaan boleh juga
menjadi puncanya, jadi elakkannya. Keradangan seperti masalah alahan
hidung yang tidak terkawal atau selalu bersin boleh menyebabkan hidung
berdarah. Oleh itu, anda harus mengutamakan kebersihan persekitaran
rumah anda. Pastikan tiada habuk yang melekat pada sudut-sudut rumah
yang boleh menyebabkan alahan pada anda.
PENGGUNAAN UBAT
Ubat jenis steroid yang kerap diambil untuk melegakan hidung
tersumbat mungkin boleh menimbulkan pendarahan hidung ini. Jadi individu
yang tidak sesuai dengan ubat tertentu juga boleh mengalami hal yang
sama. Untuk mencegah gejala ini, maklumkan dan mintalah nasihat doktor
jika ubat tersebut tidak sesuai dengan anda dan menyebabkan hidung
berdarah.
RESDUNG ATAU JANGKITAN
Pendarahan hidung boleh dicegah dengan mengubati penyakit sinusitis
atau resdung. Resdung akan menyebabkan hidung anda kerap berair, gatal
dan berbau yang boleh mengundang kegatalan pada hidung. Masalah ini akan
menyebabkan anda akan menghembus hidung dengan kuat dan mudah juga
terjadi seseorang yang mengalami masalah resdung akan bersin dengan
terlalu kuat. Hembus dengan perlahan dan hanya apabila anda betul-betul
perlu menghembus. Hembusan yang kuat boleh menyebabkan hidung berdarah.
Oleh itu, anda harus merawat masalah resdung dengan segera kerana
masalah resdung yang teruk bukan sahaja akan menyebabkan hidung berdarah
tetapi juga boleh mengundang penyakit lain.
TABIAT
Tabiat adalah kebiasaan yang selalu seseorang itu lakukan dalam
kehidupan seharian. Tabiat berkaitan hidung yang kerap dilakukan adalah
mengorek hidung. Sekiranya hidung kering dan berkerak jangan sesekali
mengorek dengan kuku yang tajam dan terlalu dalam. Mengorek hidung
dengan terlalu kuat boleh mencederakan dinding selaput lendir. Darah
akan keluar menyusuri lubang hidung. Anda perlu berhatihati dan
sebaiknya gunakanlah pelembab atau minyak bayi bagi membersihkan rongga
hidung. Berlembutlah dengan hidung anda.
eberita
Tiada ulasan:
Catat Ulasan