Dalam dunia yang bergerak pantas ini, kita sering berasa letih kerana
sibuk memenuhi tuntutan kehidupan bandar yang semakin mencabar.
Justeru, kita sentiasa lesu atau mudah letih kerana berdepan tekanan
fizikal dan mental, terutamanya selepas bekerja sehari suntuk atau
senaman berat di gim.
Namun bagi sesetengah orang, keletihan mungkin menandakan ada masalah
lebih membimbangkan iaitu anemia. Anemia adalah gangguan kesihatan
iaitu bilangan sel merah yang kurang daripada paras normal.
Darah mengangkut oksigen, nutrien, hormon serta bahan lain ke organ
dan tisu. Apabila jantung berdenyut, darah akan dipam menerusi pembuluh
darah ke semua bahagian badan.
Sebagai komponen yang paling banyak dalam darah, sel-sel darah merah
memberi warna merah kepada darah serta mengangkut oksigen daripada
paru-paru ke badan menerusi sejenis protein khas dinamakan hemoglobin .
Anemia bermaksud paras sel darah merah atau hemoglobin rendah
daripada paras normal. Kesannya, kandungan oksigen yang diangkut dalam
darah berkurangan.
Oksigen adalah bahan api yang membolehkan sel-sel hidup dan
berfungsi. Fungsi sel, tisu dan organ terjejas jika oksigen yang
dibekalkan berkurangan. Sebab itulah kita mudah letih apabila melakukan
aktiviti seharian.
Anemia selalunya dihadapi kaum wanita akibat kehilangan darah ketika
haid atau kehamilan. Selain itu, masalah kesihatan ini turut disebabkan
pendarahan dalam perut, kekurangan nutrisi atau penyakit kronik lain.
Namun, faktor utama anemia ialah kekurangan zat besi. Anemia boleh
diwarisi daripada ibu bapa.
Punca dan simptom anemia
Punca anemia termasuk kehilangan darah akibat trauma, luka pada
saluran gastrousus atau pendarahan haid yang tidak normal, kekurangan
vitamin dan mineral yang penting untuk penghasilan sel darah merah,
penyakit kronik seperti radang gastrousus, kegagalan buah pinggang,
jangkitan akut dan kronik serta penguraian sel darah merah akibat
latihan fizikal yang berat. Bagaimanapun, punca anemia yang paling biasa
ialah kekurangan zat besi.
Selain keletihan, simptom lain yang biasa termasuk sakit kepala,
pening, denyutan jantung tidak teratur, kulit pucat, bunyi berdengung
dalam telinga dan sesak nafas.
Cara lain untuk mengenal pasti simptom anemia termasuk memeriksa
warna dalam kelopak mata bawah anda (konjunktiva), kuku dan tapak
tangan. Konjunktiva, kuku dan tapak tangan yang pucat ialah tanda
anemia.
Jika anemia yang teruk tidak dirawat, jantung mesti bekerja lebih
kuat dan beban ini boleh menyebabkan masalah jantung yang dikenali
sebagai hipertrofi ventrikel kiri (LVH), aritmia (denyutan jantung tidak
teratur) serta menjejaskan imuniti.
Tambahan pula, anemia dalam kalangan ibu yang mengandung mungkin menyebabkan kelahiran pramatang.
Kekurangan zat besi (IDA)
Anemia kekurangan zat besi ialah sejenis amenia yang disebabkan
kekurangan zat besi dalam badan untuk menghasilkan sel darah merah.
Ia adalah jenis anemia paling biasa. Faktor kekurangan zat besi
termasuk peningkatan keperluan badan terhadap zat besi dalam peringkat
kehidupan tertentu (misalnya kehamilan dan tumbesaran), kehilangan zat
besi menerusi kehilangan darah serta kekurangan pengambilan atau
penyerapan zat besi.
Mengatasi kekurangan zat besi
Perubahan diet langkah pertama untuk mengatasi kekurangan zat besi
dalam darah. Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO)
Bangsa-bangsa Bersatu dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), warga dewasa
perlu mengambil 18 miligram zat besi setiap hari untuk mengekalkan
kesihatan.
Pengambilan makanan yang kaya dengan zat besi seperti sayur-sayuran
berdaun hijau, kacang lentil, tiram dan daging merah kurang berlemak
serta ikan dapat membantu meningkatkan kuantiti zat besi.
Namun, kita perlu mengambil makanan ini beberapa kali dalam kuantiti
yang tetap kerana badan hanya mampu menyerap kira-kira 10 peratus zat
besi daripada diet.
Anda patut kurangkan merokok untuk membantu badan pulih dengan lebih cepat. Selain itu, anda patut menjalani gaya hidup aktif.
Amalkan gaya hidup sihat
Tidak dapat dipertikaikan bahawa zat besi diperlukan untuk kesihatan
optimum. Walaupun demikian, kebanyakan penghidap anemia tidak sedar
mereka menghidap anemia. Oleh itu, pemeriksaan badan adalah penting.
Terdapat beberapa tabiat anemia. Anda patut berjumpa doktor jika
teringin mengunyah ais atau tanah liat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan