Ibn
‘Abbas meriwayatkan yang bermaksud: “Apabila Nabi SAW datang ke
Madinah, Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura,
lalu Baginda bertanya: "Apakah ini?".
Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah
menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka,
maka Musa pun berpuasa”. Lalu Baginda SAW bersabda: "Aku lebih berhak
dengan Musa daripada kamu," maka Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang
ramai supaya berpuasa”. (Riwayat al-Bukhari)
A’isyah r.a berkata (maksudnya): “Rasulullah SAW telah mengarahkan
supaya berpuasa pada hari A’syura, dan apabila telah difardhukan puasa
Ramadhan, maka sesiapa yang hendak berpuasa (hari A’syura) maka dia
boleh berpuasa, dan sesiapa yang hendak berbuka maka dia boleh berbuka
(tidak berpuasa)”. (Riwayat al-Bukhari & Muslim).
Daripada ‘Aisyah r.a berkata yang bermaksud: “Orang-orang Quraish di
zaman jahiliyah berpuasa pada hari ‘Asyura, dan Rasulullah SAW juga
berpuasa pada hari A’syura. Maka apabila Baginda datang ke Madinah,
Baginda berpuasa pada hari itu dan menyuruh orang ramai berpuasa.
Apabila difardhukan kewajipan puasa Ramadhan, ditinggalkan puasa pada
hari ‘Asyura lalu Baginda bersabda: "Sesiapa yang mahu, maka dia boleh
berpuasa, dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa, maka dia boleh
tinggalkannya". (Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Inilah beberapa contoh hadith sahih yang menyebut tentang puasa pada
hari ‘Asyura. Daripada hadith-hadith ini dapat difahami bahawa puasa
pada hari ‘Asyura merupakan suatu perkara yang wajib sebelum daripada
difardhukan puasa Ramadhan. Apabila difardhukan puasa Ramadhan pada
tahun ke-2 Hijrah, maka kewajipan ini telah gugur. Namun ianya tetap
digalakkan dan merupakan salah satu daripada sunnah yang sangat
dituntut. Inilah antara kesimpulan yang disebut oleh al-Imam Ibn Hajar
al-‘Asqalani (wafat 852H) dan al-Imam Muslim (wafat 676H) ketika
menghuraikan hadith-hadith tentang puasa ‘Asyura ini.
(Rujuk Fath al-Bari, Kitab al-Saum, Bab Siyam Yaum ‘Asyura, 4/309, dan al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Bab Saum Yaum ‘Asyura’ 4/245).
Fadhilat Puasa Hari ‘Asyura
Sesungguhnya kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW bagi sesiapa yang mengamalkan puasa sunat ini amatlah besar. Antaranya ialah apa yang diriwayatkan oleh Qatadah (maksudnya): “Bahawasanya Rasulullah SAW ditanya tentang puasa hari ‘Asyura, lalu Baginda SAW menjawab: "Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu". (Hadis sahih riwayat Imam al-Tirmizi).
Dalam riwayat yang lain pula disebutkan bagaimana Rasulullah SAW
begitu mengambil berat dan memberi keutamaan kepada amalan puasa pada
hari ‘Asyura ini. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh Ibn Abbas bahawa
beliau pernah ditanya tentang puasa pada hari ‘Asyura ini, lalu beliau
berkata: “Aku tidak pernah ketahui bahawa Rasulullah SAW berpuasa sehari
kerana mencari kelebihannya di atas hari-hari yang lain kecuali pada
hari ini, dan Baginda tidak berpuasa sebulan kerana mencari kelebihan ke
atas bulan-bulan yang lain kecuali bulan ini, iaitu: Ramadhan”.
(Riwayat Imam Muslim)
Puasa Tasu’a (hari ke-9 Muharram)
Selain daripada berpuasa pada hari ‘Asyura ini, kita juga digalakkan untuk berpuasa pada hari sebelumnya iaitu hari ke-9 Muharram. Ini berdasarkan beberapa hadis sahih, antaranya ialah:
Daripada Ibn Abbas r.a berkata (maksudnya): “Ketika Rasulullah SAW
berpuasa pada hari ‘Asyura, Baginda turut mengarahkan orang ramai supaya
turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya
hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu
Rasulullah SAW bersabda lagi: "Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan
Allah, kita akan berpuasa pada hari ke-9". Ibn Abbas berkata: Tidak
sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah SAW wafat terlebih dahulu.”
(Riwayat Imam Muslim)
Daripada Ibn Abbas r.a berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda
(maksudnya): "Sekiranya aku masih hidup hingga tahun hadapan, nescaya
aku pasti akan berpuasa pada hari ke-9". (Riwayat Muslim).
Imam al-Nawawi (wafat 676H) dalam menghuraikan hadis-hadis ini telah
menukilkan pendapat Imam al-Syafie dan ulamak di dalam mazhabnya, Imam
Ahmad, Ishak dan yang lain-lain bahawa mereka semua ini berpendapat
bahawa disunatkan berpuasa pada hari ke-9 dan hari ke-10, kerana Nabi
SAW berpuasa pada hari ke-10 (‘Asyura) dan berniat untuk berpuasa pada
hari ke-9 (tahun berikutnya). Imam al-Nawawi menyambung lagi:
“Sebahagian ulamak berpendapat bahawa kemungkinan sebab digalakkan
berpuasa pada hari ke-9 dengan hari ke-10 ialah supaya tidak menyamai
dengan amalan kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ke-10”. (Rujuk:
al-Minhaj syarh Sahih Muslim, Bab al-Siyam, ( Beirut : Dar al-Ma’rifah ,
cet.7, 2000), jil 4, hal. 254).
Justeru, marilah kita merebut peluang pada kesempatan bulan yang
mulia ini untuk menambahkan amalan kita dengan berpuasa sunat.
Renungilah saranan yang diberikan oleh Rasulullah SAW seperti mana yang
diriwayatkan oleh Jundub bin Sufian bahawa Rasulullah SAW bersabda
(maksudnya): "Sesungguhnya solat yang paling utama selepas solat fardhu
ialah solat pada waktu tengah malam dan puasa yang paling utama selepas
puasa Ramadhan ialah puasa di bulan Allah yang kamu panggilnya
Muharram".
(Hadis riwayat Imam al-Nasa’ie dengan sanad yang sahih).
(Hadis riwayat Imam al-Nasa’ie dengan sanad yang sahih).
www.haluan.org.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan