Ada banyak adat orang tua-tua kita yang masih diamalkan oleh kebanyakan ibu hamil dan ibu selepas bersalin. Tanpa memeriksa kesahihan amalan tersebut di sisi agama, ia diamalkan sejak turun-temurun. Sebagai penganut agama Islam, kita wajib mengelakkan daripada melakukan amalan yang salah di sisi agama. Ketahui apakah dia amalan
yang dilarang kepada ibu hamil dan ibu bersalin.

Antara amalan yang tidak boleh dilakukan ialah:


1. Melenggang perut

Amalan ini lazimnya dimulai dengan bacaan mantera dan jampi, mandi limau, berbaring beralaskan tujuh helai kain seterusnya dilakukan dengan menggolekkan kepala di atas perut. Kononnya jika kelapa berhenti bergolek dengan mata ke atas anak di kandung adalah lelaki manakala jika sebaliknya anak tersebut perempuan. Ia diakhiri dengan kenduri doa selamat.

Komen Ustaz: “Amalan ini tidak ada dalam Islam. Saya sarankan janganlah kita melakukan amalan yang dinyatakan ini. Elakkan sama sekali kerana jika kita percaya, boleh jatuh syirik. Gantikan dengan solat hajat, doa selamat dan kenduri kesyukuran supaya proses kelahiran berjalan lancar. Bakal ayah dan ibu amalkan membaca surah Yusof dan Mariam. Amalkan diet yang seimbang dan bolehlah memakan kismis merah/hitam sebanyak 21 biji setiap hari. ayat ke-15 surah Al-Ahqaf boleh dibaca sebagai memudahkan proses bersalin dan doa supaya anak yang dilahirkan kelak soleh.”


2. Percaya kepada kenan

Kenan sering dikaitkan dengan ibu mengandung. Adalah satu kepercayaan di mana jika dibunuh binatang ketika isteri hamil boleh menyebabkan anak yang bakal dilahirkan kelak cacat fizikal mahu pun mental.

Komen Ustaz: “Perkara ini adalah khurafat dan bercanggah dengan Al-Quran. Tiada siapa yang berkuasa melainkan Allah SWT. Malah di dalam Al-Quran tercatat "(Apakah mereka akan mengikut juga akan petua-petua nenek moyang mereka), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apa pun, dan tidak mendapat petunjuk." (Surah Al-Baqarah, ayat 170). Sebagai Muslim yang percaya kepada Qada & Qadar, maka kita perlulah bertawakal kepada Allah SWT dan banyakkan berdoa agar anak yang di kandung sihat dan baik. Hanya Dia yang berkuasa menentukan tahap kesihatan anak tersebut. Tidak ada larangan menyembelih binatang, membunuh binatang yang memudaratkan manusia atau membunuh binatang dan makhluk yang merbahaya ketika isteri sedang mengandung. Kenan itu adalah kepercayaan orang purbakala dan animisme sebelum adanya ajaran Islam.”


3. Menanam uri dengan alatan

Perbuatan menanam uri dengan pelbagai peralatan seperti alat tulis, paku, lada hitam, asam keping, dibasuh air limau atau jawa. Menanam uri dengan alat tulis dikatakan kononnya anak tersebut akan menjadi bijak. Manakala menanam uri dengan benda tajam untuk mengelakkan ia didekati makhluk halus.

Komen Ustaz: “Menanam uri adalah harus. Ia perlu dibasuh dan ditanam di dalam tanah untuk mengelakkan ia dimakan binatang. Amalan menanam uri dengan pelbagai peralatan adalah khurafat. Seelok-eloknya uruskan uri dengan lafaz Bismillah, kemudian basuh untuk hilangkan darah. Bilas dengan air bersih sambil berselawat. Kemudian bungkus ia di dalam kain putih dan ikat kemas. Tanamkan di dalam tanah yang kedalamannya tidak membolehkan binatang mengoreknya keluar. Tanam di kawasan yang selamat seperti perkarangan rumah. Jangan melakukan perkara-perkara lain seperti menyalakan lilin di kawasan tersebut atau meletakkan asam dan garam padanya kerana ia boleh menyebabkan khurafat.”
 

4. Meletakkan peralatan tajam di bawah bantal

Ada yang percaya dengan cara meletakkan gunting atau paku di bawah bantal bayi boleh menghindarkan bayi mendapat gangguan daripada makhluk halus dan menyebabkan bayi menangis sepanjang masa.

Komen Ustaz: Bayi yang baru dilahirkan seelok-eloknya diazankan dan diiqamatkan sejurus keluar daripada perut ibunya. Azan dan iqamat ini berperanan untuk menghalau syaitan daripada mengganggunya. Ibu dan ayahnya bolehlah mengazankan di sekitar kawasan bayi berada sebanyak tujuh kali untuk mengelakkan dia diganggu. Sentiasalah membaca zikir dan selawat setiap kali bersama dengan  bayi.”


5.Memakaikan tangkal

Ada sesetengah golongan memakaikan bayi dengan tangkal dengan tujuan untuk mengelakkan gangguan kesihatan atau gangguan makhluk halus. Dia selalunya dalam bentuk buntil kain kecil atau benang yang dipakai sebagai gelang atau tali leher.

Komen Ustaz: Memakaikan tangkal berbentuk gelang, rantai atau dalam apa jua bentuk hukumnya adalah khurafat. Apatah lagi jika kita meletakkan kepercayaan si anak akan sihat dan selamat apabila memakainya. Pada hal kuasa memberikan kesihatan yang baik dan yang menjaga keselamatan anak tersebut terletak pada Allah Yang Esa. Perkara ini perlu dielakkan sama sekali.
 http://pama.karangkraf.com