Khamis, 17 November 2011

UCAPAN BAJET TAHUN 2012

ustaz azizan

OLEH
YANG AMAT BERHORMAT
DATO’ SERI MENTERI BESAR
KEDAH DARUL AMAN

PADA
15 NOVEMBER, 2011
3.00 PETANG

BERTEMPAT DI
DEWAN UNDANGAN
NEGERI KEDAH DARUL AMAN

Assalamualaikum Warohmatullahhi Wabarakatuh dan salam sejahtera.

Alhamdullillahirobbil alamin Wassolatuwassalamu ala asyrabil anbiyaiwalmurssalin Waala alihi Wasohbihi ajmain.

Yang Berhormat Dato’ Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

Marilah sama-sama kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah Subhanahu Watallata kerana telah melimpahkan rahmatNya dan membolehkan kita semua menjalani kehidupan yang selesa serta melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita dalam keadaan yang aman, tenteram dan sihat sejahtera.

Saya bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wataalla kerana negeri Kedah tidak mengalami apa-apa bencana pada tahun ini. Saya berdoa agar ramalan bencana banjir besar yang dikatakan akan melanda pada akhir tahun ini tidak akan menjadi kenyataan. Namun, Kerajaan Negeri tetap berwaspada pada setiap masa bagi menghadapi sebarang bencana yang melanda.

Pada petang yang berbahagia ini, saya bagi pihak Kerajaan Negeri ingin merakamkan tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan yang telah dipilih untuk kali kedua sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong yang Ke 14 mulai 13 Disember 2011. Ini merupakan sejarah kepada seluruh rakyat Negeri Kedah dan Malaysia secara amnya. Semoga hubungan di antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan akan bertambah erat demi manfaat kepada rakyat. Bagi menzahirkan kesyukuran di atas perlantikan ini, Kerajaan Negeri telah menyusun beberapa acara menarik bagi meraikan peristiwa bersejarah ini.

InsyaAllah, pada petang yang berbahagia ini saya akan membentangkan Bajet Negeri Kedah bagi Tahun 2012 sebagai satu kerangka kerja Kerajaan Negeri memaju dan mensejahterakan rakyat negeri ini selaras dengan slogan ’Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’. Diharap dengan bajet ini kerajaan dapat berperanan dengan licin dan berkesan.

Alhamdullillah, sejak Mac 2008, Kerajaan Negeri telah berusaha menyusun pelbagai projek untuk memperkasakan Negeri Kedah sama ada dari aspek ekonomi, pelaburan, pelancongan, pentadbiran dan kualiti hidup rakyat. Kerajaan berusaha sedaya upaya memastikan pentadbiran negeri diurus dengan baik secara amanah dan adil sepertimana sabda Nabi Muhammad Sollu Allahhualaihi Wassalam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a yang bermaksud:

” Tujuh golongan dilindungi Allah di hari yang tidak ada lindungan selain lindungan-Nya; pemerintah yang adil, dan pemuda yang masa mudanya digunakan untuk beribadat kepda Allah, seorang lelaki yang hatinya terikat ke masjid, dan dua orang yang berkasih sayang kerana Allah, kedua-duanya berkumpul kerana Allah dan berpisah kerana Allah, dan seorang lelaki yang dirayu oleh perempuan yang bangsawan dan jelita tetapi lelaki itu menolak dengan mengucapkan sesungguhnya saya takut kepada Allah dan seseorang yang bersedekah dan disembunyikannnya sehingga tangan kanannya tidak mengetahui apa yang dinafkahkan tangan kirinya dan seseorang yang mengingati Allah di waktu sendirian lalu berlinangan air matanya.
(Hadis Sahih Riwayat Muslim)

Saya sungguh berpuas hati dengan kerjasama erat jentera pentadbiran Negeri, sokongan daripada anak syarikat milik Kerajaan Negeri (GLC), pihak swasta dan rakyat yang telah memberikan semangat dan kekuatan kepada Kerajaan untuk melaksanakan semua projek yang telah diputuskan oleh Kerajaan dan menyuntik beberapa inisiatif baru demi memberi kesejahteraan kepada rakyat. Semua inisiatif dan Program pembangunan yang dirancangkan telah didokumenkan di dalam Pelan Strategik Kedah Sejahtera yang telah dilancarkan pada awal tahun 2011. Kerajaan telah melaksanakan apa yang dirancangkan ini mengikut kemampuan kewangan dan keperluan rakyat tanpa meminggirkan mana-mana pihak. Walaubagaimanapun,  masih ada beberapa perkara yang belum dilaksanakan dan Kerajaan berjanji akan terus berusaha memajukan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat dengan memberi perhatian kepada semua pihak dengan adil.

Yang Berhormat Dato’ Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

Bagi tahun 2012, prospek ekonomi global adalah tidak menentu. Keadaan yang berlaku di beberapa negara amat membimbangkan kita. Kelembapan ekonomi negara maju, tekanan inflasi akibat kenaikan harga minyak, dan krisis hutang yang melanda beberapa buah negara di Eropah tentunya memberi kesan negatif kepada ekonomi dunia secara keseluruhannya. Dengan senario seperti ini, Kerajaan menjangka akan berlaku pertumbuhan ekonomi negeri pada kadar yang sederhana. Kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kos sara hidup di kalangan rakyat negeri ini melalui usaha menghasilkan bahan-bahan makanan.

Kemasukan pelaburan dalam bidang pembuatan untuk beberapa tahun ini menunjukkan trend yang konsisten. Pada tahun 2009, jumlah pelaburan yang diterima adalah sebanyak 1.5 billion ringgit, jumlah ini meningkat kepada 1.96 billion ringgit pada tahun 2010. Dan sehingga Ogos tahun 2011, jumlah pelaburan yang diterima adalah sebanyak 725 juta ringgit. Pelaburan yang diterima ini menunjukkan pelabur khususnya pelabur asing menaruh keyakinan yang tinggi kepada Kerajaan Negeri. Kerajaan akan terus berusaha menarik lebih banyak pelaburan asing dan meningkatkan tahap perkhidmatan yang diberikan menerusi konsep Mesra Pelabur. Perkhidmatan  yang diberikan, telah memberi keyakinan kepada pelabur asing. Kerajaan bersikap telus dan jujur dalam membantu menjayakan semua bentuk pelaburan.

Walaupun Kerajaan Negeri menyenaraikan banyak projek yang hendak dilaksanakan bagi memenuhi keperluan rakyat,  tetapi  Kerajaan  telah mengambil langkah untuk tidak meningkatkan Bajet Tahun 2012 bagi mengelakkan defisit bajet yang besar serta membebankan Kerajaan di masa hadapan. Pengalaman beberapa negara Eropah yang sedang mengalami keruntuhan ekonomi akibat defisit kewangan hendaklah dijadikan iktibar.

Amalan pengurusan kewangan yang cermat dan berhemah akan terus dilaksanakan. Menurut Penyata Kewangan Tahun 2010, Kerajaan Negeri mencapai surplus iaitu lebihan hasil berbanding perbelanjaan di dalam akaun kumpulan wang disatukan sebanyak 22.5 juta ringgit. Al-Quran telah mengajar kita bagaimana untuk mentadbir, perbelanjan negeri secara berjimat cermat sepertimana yang diceritakan di dalam surah Yusuf dari ayat 43 hingga 49. Raja Mesir telah bermimpi melihat tujuh ekor sapi betina yang gemuk-gemuk dimakan oleh tujuh ekor sapi betina yang kurus-kurus dan tujuh butir gandum hijau dan tujuh butir lainnya yang kering. Lalu nabi Yusuf mentafsirkan mimpi tersebut dengan berkata:

Maksudnya: "Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu simpan kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit dari (bibit gandum) yang kamu simpan. Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia diberi hujan (dengan cukup) dan di masa itu mereka memeras anggur."
(Surah Yusuf, ayat 47-49)

Di dalam bajet yang lalu, saya telah memaklumkan bahawa Kerajaan akan mencari jalan  untuk mendapatkan sumber hasil yang baru. Sebuah Jawatankuasa Hasil telah di tubuhkan bagi menyemak dan meneliti cadangan sumber hasil yang baru. Alhamdulillah, satu sumber hasil yang baru telah dikenalpasti. Kerajaan Negeri bakal menerima hasil baru daripada aktiviti kuari bijih besi di beberapa daerah. Pada masa ini tindakan terperinci sedang dibuat oleh pentadbiran tanah dan syarikat-syarikat yang terlibat. InsyaAllah Kerajaan Negeri akan menerima bayaran royalti yang agak lumayan pada tahun hadapan.


Peruntukan Bajet tahun 2012

Yang Berhormat Dato’ Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

Bajet tahun 2012 akan menyediakan peruntukan  berjumlah  1.008 billion ringgit bagi melaksanakan pelbagai program yang disusun bagi memajukan ekonomi dan memberi kesejahteraan kepada rakyat Negeri Kedah. Daripada jumlah tersebut, 570 juta ringgit adalah bagi peruntukan perbelanjaan mengurus, 259 juta untuk perbelanjaan pembangunan dan sebanyak 179 juta bagi perbelanjaan bekalan air.

Di bawah peruntukan mengurus, sebanyak 38 peratus untuk bayaran Emolumen, 19 peratus untuk perkhidmatan dan bekalan, 38 peratus untuk pemberian dan kenaan tetap, 2 peratus untuk pembelian aset, manakala 3 peratus untuk lain-lain perbelanjaan.

Bagi peruntukan pembangunan pula, sebanyak 57.6 peratus disediakan untuk projek infrastruktur, 12.96 peratus untuk pertanian, 16.9 peratus untuk pentadbiran dan 13.84 peratus untuk kemudahan sosial.

Jumlah hasil Kerajaan Negeri bagi tahun 2012 dianggarkan sebanyak 550.8 juta ringgit. Jumlah hasil dianggarkan meningkat sebanyak 5.61 peratus berbanding hasil tahun 2011 yang berjumlah 521.5 juta ringgit. Kerajaan Negeri yakin anggaran hasil yang ditetapkan ini dapat dicapai berikutan rekod kutipan hasil sebenar yang meningkat setiap tahun. Prestasi Kutipan hasil sebenar pada tahun 2007 adalah 78.9 peratus berbanding anggaran.  Kutipan hasil telah meningkat kepada 91.96 peratus pada tahun 2010. Pencapaian ini menunjukkan dasar yang diamalkan oleh kerajaan dan kesungguhan bekerja semua kakitangan kerajaan yang menjalankan tugas mereka dengan penuh amanah dan dedikasi.

STRATEGI BAJET TAHUN 2012

Yang Berhormat Dato’ Speaker dan ahli-ahli yang berhormat,

Bajet tahun 2012 ini digubal berasaskan kedudukan semasa kewangan Kerajaan Negeri. Pelbagai program pembangunan telah disusun untuk faedah rakyat. Kerajaan Negeri juga telah menerima pakai dasar yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan berkaitan Kadar Gaji kakitangan awam. Berdasarkan senario ini Bajet tahun 2012 memberi penekanan kepada empat strategi seperti berikut:

Strategi Pertama: Meningkatkan Pertumbuhan Ekonomi


Memperkasakan Pertanian Sebagai Perniagaan


Kerajaan telah menetapkan agar Negeri Kedah yang memiliki tanah yang subur menjadi Jelapang Makanan yang utama di Malaysia. Pelbagai inisiatif telah dijalankan bagi menjayakan agenda ini. Projek Pertanian Berskala Besar yang dikendalikan oleh anak syarikat milik Kerajaan Negeri iaitu  Projek Tanaman Nanas di Bukit Tangga telah menghasilkan kejayaan, manakala Projek Tanaman Mangga di Charok Genting Bunga seluas 1000 ekar sedang dalam proses penyediaan asas.

Malah beberapa usahawan tani yang menanam nanas berkepadatan tinggi telah menunjukkan hasil pengeluaran yang menggalakkan. Bagi memperkasakan pengeluaran makanan seperti nanas, sayuran dan buah-buahan, Kerajaan memperuntukkan sebanyak 12.2 juta ringgit untuk projek-projek pembangunan pertanian.

Selain itu program pembangunan kawasan tanaman padi di luar kawasan MADA terus dipertingkatkan dengan peruntukan sebanyak 4 juta ringgit. Kemudahan pengairan dan saliran bagi kawasan tersebut akan dimajukan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran dengan peruntukan sebanyak 4.95 juta ringgit.

Bagi meningkatkan pengeluaran buah-buahan, Kerajaan telah melancarkan Kempen menanam pokok buah-buahan di kalangan rakyat Negeri Kedah. Program satu rumah sepuluh pokok akan terus dilaksanakan tahun hadapan. Selain itu usaha memulihkan Dusun Rambutan yang mula dijalankan tahun ini akan terus ditingkatkan. Kerajaan berharap kalangan yang memiliki dusun rambutan menyambut baik usaha ini seperti yang dilakukan oleh penduduk di Mukim Siong baling pada tahun ini. Hasil pengeluaran rambutan yang berkualiti adalah diperlukan bagi memenuhi keperluan industri mengetin yang telah diwujudkan di Sungai Petani.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar diperuntukkan sebanyak 6 juta ringgit untuk projek pembangunan industri ternakan iaitu tambahan sebanyak 1 juta ringgit berbanding tahun 2011. Tambahan peruntukkan sebanyak 0.4 juta ringgit disediakan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan veterinar termasuk peralatan teknikal.

Kerajaan sedar hasil negeri turut disumbangkan melalui hasil perhutanan. Melalui pengurusan yang baik dan kaedah tender terbuka, Kerajaan berjaya meningkatkan hasil hutan secara purata sebanyak 35 peratus bagi tempoh dua tahun sebelum ini. Bagi tempoh jangka panjang, Kerajaan melaksanakan projek Ladang Hutan Bermutu Tinggi. Sebanyak 8 juta ringgit disediakan untuk projek pembangunan ladang hutan, pemuliharaan, pembangunan sumber dan pengurusan hutan yang sempurna. Cabaran utama yang dihadapi oleh Kerajaan ialah untuk mengawal aktiviti pencerobohan kawasan hutan yang akan menjejaskan kehidupan kita di masa hadapan.

Meningkatkan Potensi Industri Pelancongan

Pelancongan merupakan sektor ekonomi yang berpotensi dan penting bagi menambah pendapatan rakyat. Kerajaan Negeri akan terus berusaha meningkatkan kualiti produk pelancongan sediada tanpa mengorbankan keunikan alam semulajadi. Polisi Kerajaan Negeri ialah sentiasa memelihara warisan alam semulajadi yang menjadi tarikan utama pelancong. Pengurusan beberapa produk juga telah disusun semula. Sejumlah 2.7 juta ringgit disediakan bagi menyelenggara dan mempromosikan produk sedia ada di tanah besar. Kerajaan telah menyerahkan pengurusan beberapa produk utama seperti Sungai Sedim, Ulu Muda, Sungai Merbok, dan  Gunung Keriang kepada syarikat tempatan. Baru-baru ini Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan peruntukan sebanyak 420 juta ringgit bagi memajukan pelancongan di Pulau Langkawi Permata Kedah. Kerajaan Negeri menyambut baik usaha ini dan akan membantu menjayakan usaha murni ini. Sebuah jawatankuasa task force telah ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri bagi membantu menyelaras dan menyusun semula Pembangunan Pantai Cenang seperti yang telah dipersetujui dengan Kerajaan Persekutuan. Mudah-mudahan usaha yang dirancangkan ini memberi manafaat kepada penduduk Langkawi dan industri pelancongan secara keseluruhannya.

Merancakkan Industri Pembuatan

Bagi sektor pembuatan pula, Kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah akan memajukan 400 ekar kawasan industri di Kulim Hi-Tech Park dan 200 ekar di Bukit Kayu Hitam. Pembinaan dua projek ini bakal meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.

Strategi Kedua: Meningkatkan Kesejahteraan Rakyat

Yang Berhormat Dato’ Speaker dan ahli-ahli yang berhormat,

Meningkatkan kesejahteraan rakyat merupakan agenda terpenting kepada Kerajaan Negeri. Kerajaan sentiasa berusaha untuk berlaku adil dan memenuhi keperluan rakyat berbilang kaum. Program-program kebajikan rakyat terus diberi keutamaan.

Salah satu program yang diutamakan ialah membela golongan yang miskin sepertimana tuntutan agama Islam. Melalui sistem pendaftaran e-Sinar, Kerajaan mendapati sejumlah 17 ribu keluarga miskin sehingga 31 Oktober tahun ini. Melalui penggembelingan tenaga pelbagai pihak, Kerajaan telah menyalurkan bantuan kepada keluarga miskin sama ada dalam bentuk bantuan membaiki rumah, membina rumah baru, bantuan am melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, bantuan daripada Jabatan Zakat, sumbangan peralatan kerja dan sebagainya. Namun masih ada segolongan kecil yang tidak menerima bantuan kerana tidak mendaftar dengan e-Sinar. Saya menyeru semua ahli-ahli Yang Berhormat agar membantu kerajaan memberi penerangan kepada keluarga miskin untuk mendaftar dengan e-sinar yang dikendalikan oleh semua Pejabat Daerah. Dasar Kerajaan ini menepati dengan perintah Allah Subhanahu Wataala  yang meminta kita berinfak dan membantu di jalan Allah, terutamanya membantu golongan yang tidak bernasib baik sepertimana di dalam Ayat 261, Surah Al-Baqarah:
Maksudnya: Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.

Untuk Tahun 2012 program membantu keluarga miskin akan ditambah. Sebanyak 1 juta ringgit disediakan untuk membaiki dan membina rumah keluarga miskin. Peruntukan khas sebanyak 50 ribu ringgit disediakan kepada setiap Dewan Undangan Negeri bagi kerja-kerja membaiki rumah keluarga miskin pada akhir tahun ini. Sebanyak 19.5 juta atau tambahan sebanyak 5 juta ringgit disediakan untuk pemberian bantuan am melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Bantuan secara one off sebanyak 100 ringgit kepada seorang pelajar daripada setiap keluarga yang berdaftar dengan e-sinar sehingga 31 Oktober 2011 akan diberikan pada awal tahun 2012 sebagai bantuan meringankan beban menyediakan persediaan persekolahan anak-anak mereka. Sebanyak 1.7 juta ringgit disediakan bagi maksud ini.

Bantuan Skim Kafalah bagi meringankan beban keluarga miskin menguruskan jenazah sebanyak 500 ringgit akan di teruskan. Sebayak 4 juta ringgit disediakan bagi tujuan ini.

Rumah Mampu Milik

Program membina rumah mampu milik kepada rakyat berpendapatan rendah telah dimulakan. Sebagai contoh, projek Bandar Sejahtera di Pokok Sena telah mendapat sambutan yang menggalakkan. Fasa 1 telah habis dijual. Pembinaan untuk fasa berikutnya sedang dijalankan. Kerajaan telah melantik STDC iaitu anak syarikat milik kerajaan untuk membina rumah mampu milik di Kampung Seberang Terus dan Kg Teluk Yan, Alor Setar. Bancian penduduk dan kerja-kerja awalan untuk kedua-dua projek ini telah bermula. Kerajaan telah mengadakan sesi perbincangan dengan penduduk terbabit bagi menyelesaikan perkara-perkara teknikal yang berkaitan. Selain itu Kerajaan juga komited untuk membangunkan semula Kampung Kilat yang juga sebuah penempatan setinggan. Dua projek  rumah mampu milik iaitu di Kuala Ketil dan Bandar Darulaman akan menyediakan kira-kira 1300 unit. InsyaAllah kesemua projek ini akan dimulakan tahun hadapan.

Kerajaan juga mendapat kerjasama daripada sebuah Yayasan yang bermurah hati memberi sumbangan membina 100 buah rumah untuk keluarga miskin di Yan. Kerja-kerja asas telah dimulakan dan pembinaan rumah akan di mulakan akhir Disember ini. Ada pihak yang membangkitkan kononnya projek ini telah dibatalkan. Sebenarnya, kawasan tapak projek seluas 15 ekar selesai ditambun pada bulan Jun tahun ini. Kerajaan dinasihatkan untuk tidak membina rumah sehingga tanah tapak projek ini kukuh dan mantap.

Alhamdulillah, Kerajaan juga menerima sumbangan daripada sebuah syarikat untuk membina rumah mampu milik di Simpang Tiga Sungai Daun, Yan. Pada masa ini urusan pengambilan balik tanah seluas 11 hektar sedang diuruskan. Kerajaan yakin projek ini bakal dimulakan tahun 2012.

Kerajaan berusaha membina rumah mampu milik di seluruh negeri. Beberapa tapak milik Kerajaan Negeri sedang dikenalpasti. Kerajaan melantik PKNK sebagai peneraju projek ini dengan usahasama syarikat swasta. InsyaAllah, usaha seperti ini bakal memberi peluang kepada 25 ribu keluarga yang mendaftar dapat memiliki rumah yang dibina oleh Kerajaan Negeri.

Sejumlah 5 juta ringgit disediakan untuk menyelenggara, membaikpulih dan urusan pengeluaran hakmilik perumahan awam yang sediada. Langkah ini dapat meningkatkan kualiti kehidupan penyewa sediada.

Kualiti hidup masyarakat

Kerajaan berusaha mewujudkan pembangunan yang seimbang di seluruh kawasan. Kawasan luar bandar tidak akan dipinggirkan. Sejumlah 10.9 juta ringgit disediakan  untuk projek pembangunan luar bandar. Jumlah ini meningkat sebanyak 2 juta ringgit.

Penyelenggaraan jalan raya negeri akan dipertingkatkan bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna. Mulai tahun ini kerajaan membelanjakan peruntukan yang besar bagi memperkukuhkan jalan utama yang menghubungkan antara Daerah bagi mengurangkan tempoh pengangkutan barangan dan meningkatkan keselamatan pengguna. Antara jalan yang dinaiktaraf ialah jalan daripada Bukit Selambau ke Sungai Lalang. Pada tahun 2012, Sejumlah 78.5 juta ringgit di peruntukkan untuk penyelenggaraan jalan negeri. Jumlah ini merupakan tambahan sebanyak 10 juta ringgit.

Kerajaan prihatin kepada golongan peniaga kecil di kawasan bandar yang tidak mampu membeli atau menyewa ruang niaga di pusat bandar. Bagi membantu golongan ini, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak 3 juta ringgit  untuk pembinaan ruang niaga kawasan bandar. Selain itu PKNK telah menyiapkan UKIR MALL di Alor Setar dan Sungai Petani yang memberi peluang kepada usahawan menjalankan operasi perniagaan di lokasi yang strategik. Untuk Tahun 2012, PKNK akan membina 2 buah bangunan lagi di Kota Sarang Semut dan Hosba yang bernilai 14 juta ringgit.

Kejadian banjir kilat adalah berpunca daripada prasarana saliran yang kurang sempurna. Bagi penduduk yang sering dilanda banjir kilat akan mengalami kerugian dan kerosakan harta benda serta menyukarkan kehidupan mereka. Pada tahun hadapan kerajaan menyediakan 15.2 juta ringgit untuk projek tebatan banjir, pemuliharaan sungai dan menaiktaraf sistem saliran.

Strategi Ketiga: Meningkatkan Modal Insan

Kerajaan sedar pembangunan ekonomi masa depan adalah didorong oleh modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran. Selaras dengan keadaan ini, Kerajaan berusaha gigih untuk memantapkan pembangunan modal insan yang berpengetahuan dan berpegang teguh dengan ajaran agama. Sehubungan itu kerajaan mengambil tindakan memantapkan Kolej Universiti Insaniah dan menyediakan prasarana pembelajaran yang berkualiti tinggi. InsyaAllah Kampus KUIN di Kuala Ketil akan disiapkan pada akhir tahun 2012. KUIN telah menyediakan semua persiapan untuk memulakan kursus perubatan pada tahun hadapan. Sejumlah 15 juta ringgit di sediakan bagi membiayai kos operasi KUIN pada tahun 2012.

Maktab Mahmud telah genap 75 tahun pada tahun ini. Kedudukannya sebagai sekolah pilihan di negeri ini tidak dapat dipertikaikan lagi. Kerajaan akan terus melengkapkan prasarana Maktab Mahmud melalui pembinaan asrama Putera di Maktab Mahmud Pokok Sena, bangunan akademik di Maktab Mahmud Kulim serta menaiktaraf bangunan bilik darjah dan lain-lain kemudahan di 10 buah maktab Mahmud. Kerajaan menyalurkan sebanyak 34.5 juta ringgit bagi membiayai pengurusan dan pembangunan Maktab Mahmud.

Tambahan kepada kemudahan pendidikan yang sediada, Kerajaan menubuhkan Maahad Tahfiz Sains Darulaman iaitu Sekolah Menengah yang menggabungkan pembelajaran sains dan Tahfiz Al-Quran. Sekolah ini akan memulakan sesi persekolahan untuk pelajar Tingkatan Satu mulai Januari tahun 2012. Saya difahamkan sambutan yang diterima adalah di luar dugaan. Kerajaan terpaksa menjalankan proses pemilihan bagi mengambil 30 orang pelajar lelaki dan 30 orang pelajar perempuan yang akan memulakan persekolahan di Kulim. Kerajaan akan memulakan pembinaan Maahad Tahfiz Sains Darulaman  di Pulau Tuba secara berperingkat-peringkat mulai tahun hadapan. Sebanyak 3.5 juta ringgit telah disediakan untuk projek ini.

Dalam masa yang sama Kerajaan juga menyalurkan bantuan kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) serta memberi sumbangan menjayakan apa-apa aktiviti perayaan masyarakat bukan Islam dengan menyediakan peruntukan sebanyak 1 juta ringgit.

Sejumlah 2.1 juta ringgit disediakan bagi membiayai pinjaman kepada anak-anak Kedah daripada kalangan berpendapatan rendah melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Awam. Kerajaan telah memberi sumbangan kepada pelajar-pelajar Negeri ini yang melanjutkan ke Universiti tempatan. Seramai 3,235 orang pelajar peringkat diploma dan ijazah telah diberikan bantuan khas pada tahun 2011 yang berjumlah 877,600 ringgit. Kerajaan akan meneruskan bantuan seperti ini sebagai menggalakkan pelajar menyambung pelajaran ke peringkat tinggi.

Sejumlah 5 juta ringgit disediakan kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah bagi membiayai kos operasi dan penyediaan bahan bacaan bermutu di semua perpustakaan awam dan perpustakaan desa. Kerajaan berharap para ibubapa memberi galakan kepada anak-anak untuk menggunakan kemudahan bahan bacaan  yang di sediakan di perpustakaan awam.

Kerajaan sedar kemudahan sekolah menengah agama dan kelas TASKA milik Kerajaan Negeri adalah serba kekurangan. Oleh itu demi meningkatkan prestasi pelajar, kerajaan menyediakan peruntukkan 1.75 juta ringgit untuk pembelian buku teks dan peralatan mengajar. Peruntukkan tambahan sebanyak 3.6 juta ringgit disediakan untuk membayar elaun Guru KAFA pada tahun 2012 bagi maksud ini.

Strategi Keempat: Memperkasa Tadbir Urus Kerajaan Negeri

Jentera pentadbiran negeri yang cekap dan berkesan sangat penting bagi merancang dan melaksanakan semua dasar serta program Kerajaan Negeri. Bagi maksud itu, tambahan sebanyak 23 juta ringgit disediakan untuk bayaran emolumen kepada seluruh kakitangan jabatan. Jumlah ini meningkat sebanyak 9 peratus berbanding tahun 2011 berikutan keputusan Kerajaan Persekutuan yang menaikkan kadar gaji kakitangan awam. Kerajaan Negeri menerima pakai dasar ini dan menyediakan peruntukan secukupnya.

Peruntukan sebanyak 14.47 juta ringgit akan digunakan untuk pembelian pelbagai aset seperti pembelian kenderaan, kelengkapan pejabat dan peralatan kerja bagi memastikan setiap jabatan berfungsi dengan sempurna dan meningkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.

Kerajaan telah membina dan menaiktaraf bangunan beberapa Jabatan negeri seperti Pejabat Agama dan Mahkamah Syariah Baling, Pejabat Daerah dan Tanah Kota Setar, Kuala Muda dan Kulim. Untuk tahun 2012 sejumlah 41 juta ringgit disediakan untuk membina dan menaiktaraf beberapa buah pejabat seperti Pejabat Tanah Langkawi dan Baling serta membina bangunan tambahan Jabatan Veterinar.

Majlis Ketua Kampung merupakan jentera pentadbiran negeri di peringkat akar umbi. Peranan mereka sebagai agen pembangunan masyarakat adalah sangat penting. Untuk itu Kerajaan menyediakan 12.7 juta ringgit bagi maksud pemberian elaun bulanan kepada 2100 orang pengerusi dan setiausaha MKK.

Bagi memantapkan perkhidmatan kerajaan  secara online, sejumlah 3.5 juta ringgit disediakan untuk menaiktaraf kemudahan ICT. Semua maklumat disalurkan secara online dan beberapa aplikasi baru akan di bangunkan bagi mempercepatkan urusan kerajaan negeri.

Sejumlah 6 juta ringgit akan disalurkan kepada semua Pegawai Daerah bagi melaksanakan aktiviti kemasyarakatan di setiap Daerah.

Sejumlah 1.5 juta ringgit disediakan sebagai bantuan  untuk bayaran rawatan hospital kakitangan dan pesara Kerajaan Negeri manakala 1.15 juta ringgit akan dibelanjakan untuk latihan kakitangan Kerajaan Negeri yang diuruskan oleh Bahagian Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan. Peruntukkan untuk maksud ini juga disediakan kepada setiap Jabatan Negeri.

Yang Berhormat Dato’ Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat,  Jabatan-jabatan, anak-anak syarikat milik Kerajaan, Badan Berkanun, pihak swasta, Badan-badan bukan kerajaan yang berdiri teguh dan terus berusaha gigih melaksanakan pelbagai rancangan kerajaan negeri untuk memaju dan mensejahterakan rakyat negeri ini. Sesungguhnya komitmen dan kerjasama semua pihak telah memberikan kekuatan dan semangat kepada saya dan barisan EXCO untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh menjayakan agenda pembangunan negeri ini.

Kerajaan sedar dengan kewangan yang terhad, kerajaan tidak dapat melaksanakan semua yang dirancangkan. Oleh itu Kerajaan akan menggembeling sumber daripada anak-anak syarikat milik kerajaan dan syarikat-syarikat swasta bagi melaksanakan agenda pembangunan negeri.

Dalam masa yang sama kerajaan terus berusaha memperkemaskan dasar, garis panduan, dan kawal selia yang telus di kalangan jentera Kerajaan Negeri bagi memudah dan mempercepatkan segala urusan.

Saya yakin amalan belanja berhemah dan melaksanakan tugas dengan penuh amanah akan meningkatkan kedudukan kewangan dan imej Kerajaan Negeri. Kerajaan terus berusaha menggelakkan kebocoran di dalam pengurusan kewangan serta meningkatkan akauntabiliti di kalangan semua ketua-ketua jabatan negeri.

Saya berdoa semoga Allah Subhanahu Wataalla memberikan Taufik dan hidayahNya kepada kita semua yang berada di dalam Dewan yang mulia ini  agar sentiasa mengutamakan amanah dan tanggungjawab yang perlu kita laksanakan dengan ikhlas mengikut ajaran ajaran agama kita. Apa yang dilakukan oleh Kerajaan adalah berasaskan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu Wataalla. Semoga dengan ketaqwaan ini, Allah Subhanahu Wataalla akan membantu kita semua mengatasi segala masalah yang dihadapi seperti firmanNya di dalam surah At-Thalaaq; ayat 2 yang bermaksud:,

’Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar’

Yang Berhormat Dato Speaker

Saya mohon mencadangkan.

Wabillahi taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuhi
wartakedah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...