INILAH
saat dinanti-nantikan setiap manusia, tidak kira agama apa yang
dianuti, pastinya mati akan datang menjemput kita. Sebagai seorang Islam
yang berpegang kepada al-Quran dan hadis, kita mempercayai kehidupan,
kematian dan kehidupan selepas mati wajib dilalui semua manusia.
Bagaimana sihat seseorang, kuasa dan kekayaan, manusia pasti mati dan
meninggalkan dunia fana ini. Malah, nabi dan rasul iaitu manusia yang
paling dekat dengan tuhan, bahkan yang menjadi kekasih Allah pun tidak
dapat lari daripada kematian, menghadapi alam barzakh dan hari
penghakiman di padang Mahsyar.
Firman Allah yang bermaksud:
“Di mana saja kamu berada, pasti mati
mendatangi kamu, sekalipun kamu bersembunyi di atas mahligai atau
benteng yang paling kuat.” (Surah an-Nisaa’, ayat 78)
Persoalan mati adalah suatu kejadian yang paling hebat, suatu
kejadian yang tidak dapat dielakkan. Bila seseorang manusia itu mati, ia
dikatakan kiamat kecil berlaku pada diri kerana jasadnya menjadi busuk,
dimakan cacing, tulang belulang menjadi hancur lebur dan roh keluar
dari badan manusia.
Kubur atau alam barzakh adalah tempat permulaan alam akhirat.
Sebagaimana kesukaran manusia menghadapi keperitan saat nazak kematian,
maka jenazah juga sekali lagi menghadapi kesukaran seksaan kubur di alam
barzakh.
Sebaik saja ahli keluarga dan sahabat handai selesai mengebumikan dan
berjalan pulang, maka suasana gelap, dua malaikat Munkar dan Nakir
datang menghampiri serta mendudukkan jenazah.
Bagi jenazah yang beriman dan berbekalkan amal salih serta ketakwaan
unggul maka alam barzakh adalah suatu kerehatan yang damai. Tetapi bagi
jenazah yang ingkar, sarat dengan beban dosa kerana melanggar perintah
Allah, alam barzakh adalah episod ngeri hingga datangnya hari kiamat.
Mereka berkeadaan seperti orang lemas dalam air yang meraung meminta
pertolongan. Ingatlah wahai sekalian umat Islam bahawa pada akhir zaman
ini, semakin kurang yang bercakap mengenai kematian, alam barzakh dan
Mahsyar kerana sibuk dengan kelazatan kehidupan dunia.
Akhirnya mereka terkejut besar apabila malaikat Izrail datang
mencabut nyawa. Saidina Ali pernah berkata:
“Manusia tidur lena, apabila
kematian tiba baru dia terjaga daripada tidurnya. Demikianlah orang
yang tidak mengingati mati itu sentiasa dalam keadaan lalai atau
bagaikan orang yang tertidur dia akan terkejut bila kematian datang
secara mendadak.”
Kesibukan mencari keseronokan dunia adalah penyumbang terbesar
kelalaian manusia mengingati mati dan membuat persediaan menghadapi
kematian. Contohnya, penagih dadah sanggup melakukan apa saja termasuk
mengambil ubat jalanan yang mengandungi dadah dan bahan terlarang bagi
menambah lagi nikmat keseronokan.
Perbuatan ini seolah-olah menggali lubang kubur sendiri. Mereka ini
akan menanggung seksaan hidup dengan penyakit kronik yang akhirnya
membawa kepada kehancuran dan kematian.
Berdasarkan kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ada
ajaran sesat tidak menerima hakikat kematian pemimpinnya. Mereka sering
mendakwa keajaiban pemimpin yang kadangkala lebih hebat daripada
Rasulullah SAW dan Khulafa’ al-Rasyidin.
Firman Allah bermaksud:
“Tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan
bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu.
Maka sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka
sesungguhnya ia telah berjaya. Dan tiadalah kehidupan di dunia ini
melainkan kesenangan yang memperdayakan.” (Surah Ali-Imran, ayat 185)
Menghadapi kematian pemimpin yang disayangi sememangnya perit dan
sukar diterima. Kita perlu mencontohi sikap waras Abu Bakar ketika
berdepan kewafatan Nabi SAW. Beliau memujuk Umar al-Khattab yang masih
terkejut seraya berkata:
“Ketahuilah, sesiapa yang menyembah Muhammad
SAW, maka sesungguhnya Muhammad telah wafat. Sesiapa yang menyembah
Allah, maka sesungguhnya Allah sentiasa hidup tidak akan mati.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan