Ahad, 11 Oktober 2015

Jangan Silap, Hidayah Tidak Pernah Datang Bergolek Sendiri


hidayah perlu dicari, ia tidak akan bergolek
Hidayah perlu dicari bukan ditunggu. Macam makanan, kalau tak suap ia tak masuk sendiri ke dalam mulut..
Azan subuh kedengaran.

Marjan masih ketiduran. Bukan kerana penat bertahajjud. Entah apa yang dilakukan semalaman.

Jam loceng berdering, gamat. Menganggu ahli bilik lain yang sudah bersedia untuk ke cafe, mengambil sarapan.

“Dah lewat ni. Bangunlah. Kamu belum solat subuh. Lambat solat, lambat mandi, lambat bersiap. Nanti semuanya jadi tunggang-langgang. Habis semuanya dilakukan tergopoh-gapah. Cepat bangun! Orang lain semua dah siap,” Saleha yang bertugas mengejutkan Marjan setiap hari tanpa jemu, sambil tangannya memicit ibu jari kaki Marjan.




Kadang-kadang dia menepuk kuat Marjan di lengan apabila sudah mengambil masa yang terlalu lama untuk menyedarkan Marjan yang tidur mati.

Setelah puas dikejutkan barulah dia tersedar.

Sudah lewat. Fajar subuh di langit mula bertukar cerah, tiada lagi bulan penuh kelihatan. Yang ada cuma haruman pagi dari embun pepohonan.

Dan sinar langit sebelum menjadi sepenggala.

Marjan solat. Dia tidak henti-henti menguap pada setiap rukun solat.
Duduk tahiyat akhir, tersengguk-sengguk. Sedar-sedar sudah salam pertama. Makin parah iman di dada. Menjunam iman jatuh bagai terbenam ke dasar lautan.
Allah tahu bahawa dia memilih jalan mujahadah ini, maka Allah mengujinya dengan pilihannya sendiri.

Allah
Mengapa aku terlalu lemah dalam ibadah?
Aku seringkali serik, namun tetap mengulang dosa yang sama
Mengapa iman aku terasa begitu goyah?
Mengapa aku tidak mampu menjadi solehah?
Aku seringkali mencuba namun tiada langsung yang berjaya.

Allah
Aku malu hidup dalam kejahilan sendiri
Orang memujiku sana sini, kerana tampak baik dari luaran
Sedang mereka tidak tahu, aku menempuh banyaknya kegagalan
Kepada menujuMu, tuhan.

Allah
Bantu aku. Bantu aku bertatih
Belajar membuang salah tanpa letih
Aamiiiin


Rupanya masih ada iman dalam hati kecil Marjan. Dia malu dengan dosanya. Mahu dibicarakan di hadapan rakan, sudah tentu itu merupakan suatu keaiban.

Hanya kepada Allah Marjan merajut doa bersulam air mata. Mashaf Al-Quran dicapai. Dia membelek muka demi muka. Dia mentadabburinya.

Hebatnya Allah kerana setiap bait Al-Quran tersusun indah dengan penuh pengajaran.

Lalu Marjan menangis teresak-esak, terasa bagai ditusuk dengan setiap kalamNya.

Menyebut tentang bahawa setiap manusia pasti diuji. Allah juga menguji hambaNya mengikut kemampuan hambanya. Mengajar manusia sabar kerana sabar itu pasti dibalas dengan berita gembira.

Merungkai tentang manusia sentiasa lupa bersyukur namun nikmat Allah mencurah tanpa bil dan cas.

Menceritakan tentang indah syurga dan nikmat syurga itu tidak dimonopoli oleh satu golongan semata-mata kerana Naaim, Jannah danFirdaus juga tersedia untuk orang yang beriman dan beramal soleh ikhlas keranaNya.

Usai mengamati dan tadabbur Al-Quran, Marjan mencapai telefon pintar di meja solek.

Masih bertelekung, lalu terus merebahkan badannya yang penat merintih di atas katil empuk. Hujung telekungnya basah dek air mata.

Mata membengkak merah.

Marjan menekan butang whatsapp, dia ingin meluahkan hibanya ini kepada siapa-siapa yang mampu memberinya taujihad buat iman.

Jam 9.05 pagi
            Assalamualaikum, ustaz. Maaf kerana mengganggu. Saya mahu minta pandangan daripada ustaz. Apakah yang harus seseorang lakukan sekiranya semakin hari dia merasakan hatinya semakin mati.
Malas beribadat, asyik menyombong diri, payah mendengar nasihat dan terasa cukup penat dengan hari-harinya yang dilalui dengan sia-sia?
Dirinya tidak seperti dulu, imannya tidak sekuat dulu. Sebab semua ibadat yang teringin dilakukan tidak dapat dilaksanakan dengan baik.
kiranya, bangun subuh lambat, tahajjud tidak ada langsung walaupun seminggu. Al-Quran jarang diusik apatah lagi dibaca.
Bagaimanakah pula dengan purdah yang dipakai? Terasa seperti tidak layak kerana tidak kena sifat dan cara pemakaiannya.

Ya, dia tidak mengistilahkan seseorang itu sebagai dirinya. Tidak mahu membuka aibnya sendiri di hadapan manusia.
Cukuplah Allah sahaja yang melihat segala aib dan mentutup aib itu tanpa pengetahuan umum.

Selang satu jam, telefon pintar bergetar.

Jam 10.07 pagi
Waalaikumussalam warahmatullah.
Peringatkan dia “Jangan berputus dengan rahmat Allah”
Peringatkan dia “ Jika kamu ada perasaan menyesal dengan dosa, kesilapan dan kekurangan di dalam beribadah, maka itu tandanya bahawa kamu masih lagi baik dan masih lagi berada di bawah naungan rahmat Allah dan itulah yang dinamakan ‘Nafsul Lawwamah’ yang merupakan satu tingkat nafsu yang paling tidak baik selepas Nasful Ammarah”
Peringatkan dia “ Kamu kena kuat untuk Mujahadatun Nafsi yakni bersungguh-sungguh melawan nafsu supaya naik setingkat lagi yang dinamakan Nafsul Mutmainnah yakni jiwa yang tenang agar kamu dapat kembali kepada diri kamu yang dahulu, yang lebih baik.”
Peringatkan dia “Jika kamu mahu mendapatkan kekuatan ini, jangan lupa untuk berdoa kepada Allah supaya dianugerahkan kekuatan. Berdampinglah dengan majlis-majlis ilmu, orang orang alim dan sahabat yang baik.”
Peringatkan dia “Jangan buka furdah kerana ianya ada pahala. Kita sudah lah tidak punya banyak pahala. Jadikanlah furdah itu sebahagian daripada perisai kita untuk menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak baik sebagaimana orang lelaki apabila dia berkopiah pasti dia tidak akan sanggup buat perkara yang tidak baik.”
Peringatkan dia “Allahu must’an. Allah jualah tempat meminta”.
Sekadar itu sahaja, ya. Moga bermanfaat

Mesej ustaz diamati perlahan-lahan. Menangis. Senyum dalam sendu.

Sudah sampai waktunya. Allah telah menghantarkan hidayah ‘sekali lagi’ kepadanya.
Semoga Marjan berjaya menemui kekuatan yang dicarinya, menggapai sinar hidayah buat kali kedua.

Sungguh, hidayah tidak pernah datang bergolek..

…sekali ‘dia’ sampai kepada kita, perlu kita belai ‘dia’ sehabis baik.

Menjemput hidayah memang payah, namun yang lebih susah adalah untuk mengekalkan hidayah pada momentumnya.
 http://akuislam.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda Berkenan .

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...