Setiap kali dia merenung sepasang batu nisan kaku di pusara itu,
hatinya berombak rindu. Air mata bergenang menahan sebak. Naluri
keibuannya berkocak.
“Kakak...” tuturnya mendayu. “Ibu datang kak... kakak baik-baik di
sana. Ibu sayang kakak. Adik-adik pun sayang kakak. Ibu rindu kakak
sangat-sangat...”
Aduhai, hati siapalah yang tidak rawan mendengar tangis rintih si ibu
yang kerinduan. Setiap hari selepas kejadian, di tanah perkuburan Bukit
Badong, Batang Berjuntai, Kuala Selangor, tempat dia meluahkan kerinduan
pada anak sulung yang maut dilanggar lori kelapa sawit.
Penulis berkesempatan menemui Rohani Md Noor, 36 tahun, di kediamannya
di Kampung Bukit Badong, untuk menyelami perasaannya dan mengetahui
perkembangan lanjut mengenai kemalangan yang merentap kegembiraan dia
sekeluarga.
Rohani langsung tidak menyangka niat murni anak sulungnya, Intan Dayana
Sharulnizam, 16 tahun, mengambil dua orang adiknya dari Sekolah Agama
Bukti Badong, berakhir dengan tragedi. Anaknya dilanggar lori kelapa
sawit yang memasuki laluan bertentangan.
Tragedi yang berlaku di jalan kampung Bukit Badong itu mengakibatkan
Intan Dayana cedera parah dan menghembuskan nafas terakhirnya di
Hospital Sungai Buloh. Sementara dua orang adiknya, Muhammad Aiman, 10,
hanya mengalami luka-luka kecil apabila kaca tertusuk kaki dan hidung,
dan Nurul Adila, 8 tahun pula, menerima jahitan luka di mulut serta
dirawat sebagai pesakit luar.
Sekali pun tragedi pada 24 Mei itu sudah tiga bulan berlalu, arwah
Intan sudah disemadikan dalam suasana aman, masih ada yang terbuku di
hati Rohani. Kes langgar maut anaknya menimbulkan pelbagai persoalan
yang belum ditemui jawapan hingga menyebabkan Rohani tidak berpuas hati.
“Sekali pun saya menerima takdir ini dengan redha tetapi sebagai ibu
saya sedikit pun tidak redha dengan perbuatan pemandu lori tersebut
sehingga menyebabkan kematian anak perempuan saya.”
“Cara dan perbuatan pemandu lori itu membuatkan saya terpaksa turun
naik balai polis berdekatan demi sebuah perjuangan menuntut keadilan dan
pembelaan,” ujar Rohani lagi.
Berkongsi kisah yang merobek hatinya, ibu kepada enam orang anak ini
berkata, pada pagi kejadian, anak sulungnya masih sempat berbaring di
sebelahnya dan keduanya sempat berbual kosong.
“Lebih kurang jam 11 pagi, arwah kata mahu pergi mengambil dua orang
adiknya, Aiman dan Adila yang bersekolah ganti. Saya biarkan saja kerana
selama ini arwah yang banyak membantu menguruskan adik-adik ketika saya
keluar bekerja. Tak saya duga, niatnya itu bertukar menjadi tragedi.
“Kurang setengah jam arwah tinggalkan rumah, saya dapat panggilan
telefon daripada kenalan memaklumkan yang anak saya kemalangan di jalan
kampung Bukit Badong. Tanpa sempat mandi, saya capai telefon berserta
duit RM100 dan bergegas ke situ. Saya nampak arwah sudah dimasukkan ke
dalam ambulan. Ada dua buah ambulan datang, satu dari Batang Berjuntai
dan satu lagi dari Ijok. Saya terus berkejar ke arah ambulannya dan
memanggil-manggil namanya.
“Kakak... kakak, bangun kak. Ibu datang. Bangun kak... Tapi anak saya
senyap membisu sehinggalah pembantu paramedik meminta saya menaiki
sebuah lagi ambulan kerana mereka mahu segera memecut membawa arwah ke
Hospital Sungai Buloh. Keadaannya agak kritikal ketika itu. Dahinya
dibasahi darah. Begitu juga belakang kepalanya juga berlumuran darah,”
kongsi Rohani yang sudah mulai sebak setiap kali nama anaknya disebut.
Akur dengan arahan pembantu perubatan, Rohani bergegas menaiki sebuah
lagi ambulan bersama Aiman dan Adila. Anak-anak berdua itu sudah
dipasangkan alat penyokong leher dan keadaan mereka kelihatan kurang
stabil.
Jika tahu anaknya akan pergi menghadap Ilahi, Rohani tidak mahu menaiki
ambulan kedua. Dia terkilan tidak dapat mengajar anaknya mengucap. Dia
kesal tidak sempat memeluk dan mengucapkan kata sayang terakhir buat
anaknya.
“Saya benar-benar tidak menyangka. Kurang lima minit dari ambulan
pertama sampai, saya dimaklumkan agar segera bertemu doktor di bilik
kecemasan.
Anak saya disahkan meninggal dunia. Hasil bedah siasat kemudian
mendapati dia mengalami kecederaan dalaman. Berlaku hentakan di dada
menyebabkan dia menemui ajalnya.
“Saya pengsan mendengar berita ini. Sungguh saya tak sangka, niat
baiknya mahu menjemput adik-adiknya balik dari sekolah berakhir dengan
berita duka. Berita yang sangat sukar saya menerimanya sebagai ibu.
Arwah pergi meninggalkan kami tanpa sebarang kata-kata,” katanya sambil
air mata tidak henti-henti mengalir.
Kes dalam siasatan
Rohani mengakui tidak puas hati mengenai laporan kes kemalangan yang
melibatkan Intan Dayana. Ini disebabkan laporan polis mengenai kejadian
dikemukakan oleh bekas suaminya.
Dalam laporan itu, suaminya sekadar memaklumkan tentang kematian anak
setelah membuat pengecaman jenazah tanpa menjelaskan bagaimana punca
kemalangan dan siapa yang bersalah dalam kemalangan tersebut.
“Inilah yang saya rasa sangat kesal. Saya yang menjaga anak-anak siang
dan malam. Saya yang tahu apa terjadi. Tindakan bekas suami mendahului
saya membuat laporan polis telah mengusutkan keadaan. Saya tidak boleh
menerima kerana ada beberapa perkara berlaku termasuk, keluarga saya
diberi RM500 untuk menutup kes,” dakwanya.
“Saya tahu anak tiada lesen. Tetapi berdasarkan gambar lokasi kejadian,
jelas lori berkenaan memasuki lorong bertentangan yang menjadi laluan
anak saya. Selepas pengebumian, saya ada membuat laporan malangnya tidak
diterima kerana laporan pertama dibuat bekas suami itu masih dalam
siasatan. Saya hanya dapat membuat laporan kedua pada Ogos lalu,” kata
Rohani yang selalu turun naik balai polis berdekatan termasuk ke Bukit
Aman untuk mengetahui perkembangan kes kemalangan anaknya itu.
Rohani menegaskan, apa yang dia perjuangkan adalah demi keadilan
anaknya. Dia tidak memandang pada wang ringgit kerana semua itu tidak
dapat mengembalikan nyawa anaknya.
“Duit tidak bererti buat saya kerana saya masih mampu bekerja. Saya Cuma menuntut keadilan buat anak,” katanya bersemangat.
mingguan wanita
Tiada ulasan:
Catat Ulasan