Selasa, 23 Disember 2014

Pelajar Tingkatan Enam Dibenar Pakai Kasual Dengan Bersyarat

  

SEREMBAN: Selepas berminggu-berminggu spekulasi, Kementerian Pendidikan mengesahkan bahawa pelajar yang akan menyambung pengajian ke Tingkatan Enam dibenarkan memakai pakaian tradisonal atau pakaian lain, sebagai sebahagian daripada kod pakaian baharu bermula musim persekolahan yang akan dibuka dua minggu lagi.

Mereka juga akan dibenarkan untuk memakai baju batik ke sekolah, di bawah langkah kementerian untuk "menjenamakan semula" Tingkatan Enam.



Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof berkata, sekolah tidak lagi boleh mengarahkan pelajar Tingkatan Enam supaya memakai pakaian mengikut standard.

Pelajar lelaki juga akan dibenarkan memakai baju dan seluar berwarna cerah dan seluar ke sekolah tetapi tidak boleh mempunyai corak bunga atau rekaan lain.

"Walaupun mereka bebas untuk memilih warna baju mereka, tetapi ia perlu pastikan tidak mempunyai corak. Namun baju yang bercorak belang atau berpetak dibenarkan," katanya mengenai arahan itu kepada semua sekolah.

Walaupun tidak dinyatakan di dalam arahan itu, pelajar masih lagi boleh memakai uniform.

Panjang seluar yang dipakai juga perlu melebihi buku lali dan tidak ketat. Pelajar juga dibenarkan memakai tali pinggang tetapi saiz 'buckles' tidak boleh melebihi 5 sentimeter.

Dr Khair berkata, walaupun kelonggaran di bawah peraturan baru, pelajar dilarang daripada memakai mana-mana pakaian yang diperbuat daripada bahan denim.

Beliau berkata selain baju kurung, pelajar perempuan juga akan dibenarkan memakai seluar panjang. Mereka juga akan dibenarkan memakai blaus berlengan, gaun labuh, skirt yang melebihi paras lutut.

Manakala seluar jeans, seluar kargo, seluar pendek dan celana ketat tidak dibenarkan.

"Pelajar-pelajar tidak dibenarkan memakai kemeja-T apabila mereka datang ke kelas," katanya sambil menambah bahawa pelajar perempuan tidak dibenarkan memakai pakaian ketat.

Pelajar lelaki dikehendaki memakai kasut dan stoking manakala perempuan hanya boleh memakai kasut yang menutupi kaki mereka.

Selipar, terompah atau sandal tidak dibenarkan.

Bagi aktiviti luar, pelajar digalakkan memakai seluar panjang atau seluar trek dan kemeja-T lengan panjang atau pendek.

"Kemeja-T yang dipakai tidak boleh mempunyai imej politik, ganas, kesat atau apa-apa yang dianggap negatif," katanya. ─ Sarban Singh @ mStar online/ siakapkeli

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...