Soalan: Prof Madya Dr MAZA, saya
seorang pemuda dan sering melakukan dosa. Sudah berulang kali saya
bertaubat. Tapi kemudian saya tidak mampu kawal diri, saya buat lagi.
Sudah berapa kali saya taubat sehingga saya rasa Allah sudah tidak mahu
terima lagi taubat saya. Adakah taubat saya palsu? Adakah saya bohong
Allah? Saya terus hanyut dengan perbuatan saya sendiri. Saya hendak
taubat lagi, tapi rasa macam Allah dah tidak terima, atau takut saya
sendiri ulang lagi. Boleh tak Dr berikan nasihat kepada saya?
Safwan, Melaka.
MASIHKAH ADA TAUBAT BAGI DOSA YANG BERULANG?
Jawapan Dr MAZA:
Saudara, perasaan kesal atau keinsafan yang ada dalam jiwa saudara
–alhamdulillah- menandakan bahawa cahaya iman itu masih kuat dalam diri
saudara. Semoga kita semua selalu dibimbing Allah ke jalanNya yang
lurus. Untuk soalan saudara maka saya jawab seperti berikut;
1. Secara umumnya taubat bermaksud kekesalan dan keinsafan terhadap
dosa yang dilakukan, lalu memohon keampunan Allah dan berazam untuk
tidak mengulanginya lagi. Ini berdasarkan firman Allah: maksudnya:
“Dan mereka yang apabila melakukan
perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah
lalu memohon ampun dosa-dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang
mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak
meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang
mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang
demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan
syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di
dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) mereka
yang beramal” (Surah Ali ‘Imran: 135-136).
Maka, asalnya taubat itu di samping keinsafan dan memohon keampunan, ia juga adalah azam untuk tidak mengulanginya.
2. Keikhlasan atau kesungguhan seseorang yang bertaubat itu hanya
diketahui oleh Allah dan dirinya sendiri. Ketika dia bertaubat, jika ia
lahir dari keikhlasan maka perasaan khusyuk, duka, insaf, mengharapkan
keampunan Allah akan menyelinap masuk ke dalam setiap pelusuk jiwanya.
Airmata keinsafan antara bukti kejujuran insan yang menyesal dan
mengharapkan keampunan. Keinginan untuk berada dalam keampunan itu akan
membawanya kepada azam untuk tidak mengulangi dosa. Jika taubat seperti
itu berlaku, maka itu adalah taubat yang nasuha atau yang ikhlas. Ia
diterima Allah.
Sekalipun kemungkinan selepas itu, atas kelemahan diri dan kecuaian,
hamba yang bartaubat tadi tergelincir sekali lagi ke dalam dosa yang
sama. Jika, dia ikhlas pada taubatnya yang awal, Allah Maha
Mengetahuinya dan insyaAllah akan mengampuni dosanya yang awal, juga
dosa kemudian jika dia terus bertaubat lagi.
3. Taubat yang sebenar bukan satu perkara yang boleh dibuat-buat. Ia
bukan satu lakonan. Perasaan keinsafan yang hadir dalam jiwa seorang
hamba bukannya perkara yang diada-adakan. Ia adalah cahaya iman yang
lahir dari kekudusan jiwa yang mengakui kebesaran Allah dan takutkan
dosa. Apabila perasaan kerohanian itu wujud, maka seorang hamba pun
bertaubat dengan penuh insaf dan nekad untuk tidak mengulangi. Siapakah
yang mengetahui kewujudan perasaan itu dalam sesuatu jiwa? Sudah pasti
hanya Allah dan insan yang bertaubat itu sendiri. Jika keadaan yang
disebutkan itu berlaku, insan itu sebenarnya telah benar-benar
bertaubat.
4. Insan atau anak Adam itu ada kelemahannya. Kadang-kala dia
terjatuh lagi dalam kesalahan setelah bertaubat dengan
bersungguh-sungguh. Ini –seperti yang dijelaskan- kegelinciran kedua
atau ketiga dan seterusnya tidaklah bererti dia tidak ikhlas dalam
taubatnya yang sebelum itu. Namun, kelemahannya menyebabkan dia berulang
kali jatuh ke dalam dosa, sekalipun telah benar-benar insaf sebelumnya.
Maka, jika hal ini berlaku dia hendaklah mengulangi taubat dan jangan
berputus asa. Syaitan akan membisikkan perasaan putus asa dalam jiwa,
sedangkan Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penerima taubat.
5. Hal ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w dalam hadis baginda:
“Seorang telah melakukan satu dosa,
lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa
jalla berfirman: HambaKu melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa
baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya –dalam riwayat yang
lain ditambah: Aku ampunkan dosanya-. Kemudian dia kembali melakukan
dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa
ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia
mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan
menghukumnya–dalam riwayat yang lain ditambah: aku ampunkan dosanya-.
Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: wahai Tuhanku aku
telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: HambaKu
melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun
dan menghukumnya, maka aku ampunkan hambaKu ini, buatlah apa yang kau
mahu aku ampunkan engkau”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
6. Dari hadis di atas menggambarkan, selagi seseorang hamba Allah
menyesal dan insaf, sekalipun telah berulang dosa, Allah Yang Maha
Pengampun tetap mengampuninya. Namun, hendaklah kita berhati-hati kerana
waktu kematian tidak pasti. Orang yang bertaubat dan berjaya mengawal
dirinya tentulah lebih baik dari yang gagal mengawal diri. Tidak
mustahil ketika dia gagal mengawal diri itu, kematian menjemputnya
pergi.
7. Apapun, pintu taubat dalam Islam ini sentiasa terbuka. Tidak kira
besar mana pun dosa, berapa kali ia mengulanginya. Insan jangan berputus
asa dari rahmat Allah. Firman Allah: (maksudnya):
“Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu
yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan
perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat
Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya
Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah
az-Zumar: 53).
Putus asa dari rahmat Allah adalah bisikan syaitan yang enggan melihat hamba-hamba Allah kembali kepada Allah.
8. Antara cara untuk memboleh kita istiqamah dengan taubat kita ialah
memohon pertolongan Allah agar kita tetap atas jalan hidayah. Al-Quran
mengajar kita doa: (maksudnya)
“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau
memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan
kurniakanlah kepada Kami limpah rahmat dari sisiMu; Sesungguhnya Engkau
jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya” (Surah Ali ‘Imran: 8).
Nabi s.a.w pula selalu membanyakkan doa:
“Wahai Yang Membolak-balikkan
jantung hati (Allah)! Tetapkan daku atas agamuMu” (Riwayat al-Tirmizi,
Ahmad, Ibn Abi ‘Asim- dinilai sahih).
9. Juga, antara langkah mengekalkan dalam kebaikan adalah dengan
mendampingi mereka yang baik dan soleh. Teman yang baik dan mahukan
kebaikan akan membawa kita berterusan dalam kebaikan. Begitulah
sebaliknya. Firman Allah: (maksudnya)
“dan jadikanlah dirimu sentiasa
berdamping rapat dengan orang-orang yang menyeru Tuhan mereka pada waktu
pagi dan petang, yang mengharapkan keredaanNya semata-mata; dan
janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana
engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi
orang yang Kami ketahui jantung hatinya lalai daripada mengingati dan
mematuhi pengajaran Kami, serta dia menurut hawa nafsunya, dan
tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran”. (Surah al-Kahfi: 28).
Hiduplah dalam lingkungan teman-teman yang selalu berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran.
10. Maka, diingatkan jangan kita berputus asa dari rahmat Allah, dan
jangan kita jadikan orang lain berputus asa dari rahmat Allah. Insan
mempunyai peluang bertaubat sehingga nyawa ke halkumnya. Sabda Nabi:
“Sesungguhnya Allah menerima taubat
seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya” (Riwayat
al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).
Sumber Dr Maza
http://eberita.org
Tiada ulasan:
Catat Ulasan