Ketika di medan Perang Badar, Abdurrahman
bin Auf didatangi dua orang remaja dari kaum Anshar, iaitu Muaz bin Amr
Al-Jamuh dan Muawwiz bin Afra. Masing-masing berumur 14 tahun dan 13
tahun. Kedua duanya datang memikul sebilah pedang. Kedua-dua remaja
tersebut datang menemui sahabat besar Rasulullah ini semata-mata untuk
memberitahu niat mereka untuk membunuh Abu Jahal.
Dalam keadaan hiruk-pikuk pertempuran,
Abdurrahman bin Auf berteriak, “Wahai anak, kamu masih terlalu muda
untuk terlibat di peperangan ini, sebaiknya engkau menjauhkan diri dari
tempat ini”.
Namun, kedua-dua belia tersebut tidak berganjak malah membalas kata-kata Abdurrahman bin Auf,
“Kami mendapat izin daripada ibu dan ayah kami bagi menyertai pasukan Muhammad,” teriak Muaz.
“Saya datang ke sini hanya untuk membunuh Abu Jahal. Tunjukkan dimana dia?” Kata Muawwiz dengan penuh semangat.
Pada mulanya Abdurrahman bin Auf tidak
menghiraukan kata-kata dua remaja tersebut, tetapi Muaz dan Muawwiz
terus mendesaknya supaya menunjukkan di mana Abu Jahal dan bagaimana
wajahnya. Melihat kesungguhan mereka, Abdurrahman bin Auf terpaksa akur.
“Saya akan tunjukkan kepada kamu di mana
Abu Jahal, tetapi boleh tahu apa yang akan kamu lakukan apabila berjumpa
dengannya? tanya Abdurrahman bin Auf.
“Ibu saya berpesan jangan pulang ke rumah
selagi kepala Abu Jahal tidak diceraikan dari badannya,” jawab Muaz
bersungguh sungguh.
“Abu Jahal menghina serta menyakiti Rasulullah, saya ingin membunuhnya,” sambung Muawwiz pula.
Abdurrahman bin Auf tersenyum mendengar kata-kata dari dua orang remaja
yang berani itu. Dia berjanji akan menunjukkan Abu Jahal apabila
berjumpa.
Abdurrahman bin Auf diserang
Tiba tiba seorang tentara Quraisy
menyerang Abdurrahman bin Auf dari belakang. Muaz dan Muawwiz yang
melihat kejadian itu segera bertindak melindunginya. Muaz dengan cepat
menebas kaki tentara Quraisy tersebut sehingga menyebabkan dia
tersungkur. Muawwaiz pula bertindak menikamnya hingga mati. Melihat
insident tersebut, timbul rasa kagum di hati Abdurrahman bin Auf
terhadap dua remaja tersebut.
“Tunjukkan kepada kami di mana Abu
Jahal,” kata Muaz seolah-olah tidak sabar lagi hendak bertemu dengan
ketua pasukan Quraisy itu.
Abu Jahal berjaya ditemui
Tiba tiba Abdurrahman bin Auf melihat Abu
Jahal sedang berada di bawah sepohon kayu yang agak rendang. Musuh
Allah dan Rasul itu menunggang kuda sambil berteriak memberi kata kata
semangat kepada pasukannya agar terus berjuang.
“Itulah lelaki yang kamu cari. Tetapi
kamu haruslah berhati-hati kerana dia juga seorang pahlawan Quraisy”,
kata Abdurrahman bin Auf.
“Terima kasih pakcik. Saya akan dapatkan dia sekarang,” ujar Muaz sambil berlari ke arah Abu Jahal.
“Saya akan membantunya membunuh lelaki yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya itu,” kata Muawwiz juga.
“Berhati-hati kerana dia dilindungi oleh
pasukan Quraisy,” pesan Abdurrahman bin Auf. Dia sendiri tidak dapat
membantu kerana sedang berhadapan dengan pulushan tentara Quraisy yang
menyerangnya.
Dua Belia Yang Berani
Muaz dan Muawwiz terus berlari ke arah
Abu Jahal yang masih berada di atas kudanya, mereka berlari tanpa
menghiraukan keselamatan mereka. Ketika itu, Abu Jahal tidak menyedari
akan kedatangan dua remaja tersebut. Muaz tiba terlebih dahulu namun dia
tidak dapat menebas kaki Abu Jahal. Maka, Muaz bertindak menebas kaki
kanan kuda yang dinaiki Abu Jahal sehingga menyebabkan kuda tunggangan
Abu Jahal jatuh tersungkur.
Abu Jahal turut sama tersungkur ke tanah.
Dalam keadaan penuh amarah, Abu Jahal mencuba untuk bingkas bangun
tetapi sepantas kilat Muaz menebas kaki kanan Abu Jahal sehingga putus.
Muawwiz menyusul lalu memukul kepala Abu Jahal sehingga lemah longlai.
Muawwiz Syahid
Ikramah iaitu anak Abu Jahal(ketika itu
masih belum Islam) kebetulan berada di situ segera menolong dan
melindungi bapanya. Ikramah bertindak menyerang balik Muaz dan menebas
tangan kiri remaja itu hingga hampir putus, Muaz terjerembab ke tanah.
Muaz berusaha lari namun dibiarkan oleh Ikrimah kerana dia melihat
Muawwiz menghampiri bapanya untuk membunuhnya.
Maka terjadi pertarungan di antara
seorang dewasa dengan seorang remaja belasan tahun. Apalah yang mampu
dilakukan oleh Muawwiz selain daripada terus diasak secara agresif oleh
Ikrimah tanpa mempunyai peluang untuk menyerang balas. Muawwiz akhirnya
syahid di tangan Ikrimah.
Muaz Menemui Rasulullah saw
Muaz yang berhasil meloloskan diri terus
berlari menemui Rasulullah saw. Tetapi, Muaz terasa terganggu dengan
tangan kiri beliau yang terkulai ditebas Ikrimah sebentar tadi. Muaz
tanpa berfikir panjang terus memutuskan tangan kirinya yang terkulai.
Muaz lalu berkata
“Wahai tangan, kamu mengganggu perjalananku untuk menemui Rasulullah”.
Selepas itu, Muaz terus berlari mencari
Rasulullah dalam keadaan kesakitan yang amat sangat. Akhirnya beliau
berjaya menemui Rasulullah yang pada ketika itu sedang segit bertempur.
Tanpa menghiraukan kesakitannya Muaz terus berlari hingga berjaya
memeluk Rasulullah saw.
“Wahai Rasulullah, saya dan Muawwiz
berhasil membuatkan Abu Jahal cedera parah, tetapi dia masih hidup
kerana kami telah dihalang oleh anaknya bernama Ikrimah dan beberapa
tentera pasukan Quraisy.” Beritahu Muaz lalu menunjukkan posisi mana Abu
Jahal sedang berada.
Abdullah Ibnu Mas’ud membunuh Abu Jahal
Nabi Muhammad memanggil Abdullah Ibnu
Mas’ud ra yang berada di situ kerana gilirannya mengawal Rasulullah saw.
Beliau lalu menyuruh Ibnu Masud mencari Abu Jahal untuk mengakhiri
riwayatnya.
“Wahai Ibnu Masud, anak ini memberitahu
dia telah membuat Abu Jahal terluka, pergilah dan lihatlah dia disana,”
sabda Rasulullah.
Abdullah ibnu Mas’ud segera mencari Abu
Jahal. Didapatinya pimpinan Quraisy itu mengalami luka yang cukup parah
namun masih bernyawa. Tanpa rasa belas kasihan Abdullah bin Mas’ud
menekan leher Abu Jahal sambil berkata,” Wahai musuh Allah dan musuh
Rasul-Nya, pada hari ini Allah swt menghinamu.”
“Dengan apa Allah menghina aku? Apakah kerana aku mati ditangan engkau? Tanya Abu Jahal yang masih menunjukkan kesombongannya.
Abdullah ibnu Mas’ud mengangkat pedang
hendak memenggal kepala Abu Jahal, tetapi Abu Jahal berujar,”Sebelum
engkau membunuh aku, beritahu dahulu pihak mana yang memenangi
pertempuran ini, milik siapakah kemenangan hari ini?”
“Pasukan Quraisy kalah, kemenangan itu milik Allah dan Rasul-Nya,” Jawab Abdullah bin Mas’ud.
“Anda dusta wahai pengembala kambing!” kata Abu Jahal yang menunjukkan sikap angkuhnya walaupun situasi sedang genting.
Tanpa ada melengahkan waktu, pedang Abdullah ibnu Mas’ud terus menebas kepala Abu Jahal.
Berita Abu Jahal terbunuh tersebar
Berita terbunuhnya Abu Jahal dengan cepat
disampaikan kepada pasukan Islam. Mendengar berita tersebut, semangat
juang mereka semakin membara. Manakala, bagi pihak Musyrikin, berita
tersebut menghancur-luluhkan semangat mereka.
Rasulullah saw mendengar berita kematian Abu Jahal daripada Abdullah bin Mas’ud ra, baginda bersabda,
”Wallahi, Laa ilaha illaLLah , Laa
ilaha illaLLah, Laa ilaha illaLLah, Allahu Akbar, AlhamduliLLah, Dia
yang memenuhi janjiNya dengan menolong hambaNya dan mengalahkan
musuhNya.”
Begitulah kematian musuh Allah dan Rasul.
Abu Jahal mati dalam keadaan yang cukup hina walaupun pada ketika itu
beliau termasuk manusia yang dihormati kaumnya. Beluau mempunyai
kekayaan yang melimpah ruah tetapi Allah swt tetap mengotakan janjinya
untuk menghinakan dirinya.
Segalanya bermula dengan serangan dua orang remaja dibawah umur. Segala kekuatannya hilang atas izin Allah swt.
Ia adalah bukti nyata bahawa dengan
kekuatan iman dan jihad, siapa sahaja mampu untuk mengalahkan kekuatan
musuh miskipun musuh adalah individu paling hebat dan kejam pada
zamannya. Kisah dua pemuda ini wajar dijadikan tauladan kepada generasi
muda pada masa kini.
Ya Allah kuatkanlah Islam dengan generasi yang Engkau redhai, dan munculkanlah kekuatan Islam dari munculnya pemuda-pemuda muslim seperti Muaz bin Amr Al-jamuh, dan Muawwiz bin Afra.
_________________________
Rujukan
- Sirah Nabawiyah Ibnu Hisham Jilid 1
- takusahrisaublogsport
Tiada ulasan:
Catat Ulasan