Jumaat, 8 Mac 2013

Terkini - Tidak Terima Gencatan Senjata Pengganas Sulu Keputusan Tegas Kerajaan

Keputusan kerajaan Malaysia menolak tawaran gencatan senjata oleh kumpulan penceroboh militan Sulu di Sabah adalah satu tindakan tegas, bijak, wajar dan tepat demi mempertahankan kedaulatan negara.

Beberapa pihak hari ini menyokong penuh pendirian Malaysia supaya tidak menerima tawaran pemimpin kumpulan pengganas itu, Jamalul Kiram III, kecuali mereka menyerah diri tanpa syarat.

Malah bekas pemimpin tentera, bekas diplomat dan pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) mendesak agar kumpulan penceroboh dari selatan Filipina yang mendarat di persisiran pantai timur Sabah di Kampung Tanduo, Lahad Datu, pada 9 Februari lepas segera diusir dari bumi Sabah.





Bekas Panglima Tentera Darat Jeneral (B) Tan Sri Mohd Azumi Mohamed berkata walaupun kumpulan bersenjata itu diberi masa yang cukup untuk berundur namun mereka enggan dan sebaliknya terus mencabar kedaulatan dan maruah negara.

"Sebarang gencatan senjata hendaklah tanpa syarat...mereka perlu meletak senjata dan menyerah diri," katanya ketika dihubung Bernama.

Pada Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika meninjau Ops Daulat di Felda Sahabat 16, Lahad Datu, mengumumkan bahawa Kuala Lumpur tidak akan menimbang sebarang permintaan gencatan senjata selagi kumpulan penceroboh itu tidak meletak senjata tanpa syarat.

Terdahulu, laporan media Filipina memetik Jamalul Kiram, yang mendakwa dirinya Sultan Sulu, memohon gencatan senjata secara unilateral susulan kematian beberapa anggota pengikutnya dalam gerakan ofensif pasukan keselamatan Malaysia.

Selain menolak tawaran gencatan senjata, Najib mengumumkan pembentukan Kawasan Keselamatan Khas Sabah merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu dengan penambahan lima batalion pasukan keselamatan.

Mohd Azumi, yang pernah terlibat dalam Op Pasir bagi menjaga persisiran pantai Sabah dan Sarawak, menganggap langkah itu sebagai amat baik bagi menyelaras langkah keselamatan selain memuji kerjasama baik antara pihak polis dan tentera dalam Op Daulat di Sabah.

Sementara itu, bekas Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Tan Sri Razali Ismail berkata kumpulan bersenjata itu perlu diusir bagi menamatkan segera krisis pencerobohan itu.

"Saya fikir mereka harus dicampak keluar dari negara ini, tidak sama sekali datang ke Malaysia lagi dan terpulang kepada kerajaan Filipina untuk ambil tindakan susulan," katanya.

Razali, yang juga Pengerusi Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM), berkata tidak ada gunanya untuk mengekstradisi Jamalul Kiram ke negara ini kerana isu pencerobohan dan tuntutan ke atas Sabah akan berlarutan.

"Saya tidak faham apa untungnya untuk kita ekstradisi (Jamalul Kiram)ke sini. Dia banyak pengikut dan nanti akan banyak lagi cerita dan mungkin mereka akan ceroboh lagi ke Malaysia," tegasnya.

Beliau memperjelaskan tuntutan pengikut Kesultanan Sulu yang mendakwa Sabah milik mereka adalah tidak berasas kerana negeri itu milik sah Malaysia mengikut undang-undang antarabangsa.

"Tuntutan itu sudah lama berlarutan dan rakat Sabah sendiri sudah mengatakan bahawa Sabah adalah milik Malaysia...jadi hentikan tuntutan lagi...tutup cerita," katanya
.
Dalam pada itu, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)Tan Sri Lee Lam Thye berkata kajian mendalam mengenai aspek perundangan berkaitan ekstradisi perlu dibuat sebelum sesuatu tindakan diambil.

"Kita serahkan kepada Peguam Negara untuk beri nasihat undang-undang sama ada ia boleh dilakukan atau tidak bagi memastikan apabila sesuatu tindakan diambil, ia berasaskan kepada undang-undang," katanya.
Pejabat Peguam Negara sebelum ini dilapor akan mengemukakan permohonan untuk mengekstradisi Jamalul Kiram ke negara ini dari Filipina jika terbukti ada kes terhadapnya. 
 - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...