Selasa, 26 Mac 2013

Kisah Salafussolleh Yang Khusyuk Solat ...


1- Saidina Umar ra 
Ketika hendak wuduk , beliau pernah ditegur oleh seorang sahabat,"Hai Umar, demamkah engkau kerana kelihatan seperti orang sakit." Pertanyaan tersebut telah menyentuh perasaan Saidina Umar lalu beliau menjawab,"Hai saudaraku, tidakkah engkau tahu dengan siapa aku hendak berhadapan?" 
 
 


Di sini dapatlah kita memahami bahawa tatkala Saidina Umar hendak bersolat datang perasaan gerun dan takut dalam diri beliau sehingga wajahnya berubah seperti wajah orang sedang uzur dan seluruh anggotanya menjadi gementar. Keadaan ini lahir dua perasaan yang timbul di hati beliau: 

a- Saidina Umar ra merasa insaf bahawa ketika mendirikan solat, beliau akan berhadapan dengan Allah SWT yang Maha Besar. Beliau bimbang kalau cara beliau melakukan solat itu tidak sesuai dengan kebesaran Allah SWT. Beliau bimbang jika beliau bersifat kurang span terhadap Allah SWT. 

b- Beliau merasa cemas kerana solat merupakan pembaharuan sumpah setianya kepada Allah SWT . Di samping itu beliau menyedari entah berapa ratus kali beliau telah menyatakan sumpah kepada Allah SWT padahal sumpah yang telah lalu entah sudah ditunaikan atau masih belum. Kini beliau sekali lagi hendak bersumpah memperbaharui ikrar lagi. 

2- Saidina Ali bin Abi Thalib 
Ketika betisnya dipanah musuh, beliau telah berpesan supaya panah itu dicabut ketika beliau sedang solat sunat. Beliau sedikitpun tidak berganjak atau menunjukkan tanda-tanda beliau sedang kesakitan semasa panah itu dicabut dari betisnya. Ini menunjukkan beliau telah menanamkan benih khusyuk itu sejak di luar solat lagi. Ini menunjukkan bila hati telah disemai dengan benih khusyuk sejak di luar solat lagi, akan mudahlah ia subur ketika di dalam solat. 

3- Saidina Abu Bakar As Siddiq 
Saidina Abu Bakar As Siddiq yang merasa terlalu lazat bersolat tanpa mengenal jemu sehingga bengkak-bengkak kakinya dan lebar dahinya. 

4- Sallahuddin Al Ayubi 
Sejarah telah membuktikan para sahabat mampu menumpaskan dan menguasai Rom dan Farsi hanya dengan memperkemaskan ibadah mereka. Sallahuddin Al Ayubi menekankan kepada bala tenteranya supaya bersungguh-sungguh mengamalkan amalan sunat seperti bersugi,membaca Al-Quran dan bersolat malam. Berkat dari solat yang khusyuk itu akhirnya mereka berjaya merempuh kota Konstantinopel , sebuah benteng pertahanan yang cukup kuat ketika itu. 


5- Muhammad Al Fateh 
Muhammad Al Fateh berjaya membuktikan kebenaran hadis Rasullulah saw dimana nanti Kota Konstantinopel berjaya ditawannya dari musuh kerana pemimpin ini tidak pernah meninggalkan solat sejak kecil lagi dan kekhusyukkan ibadahnya menjadi ikutan umatnya. 

6- Saidina Qutham Ibnu Abbas 
Beliau dipancung oleh musuh ketika beliau sedang khusyuk bersolat. Kepalanya terpelanting ke bumi diambil dan dicantumkannya semula ke badan. Setelah berjalan beberapa langkah , jasadnya ghaib . Kejadian ini telah mengerunkan pihak musuh. 

7- Ali Zainal Abidin (Cucu Rasullulah saw) 
Ali Zainal Abidin ialah cucu Rasullulah saw. Ketika sujud beliau tidak menyedari rumahnya dijilat api. Apabila ditanya mengapa dia tidak memperdulikan jeritan dari mereka yang memberitahunya akan kejadian itu, lalu dijawabnya:"Aku telah lupa kerana sibuk memikirkan api Neraka yang lebih besar." 

8- Ammar bin Yassir dan Abbad bin Bashar
Kedua-duanya telah menawarkan diri masing-masing untuk mengawasi khemah Rasullulah saw. Kedua-dua mereka telah ditugaskan berjaga-jaga di puncak sebuah bukit berdekatan dengan tempat Nabi berehat. Kata Abbad kepada Ammar ;" Marilah bergilir-gilir tugas. Bagi separuh masa yang pertama aku akan jaga supaya kamu dapat melelapkan matamu. Kemudian engkau pula berjaga supaya aku pula dapat tidur." 

Ammar bersetuju . Dia pun merebahkan dirinya lalu tidur dengan nyenyaknya . Sambil menjalankan tugasnya Abbad telah mendirikan solat. Seorang peninjau pihak musuh telah melihatnya lantas melepaskan anak panah yang menembusi badan Abbad. Melihat keadaan Abbad yang masih berdiri tegak itu si peninjau tadi melepaskan lagi dua anak panahnya. 

Abbad kemudiannya mencabut ketiga-tiga anak panah itu lantas mengejutkan Ammar. Apabila askar musuh itu melihat kedua-dua orang sahabat itu, beliau melarikan diri kerana menyangka ada ramai lagi askar-askar islam di situ. Melihat badan Abbad yang berdarah itu, Ammar berkata:"Subhanallah" Mengapa kamu lambat membangunkan aku?" 

Abbad menjawab: "Dalam khiraat saya, saya telah mula membaca surah al Kahfi dan saya enggan memendekkannya . Apabila anak panah yang ketiga melekat di badan saya, saya berasa bimbang mengenai keselamatan Rasullulah saw. Saya pun segera menamatkan pembacaan surah al Kahfi sebelum rukuk walaupun saya terpaksa mati dipanah oleh musuh itu tadi." 

Oleh kerana asyik membaca al-Quran , Abbad tidak gementar dengan senjata musuh. Nikmat pembacaan al-Quran menyebabkan dia lupakan badannya yang sakit dan berdarah itu. Bagaimana dengan keadaan solat kita, dengan gigitan nyamuk kita sudah gelisah dalam solat. 

Petikan : 

Buku "Khusyuk Dalam Solat" 
Halaman 28-32
Muhammad Uqbah An Nafiq 
http://mselim3.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...