Isnin, 25 Mac 2013

Berita Gembira Untuk Kakitangan Tujuh Agensi BBDS

Perdana Menteri pada Isnin mengumumkan empat berita gembira kepada 40,000 pegawai dan kakitangan tujuh Agensi Badan Berkanun Yang Diasingkan Saraan (BBDS) pada Perhimpunan Perdana yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan bersetuju menubuhkan dana pencen kepada kakitangan BBDS, memberi imbuhan tetap perumahan, pemberian saguhati kepada mereka yang telah tamat perkhidmatan dan mencadangkan agar caruman majikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diselaraskan.




Tujuh badan berkanun terbabit ialah Lembaga Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Bank Simpanan Nasiona (BSN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Najib berkata, pendapatan negara berkembang dengan baik, justeru itu hasilnya harus dikongsi dengan pekerja dan rakyat.

"Inilah ramuan dan formula di mana kita dapat memakmurkan ekonomi, pekerja dan rakyat.

"Dengan ini kerajaan bersetuju menubuhkan dana pencen bagi tujuh kakitangan BBDS di mana potongan KWSP setiap bulan dibahagi kepada dua, iaitu sebahagian dicarum ke dalam KWSP manakala sebahagian lagi dicarum ke dana pencen," katanya.

Menurut Najib, sekiranya pekerja dijaga dengan baik, mereka turut akan memberi respons yang baik sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.

"Memakmurkan ekonomi dahulu dan mensejahterakan rakyat adalah ramuan yang dipegang sejak mengambil alih tampuk kerajaan," katanya.

Sementara itu, Presiden Gabungan BBDS, Tuan Azman Tuan Yaacob berkata, berita gembira tersebut semenangnya ditunggu-tunggu oleh mereka selama ini.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah meluluskan empat tuntutan tersebut. Ternyata kerajaan hari ini adalah kerajaan yang menepati janji," katanya.

Beliau berkata, keempat-empat tuntutan itu telah diperjuangkan sejak 2009.

Azman turut memberitahu satu jawatankuasa pemandu telah dibentuk untuk membincangkan keempat-empat pengumuman tersebut.

"Mesyuarat antara pegawai-pegawai tujuh agensi terbabit akan dibuat setiap minggu. Saya percaya perkara ini dapat dilaksanakan pada tahun ini juga," katanya.
mstar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda Berkenan .

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...