Khamis, 28 Mac 2013

Hamba Yang Disukai ILAHI



 
ALLAH S.W.T. lebih menyukai hamba-Nya yang kuat dari segi fizikal dan mental. Keyakinan diri antara elemen kekuatan mental yang perlu dimiliki oleh seseorang. Muslim sejati perlu miliki keyakinan yang ampuh untuk mendepani ancaman-ancaman musuh dan menegakkan Islam di muka bumi. Dengan keyakinan semata-mata kerana ALLAH S.W.T., kita dapat menangkis serangan daripada musuh Islam. Orang yang mempunyai keyakinan yang tinggi juga akan membela maruah serta menjaga kesucian Islam. Tanpa keyakinan diri, umat Islam akan dipijak dan dimanipulasi oleh umat lain.
 
 
 
 
     Firman-Nya yang bermaksud:
 

"Persiapkanlah diri untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan." - Surah al-Anfaal: 60
     
Umat Islam terdahulu cukup tegar dalam mempertahankan kesucian Islam. Mereka sanggup berperang demi menegakkan agama walaupun musuh yang dihadapi jauh lebih kuat dan ramai. Mereka memiliki semangat juang yang tinggi serta tidak mudah menyerah kepada musuh. Hasilnya, Islam menang dalam pelbagai peperangan. Banyak kawasan baru dapat ditakluki. Dengan itu, agama ALLAH S.W.T.  disebarkan dengan cepat ke seluruh dunia. Oleh itu, contohilah semangat juang generasi-generasi terdahulu. Mereka mempunyai keyakinan yang tidak mudah goyah dek senjata musuh. Merekalah generasi yang kuat fizikal dan mental.
 
      Firman-Nya yang bermaksud:
 
"Betapa ramai nabi yang sebahagian besar pengikutnya berperang bersama-sama dengan mereka. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan ALLAH dan tidak pula lesu serta tidak menyerah kalah (kepada musuh). (Ingatlah) ALLAH Maha Mengasihi orang yang sabar." -Surah Ali_Imran:146
     
  Carilah kasih sayang ILAHI dengan menjadi hamba-Nya yang kuat. Sebagaimana Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
 
"Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih disukai ALLAH berbanding orang mukmin yang lemah." -HR Muslim
      
 Sesungguhnya, DIA tidak menyukai insan yang bersifat lemah. Sifat-sifat lemah termasuklah kurang keyakinan diri, suka mengeluh, meminta-minta, malas berusaha dan mudah putus asa. Ini bukanlah sifat umat yang terbaik.
 
         Umat yang terbaik perlu jadi model kepada umat lain kerana ketinggian dan keunggulan sifat yang ada pada mereka. Oleh itu, perlulah menjadi gah dengan sifat-sifat unggul seperti kuat semangat, cekal, berani, tangkas, berkebolehan, komited, tahan dugaan, sabar dan istiqamah, Lantas, umat Islam akan menjadi umat yang disegani dan digeruni. ALLAH S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud:
 
"ALLAH tidak akan mengubah apa-apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka." Surah ar-Ra'ad: 11
          
Justeru itu, pintu untuk berubah sentiasa terbuka kepada kita yang ingin mengubah diri dan masa depan. Kitalah yang bertanggungjawab untuk mengubah sikap, tabiat dan tingkah laku. Jika kita merasakan bahawa kita seorang yang lemah semangat, mempunyai daya saing yang tinggi dan tahan ujian (resilient). Kita akan menjadi umat yang kuat dan sentiasa dicintai ILAHI.
 http://cloudboy93.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...