Ust. Apa patut kita lakukan untuk hati yang hiba, harap penjelasan ust untuk selesaikan masalah saya ini.
Jawapan
Setiap manusia yang dijadikan Allah dibekalkan dengan akal dan emosi
agar manusia boleh menjalankan kehidupan dengan sebaik yang mungkin.
Emosi perlu dikawal oleh akal dan akal pula perlu dikawal oleh iman.
Jika ketiga-tiga ini ada di dalam diri manusia, maka sudah pasti ia akan
menjadi manusia yang baik dan soleh. Bergantung kepada cara individu
tersebut untuk mengawal emosinya agar tidak keterlaluan dan sentiasa
berada dalam keadaan normal. Emosi yang hanya berpandukan kepada akal
semata-mata akan menjadi sesat dan jauh menyimpang dari ajaran Islam.
Contoh yang dapat kita lihat sekarang seperti ramai umat Islam yang
sanggup membunuh diri kerana kekecewaan yang sangat. Ada pula yang
sanggup membunuh atau mencederakan orang lain kerana terlalu marah.
Tetapi apabila ia dikawal oleh akal dan iman sudah tentu orang yang
sedih akan pasrah kerana ia tahu bahawa itu adalah ketentuan Allah dan
setiap perkara itu ada hikmah disebaliknya.
Hati yang hiba tidak boleh kita hapuskan dan ia merupakan sebahagian
daripada emosi yang telah dianugerahkan kepada manusia. Caranya untuk
mengawal hati yang hiba ini ialah kembali kepada Islam seperti yang saya
tegaskan di atas. Islam mempunyai penawar yang mujarab bagi mengubati
segala penyakit manusia sama ada rohani atau jasmani. Hal ini sangat
berbeza dengan agama-agama yang lain kerana mereka tidak ada asas
pembinaan rohani kepada setiap umat mereka.
Membaca Al-Quran
Al-Quran adalah ubat yang sangat mustajab kepada manusia bagi
menghilangkan perasaan hiba dan segala penyakit hati dan jasad. Setiap
orang yang membaca Al-Quran akan menjadi tenang dan Allah akan
memberikannya jalan keluar atas segala kesulitan yang dihadapi olehnya.
Firman Allah yang bermaksud :
“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat
suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman
kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang
zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” (Al-Isra : 82)
Seorang lelaki datang berjumpa dengan Ibnu Mas’ud. Dia mengeluh dan
berkata “Wahai Ibnu Mas’ud nasihatilah aku dan berilah penawar untuk
jiwaku yang gelisah ini, aku tidak tenteram, jiwa gelisah dan fikiran
aku bercelaru. Ibnu Mas’ud menjawab “kalau begitu bacalah Al-Quran atau
engkau mendengar orang membaca Al-Quran.
Mengunjungi Tempat Pengajian
Mengunjungi tempat pengajian juga merupakan cara untuk mendidik jiwa
agar mengenali dan sentiasa mengingati Allah. Tidak rugi orang yang
sentiasa mengunjungi tempat pengajian, kerana di dalam pengajian
tersebut dipenuhi dengan nasihat, ilmu, ayat-ayat Al-Quran dan hadis.
Ini bertujuan untuk mendidik nafsu dan emosi kita agar sentiasa
bertindak mengikuti kehendak Allah dan tidak menyalahi syarak. Menuntut
ilmu adalah amalan yang sangat baik dan sangat dituntut oleh Islam dan
ia juga merupakan fardu ain bagi sekalian umat Islam.
Telah Berkata Muadz bin Jabal : “Pelajarilah Ilmu, karena mempelajari
ilmu merupakan bentuk Khosyah (takut) kepada Allah, Menuntutnya adalah
ibadah dan mempelajarinya secara bersama-sama adalah tasbih”.
Jelas di sini, orang yang rajin menuntut ilmu atau menghadiri
kelas-kelas pengajian ilmu, seolahnya ia sentiasa bertasbih dan berzikir
kepada Allah. Segala kepayahan, kesukaran dan kesedihan yang dihadapi
olehnya akan terubat dan ia tahu bagaimana untuk bertindak sesuai dengan
tuntutan Islam. Ini berbeza dengan orang yang tidak menuntut ilmu,
kerana mereka sering melakukan kesalahan dalam tindakan mereka dan
kadang-kadang ibadah yang dilakukan juga silap. Perkara sebegini sangat
bahaya dan sangat merugikan orang yang tidak berilmu.
Sentiasa Berzikir
Untuk menghilangkan perasaan hiba yang dialami oleh seseorang, maka
hendaklah ia sentiasa berzikir menyebut nama Allah. Perasaan hiba ini
berlaku apabila hati seseorang itu terluka. Untuk merawat hati yang
terlupa memerlukan suatu kaedah yang rohaniah dan tidak boleh
menggunakan ubat-ubatan farmasi atau klinik. Zikir adalah ubat yang
sangat mustajab dan sangat mempengaruhi hati seseorang yang selalu
berzikir.
Jika ia berjalan tersepak batu mulutnya terus menyebut “Allah Akbar”,
setelah kekenyangan dia menyebut “Alhamdulillah”, apabila ia
terperanjat atau melihat sesuatu yang menakjubkan dia menyebut
“Subhanallah”. Inilah yang dikatakan orang yang memiliki hati yang hidup
dan sentiasa mengingati Allah. Firman Allah yang bermaksud :
“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka
dengan zikrullah”. ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah
hati manusia.” (Ar-Rad : 28)
Mengerjakan Solat
Solat merupakan ibadah yang paling penting di dalam Islam, tanpa
mendirikan solat! ibadah lain juga turut ditolak. Jadi kita sebagai umat
Islam, jangan sesekali mensia-siakan amanah yang diperintahkan Allah
ini pada setiap hari dan waktu, walaupun sibuk dengan tugasan harian,
namun solat sesekali tidak pernah ditinggalkan. Hadis Nabi yang
bermaksud :
“Solat itu tiang agama, sesiapa mendirikan solat maka dia telah
mendirikan agama dan sesiapa meninggalkan solat dia telah meruntuhkan
agama”. (Riwayat Baihaqi)
Berkata Dr. Musfir Bin Said Az-Zahrani bahawa solat adalah satu nama
yang menunjukkan adanya ikatan yang kuat antara hamba dengan Tuhannya.
Dalam solat, hamba seolah berada di hadapan Tuhannya dan dengan penuh
kekhusyukannya memohon banyak hal kepadaNya. Perasaan ini akhirnya boleh
menimbulkan adanya kejernihan spiritual, ketenangan hati dan keamanan
diri di kala ia mengerahkan semua emosi dan anggota tubuhnya mengarahkan
kepadaNya dengan meninggalkan semua kesibukkan dunia dan
permasalahannya. Pada saat solat ia boleh sepenuhnya memikirkan Tuhannya
tanpa ada interaksi dari sesiapa pun hingga pada saat itulah ia
merasakan ketenangan dan akalnya pun seolah menemukan waktu rehatnya.
Jelas di sini, bahawa solat adalah sebahagian dari terapi yang boleh
mengubati jiwa seseorang yang berada di dalam keadaan hiba. Semasa
mendirikan solat, seseorang itu harus mengosongkan jiwa dan raganya
untuk member sepenuh tumpuan kepada Allah. Segala yang berlaku sebelum
solat telah diredhokannya kerana ia hendak memfokuskan seluruh hatinya
kepada solat dengan harapan mendapat khusyuk kepada Allah. Secara tidak
langsung, kita tidak mempunyai perasaan iri hati dan dendam kepada
sesiapa yang melakukan masalah kepada kita kerana telah redho kepada
ketentuan dan ketetapan Allah. Dua perkara yang dapat kita hindar
setelah menunaikan solat iaitu perasaan hiba atau kecewa dan perasaan
ingin melakukan kejahatan yang jelas dilarang oleh Islam. Firman Allah
yang bermaksud :
“Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar’’ (Al-Ankabut : 45)
Amat rugi bagi orang yang mendirikan solat secara sambil lewa tanpa
ada semangat untuk melaksanakan solat dengan baik sepertimana yang
diajarkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Solat yang tidak sempurna
diibaratkan seperti kain buruk dan kain itu akan dicampakkan oleh Allah
ke muka kita apabila dihari perhitungan nanti.
Bersangka Baik Kepada Orang
Salah satu sifat yang disarankan oleh Islam ialah bersangka baik
kepada orang lain (husnuzon) dan ia adalah salah satu dari sifat
mahmudah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Punca timbulnya rasa
tidak tenang kepada orang lain adalah kerana kita mempunyai perasangka
yang tidak baik kepada orang lain sehingga menyebabkan hubungan kita
dengan orang tersebut tidak selesa. Firman Allah yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan
(supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana
sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah
kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan
janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah
seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?
(jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya.
(oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah
kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha
Mengasihani.” (Al-Hujurat : 12)
Sikap berbaik sangka ada banyak kebaikannya di antara diri kita dan
orang lain. Orang yang berbaik sangka sentiasa mudah untuk menerima
orang lain di dalam kehidupannya walaupun orang tersebut tidak mempunyai
apa-apa pertalian darah darinya. Walaupun begitu, dia menganggap orang
lain seperti saudaranya yang dekat dan sentiasa mudah untuk membantu dan
menjalinkan hubungan sosial dengan orang lain. Malah inilah perkara
yang dianjurkan oleh Islam, kerana setiap umat Islam itu adalah
bersaudara. Ibarat tangan kanan dicubit tangan kiri juga turut merasai
kesakitannya.
Selain dari itu, hubungan persaudaraan sesama Islam menjadi lebih
baik dan lebih inteam di antara satu sama lain. Ini berlaku adalah
disebabkan oleh perasaan yang bebas dan hati yang terbuka dari sebarang
sikap dan sifat yang buruk terhadap saudaranya yang lain. Segala
kesalahan dan teguran dari orang lain akan dinilai olehnya dengan
positif, jika teguran itu baik menuruti lunas-lunas undang-undang Islam
akan diterimanya dengan tenang. Manakala yang tidak menepati kehendak
Islam akan ditolaknya dengan alasan yang baik dan terbuka. Sekiranya
orang lain melakukan kesalahan kepadanya seperti mencerca dan menyakiti
hatinya, ia akan segera memaafkan orang tersebut dan diubati
kesakitannya dengan zikir dan mengingati Allah.
Penutup
Segala garis panduan yang diberikan di sini, boleh mengubati perasaan
yang hiba itu, kerana hati yang hiba tidak boleh diubati dengan ubat,
ia mesti diubati dengan rawatan rohani yang hanya terdapat di dalam
agama Islam sahaja. Islam meliputi semua aspek iaitu rohani dan jasmani
dan merupakan pelengkap kepada kehidupan manusia. Setiap apa yang
berlaku kembalilah kepada agama Islam, nescaya Islam itu mempunyai
kaedah yang tersendiri dan mampu mengubati seluruh penyakit yang ada
pada manusia. Selain itu, segala ibadah yang dilakukan dapat
meningkatkan keimanan kita kepada Allah dan menjadikan kita seorang
hamba yang baik dan soleh. Hal ini semua boleh diperolehi, jika segala
ibadah dilakukan dengan sebaik yang mungkin seperti ikhlas dan tanpa ada
apa-apa perasaan sebaliknya.
Sumber: Ustaz Nor Amin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan