1) Kalau ada pakaian
yang koyak, Rasulullah S.A.W. menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh
isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga
mahupun untuk dijual.
2) Setiap kali pulang ke
rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap dimasak untuk
dimakan, sambil tersenyum baginda S.A.W. menyinsing lengan bajunya untuk
membantu isterinya di dapur. Sayidatina ‘Aisyah menceritakan “Kalau
Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga.”
3) Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang.
4) Pernah Baginda S.A.W.
pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar waktu itu. Tetapi
dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak
ada kerana Sayidatina ‘Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi S.A.W. bertanya,
“Belum ada sarapan ya Humaira?” (Humaira adalah panggilan mesra untuk
Sayidatina ‘Aisyah yang bererti ‘Wahai yang kemerah-merahan’)
Aisyah menjawab dengan
agak serba salah, “Belum ada apa-apa wahai Rasulullah.” Rasulullah
lantas berkata, “Jika begitu aku puasa saja hari ini.” tanpa sedikit
tergambar rasa kesal di wajahnya.
5) Sebaliknya Baginda
S.A.W. sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul isterinya.
Rasulullah S.A.W. menegur, “Mengapa engkau memukul isterimu?”
Lantas soalan itu
dijawab dengan agak gementar, “Isteriku sangat keras kepala. Sudah
diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia.”
“Aku tidak bertanya
alasanmu,” sahut Nabi S.A.W. “Aku menanyakan mengapa engkau memukul
teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?”
6) Pernah Baginda S.A.W.
bersabda, “Sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut
terhadap isterinya.” Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda dalam
menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan
kedudukannya sebagai pemimpin umat.
7) Pada suatu ketika
Baginda S.A.W. menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat, pergerakan
Baginda S.A.W. antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar
sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi
pada tubuh Baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain.
Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan Baginda itu langsung
bertanya setelah selesai bersembahyang,
“Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?”
“Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar.”
“Ya Rasulullah…mengapa
setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi
bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit…” desak Umar
penuh cemas.
Akhirnya Rasulullah
mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang
kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat
menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi
halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.
“Ya Rasulullah! Adakah
bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan kami tidak akan
mendapatkannya buat tuan?” Lalu baginda menjawab dengan lembut, “Tidak
para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu.
Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai
pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?”
“Biarlah kelaparan ini
sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan
di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak.”
8) Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikitpun makan di sebelah seorang tua yang penuh kudis, miskin dan kotor.
9) Hanya diam dan
bersabar bila kain rida’nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab
Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan
baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi di dalam masjid sebelum
menegur dengan lembut perbuatan itu.
10) Kecintaannya yang
tinggi terhadap ALLAH S.W.T. dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam
diri Rasulullah S.A.W. menolak sama sekali rasa ke tuanan.
11) Seolah-olah anugerah
kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab untuknya merasa
lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam keseorangan.
12) Pintu Syurga telah
terbuka seluas-luasnya untuk Baginda S.A.W., Baginda S.A.W. masih lagi
berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah
hinggakan pernah Baginda S.A.W. terjatuh lantaran kakinya sudah
bengkak-bengkak.
13) Fizikalnya sudah
tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi. Bila ditanya oleh
Sayidatina ‘Aisyah, “Ya Rasulullah, bukankah engaku telah dijamin
Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?”
Jawab baginda dengan
lunak, “Ya ‘Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba?
Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur.”
*sumber dari peribadirasulullah.wordpress.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan