Kebanyakan ibu mengandung akan mengalami pengalaman yang hampir sama.
Ada yang menyeronokkan dan ada yang membuatkan ibu tidak selesa sehingga
kalau boleh hendak ia berakhir dengan cepat. Tetapi percayalah selepas
ibu melahirkan bayi, pasti ibu akan merindui pengalaman berharga
tersebut. Berikut adalah beberapa perkara utama yang pasti berlaku
sepanjang mengandung.
- Morning Sickness Teruk
Bagi yang pertama kali mengandung dan mengalami morning sickness
yang teruk pasti tidak akan melupakan pengalaman ini. Mual, loya,
muntah, tak lalu makan, asyik nak tidur dan banyak lagi yang tiba-tiba
berlaku pada diri sendiri adalah pengalaman paling tidak seronok semasa
mengandung.
- Pertama Kali Dengar Degup Jantung Si kecil
Rasa macam nak menangis bila pertama kali dengar degup jantung si
kecil! Macam tak percaya ada insan kecil yang perlu dilindungi dalam
perut anda. Biasanya degup jantung dapat didengar semasa doktor membuat
ujian imbasan semasa kandungan berusia 12 minggu.
- Tendangan Pertama Orang Dalam
“Oh macam ni rupanya rasa kena tendang dari dalam perut.” Mungkin itu yang terlintas di fikiran anda. Cute je
rasa bila kaki kecil bayi anda mula membuat gerakan tendangan dalam
perut. Terasa geli tetapi dalam masa yang sama muncul perasaan bahagia.
Biasanya ibu mula merasakan tendangan pertama ketika usia kandungan
antara 16 – 24 minggu.
- Berbual Dengan Bayi
Terasa seronok apabila boleh berbual-bual dengan bayi sambil mengusap
lembut perut. Ia merupakan rangsangan awal yang terbaik kepada bayi
anda. Bayi akan memberikan respon pergerakan apabila ibu kerap berbual
dengannya. Itu tandanya bayi kenal anda adalah ibunya.
- Isyarat Bayi Kenyang Dalam Perut
Kalau ibu terasa lapar, bayi kerap membuat pergerakan tetapi bila ibu
sudah makan, biasanya bayi tidak banyak ragam dan akan kurang pergerakan
serta tidur lena di dalam rahim ibu.
- Menatap Wajah Bayi Dalam Bentuk 4D
Ok, yang ini memang ramai ibu yang mengalirkan air mata gembira.
Seronok tak terhingga melihat pergerakan dan wajah si kecil dalam perut.
Terus rasa tak sabar nak lahirkan anak dalam kandungan. Menatap wajah
bayi dalam bentuk 4D benar-benar membuatkan ibu menangis bahagia.
- Membeli Pakaian Mengandung
Perubahan fizikal bentuk badan ibu mengandung membuatkan anda perlu
menukar pakaian sedia ada dengan pakaian mengandung. Belilah koleksi
yang boleh dipakai dua dalam satu iaitu baju mengandung termasuk baju
menyusu.
- Mencari Nama Bayi
Terujanya! Jangan sampai anda suami isteri bertengkar kerana memilih
nama bayi sudah. Pilihlah nama bayi yang mempunyai makna yang elok.
- Membeli Kelengkapan Bayi
Ini juga antara perkara yang paling menyeronokkan apabila hendak sambut
orang baharu. Kalau tak tahu nak mula beli barang apa dulu, lebih baik
anda buat senarai barang yang perlu ada untuk menyambut kelahiran bayi.
Utamakan membeli barangan kelengkapan yang wajib ada dahulu, jangan
membazir beli barang yang tidak perlu walaupun anda tidak tahan melihat
‘kecomelan’ barangan tersebut.
- Merasa Kontraksi Pertama
Pengakhiran sebuah kehamilan adalah merasai kesakitan kontraksi untuk
melahirkan bayi. Kesakitan yang memang tidak boleh dibayangkan oleh
kebanyakan wanita yang pertama kali mengandung pasti akan menjadi
kenangan yang paling tidak akan dilupakan oleh mereka sampai bila-bila.
Kepada ibu yang sedang hamil ketika ini, nikmati segala pengalaman
baharu yang anda lalui itu dengan penuh kegembiraan kerana ia sangat
berharga.
pama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan