Sebanyak 24 lebuh raya di seluruh negara akan memberikan diskaun dan
rebat tol antara 5 dan 37.5 peratus sempena Tahun Baharu Cina yang akan
disambut pada 10 dan 11 Feb ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri
Shaziman Abu Mansor.
Beliau berkata bagi lebuh raya kendalian Plus Bhd, pengguna kelas 1
yang menggunakan bayaran tol secara elektronik boleh menikmati rebat tol
sebanyak 20 peratus pada 7 Februari dan 15 Februari dan rebat 30
peratus pada 10 Februari.
"Manakala di lebuh raya lain, pengguna akan menikmati diskaun tol di
antara 15 peratus hingga 37.5 peratus pada 9, 10 dan 11 Feb," katanya
kepada pemberita ketika melawat tapak projek pelebaran lorong keempat
Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di kawasan Rehat dan Rawat Seremban arah
selatan di sini, Isnin.
Mengenai projek pelebaran lebuh raya dari tiga lorong kepada empat
lorong di antara persimpangan Shah Alam ke plaza tol Jalan Duta ke
Rawang dan dari persimpangan Nilai Utara ke Port Dickson melibatkan
beberapa jajaran di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya
Utara-Selatan (NSE) sepanjang 63.3 kilometer, katanya ia dijadualkan
siap pada Disember 2014.
Sehubungan itu, beliau berharap projek pembinaan persimpangan
bertingkat Seremban yang baharu akan dapat disiapkan dalam waktu yang
sama atau lebih cepat. "Untuk itu, saya telah meminta Lembaga Lebuhraya
Malaysia agar berbincang dengan kerajaan Negeri Sembilan untuk
mengeluarkan 'certificate of urgency' supaya kerja-kerja pembinaan
persimpangan bertingkat yang baharu itu dapat dilakukan (dimulakan)
dengan segera. Ini supaya masalah kesesakan yang dihadapi oleh pengguna
yang ingin memasuki bandar ini dapat diatasi dengan segera," katanya.
Shaziman juga meminta dihentikan kerja pembinaan di lebuh raya
kecuali kerja kritikal bagi mengelakkan gangguan kepada kelancaran
aliran trafik sepanjang tempoh operasi bersepadu Ops Selamat dari 3
Februari hingga 17 Februari.
"Saya juga meminta supaya meningkatkan kadar kekerapan rondaan di
lebuh raya bagi persediaan dalam menangani perkara di luar jangkaan.
Selain itu, kita minta syarikat konsesi menyediakan lebih banyak data
atau informasi bergerak untuk dimaklumkan kepada pengguna apabila
berlaku kesesakan dan sebagainya," katanya.
-BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan