Rabu, 6 Februari 2013

Kisah Mualaf - Perjalanan Saya Mengenali Islam. Subhanallah


Kisah Pejalanan Mengenai Islam

Kisah Mualaf - Perjalanan Saya Mengenali Islam | Artikel ini dipetik dari Facebook saudara kita, Muhammad Ooi setelah mendapat kebenaran beliau.
 
Saya mengenali Islam menerusi konsep tauhid / ketuhanan yang Esa sejak sekolah menengah. Sebelum itu, ketika sekolah rendah saya belajar mengenai Kristian dan Buddha.
 
Titik bermula timbul rasa ingin mengenali Kristian ialah setelah membaca sebuah komik tebal yang mengisahkan Jesus, yang saya pinjam daripada kawan bernama Chin Wan King ( kalau tak silap la ya..anak seorang businessman di Pekan Baling ) . Komik jenis ‘serius’. Ketika itu, darjah 5 kalau tak silap saya. Terus saya mencari di mana boleh belajar Kristian.
 
 
 
Akhirnya, seorang cikgu perempuan approach saya dan tawarkan program bercuti sambil belajar pasal Kristian. Apa yang saya kenali pasal Kristian adalah yang baik-baik belaka, ajak manusia berkasih sayang, berbuat baik, berdoa. Kami belajar, menyanyi, buat persembahan lakonan di gereja. Memang seronok ketika itu. Selepas selang masa tertentu, saya menyatakan hasrat nak masuk Kristian. Saya ingatkan mak ayah akan setuju, sebab di rumah saya ketika itu ada Bible versi Bahasa Cina. Tetapi mak menzahirkan rasa tidak setuju, saya terpaksa akur.
 
Saya juga mengikuti program Buddha, tapi tak lama. Saya suka ajaran Buddha mengajak ke arah berbuat baik. Ntah kenapa hati kurang terikat lama.
 
Lebih awal daripada itu, sekitar darjah 2, 3,4 barangkali, saya suka ke Watt Siam.. ikut aktiviti mereka. Selalu pergi jumpa sami minta restu, minta direnjiskan air jampi mereka, minum air jampi yang disediakan di sebuah bekas dalam bilik utama penyembahan, selalu minta dipakaikan tangkal berwarna oren di pergelangan tangan.
 
Saya juga selalu ‘ceroboh’ sebuah bilik yang memang sunyi, kerana rasa ingin tahu. Bilik itu ada banyak bingkai gambar lukisan di dinding. Antara yang mampu saya ingat, lukisan manusia tanpa pakaian lelaki dan perempuan memanjat pohon-pohon berduri, ada yang lidahnya ditarik panjang, ada yang diberikan minuman panas, ada yang digergaji.
 
Gambar itu sangat ngeri. Saya faham itu sebagai gambaran seksaan di neraka.
 
————-
Berbalik kepada sekolah menengah sekitar Tingkatan 2,3,4. Saya banyak meminjam dan membaca buku berkaitan akidah, terjemahan Quran, Tanbihul Ghafilin, Bimbingan Mukminin. Saya juga suka dan belajar melalui kaset Ustaz Shamsuri Ahmad, belanjakan wang simpanan beli video tape Jejak Rasul. Saya menjadi semakin kagum dengan akhlak Nabi Muhammad ( peace be upon him ).
 
Tauhid Islam itu mudah. Tuhan itu hanya satu. Esa. Nabi Muhammad adalah manusia yang dipilih untuk sampaikan mesej ‘sembah Tuhan yang satu’. Seperti mana yang dibawakan oleh Nabi Adam, Moses, Jesus, Abraham, Ismail. Hidup menurut tata kelola yang terkandung dalam kitab Al Quran, iaitu mesej atau kata-kata daripada Allah. Islam mengajak manusia sembah Tuhan, bukan sembah messenger Tuhan.
 
Kecenderungan saya belajar Islam, disedari guru-guru. Saya juga suka bertanya soalan berkaitan penciptaan manusia, dinosaur, sistem alam cakerawala.
 
Apabila diimbas balik, saya dapati tiada seorang ustaz / guru sama ada lelaki atau perempuan Islam di sekolah yang secara proaktif mendekati saya untuk menceritakan Islam kepada saya / dakwah kepada saya. Ya, tiada. ( itulah ingatan saya. moga Allah ampunkan saya jika saya terlupa ). Tetapi saya sedar guru-guru Islam suka kecenderungan saya, sekadar itu sahaja.
 
Apa yang berlaku ialah saya mendekati ustazah Fatimah, banyak bertanya soalan kepada beliau. Kadang-kadang suami ustazah, Ustaz Abdul Rashid. Mereka banyak menjawab soalan-soalan saya.
 
Apabila guru-guru non-Muslim menyedari kecenderungan saya belajar Islam, adalah seorang dua yang approach saya dan menasihati agar tidak silap buat keputusan. Saya hormati mereka kerana ambil berat.
 
————–
Apabila di tingkatan 4. Saya sudah sangat yakin dan ingin menganut Islam secara rasmi. Saya pergi berjumpa seorang ustaz, suarakan hasrat saya. Beliau bertanya soalan seperti adakah sudah pandai solat, sudah pandai itu dan ini.
 
Saya jadi sedikit terkilan, kerana keterujaan saya nak masuk Islam tidak disambut dengan baik. Akhirnya, saya mencari seorang guru lain iaitu Cikgu Anuar Husain dan suarakan hasrat saya. Beliau bertanya memastikan dulu bahawa hasrat saya itu tidak dipengaruhi oleh sebab-sebab lain..akhirnya beliau ajarkan saya syahadah : Tiada Tuhan selain Allah, Nabi Muhammad itu pesuruh ( messenger ) Allah. Kemudian diajarkan saya solat secara praktikal. Syukur kepada Allah. Satu keputusan dan pencapaian yang tidak pernah saya terdetik rasa menyesal.
 
Selepas daripada itu, saya kenal lebih ramai guru yang berikan sokongan. Antara yang masih saya ingat ialah Cikgu Ishak Mat, Cikgu Basri, Cikgu Mansor Hasan, keluarga Pakcik Johar ( ayah Izwandy ) dan lain-lain individu. Setiap usaha dan bantuan anda, saya doakan semoga Allah ganjari anda semua dengan sebanyak-banyak kebaikan.
 
—————-
Manusia cipta pen untuk menulis, mencatatkan. Telefon bimbit diciptakan untuk berkomunikasi. Payung untuk memayungi dari panas dan hujan. Semua objek ini tiada nyawa. Tetapi tetap ada matlamat penciptaannya. Tetap ada manfaatnya kepada manusia lain. Setiap satu ada jangka hayatnya. Walaupun ciptaan seringkas pensel, tetap ada manfaatnya.
 
Manusia ini sangat kompleks strukturnya, dalam badan ada organ-organ dengan fungsi tertentu, ada darah, ada air, ada saluran darah, ada buah pinggang, ada otak. Setiap ada fungsi yang sangat spesifik dan saling berkait. Sebegitu hebat badan dan akal manusia.
 
Takkanlah kejadian manusia yang ada nyawa dan akal, tiada matlamatnya?
 
Takkanlah hanya sekadar pergi sekolah, belajar, kerja, bercinta, kumpul wang, bayar hutang, berkahwin, beranak, bersuka ria, berduka, tua dan mati ?
 
Kenapa kucing yang tiada akal fikiran seperti kita, tahu bersihkan badannya dengan sangat tertib? Bagaimana kucing tahu kambus balik najisnya dengan tanah / pasir, setelah selesai ‘businessnya’ ? Siapa yang ajar dia? Kucing tiada sekolah. Di mana kucing dapat ‘idea’ itu? Banyak lagi contoh lain…
 
Semua soalan ini, buat saya cari siapa yang ‘install’ idea ini kepada mereka.
 
——————–
Jika belum jumpa, teruskan mencari. Jika sudah tahu dan jumpa, janganlah kita berdiam diri. Bagi tahu orang lain pula.
 
Saya selalu membayangkan diri saya seperti ketua rombongan, yang perlu mengajak ahli keluarga saya dan seramai mungkin manusia lain untuk pergi syurga.
 
Syurga disediakan untuk orang yang recognize siapa penciptanya. Dan hidup menurut kata-kataNya.
fuh.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...