Selasa, 19 Mac 2013

Al-Kindi, saintis, ahli falsafah Islam terkenal

Biografi Al-Kindi

Al-Kindi atau nama sebenarnya Abu Yusuf Yaqub Ibn Ishaq as-Sabbah al-Kindi (Latin: Alkindus) adalah seorang saintis Islam terkenal. Beliau juga dikenali sebagai ahli falsafah Arab atau bapa falsafah Islam, mempunyai kepakaran dalam ilmu matematik, perubatan, geografi dan muzik.

Beliau berasal daripada keluarga bangsawan kaum Kinda, dilahirkan di Kufah pada 801. Bapanya seorang gabenor Kufah. Al-Kindi mendapat pendidikan awal di sana.

Selepas itu beliau melanjutkan pengajian di Baghdad dan waktu itu beliau dikunjungi khalifah Abbasiyah al-Ma'mun dan al-Mu'tasim.





Ilmu dimiliki dan kebolehan beliau untuk melakukan kajian mendapat perhatian al-Ma'mun sehingga beliau diberi tugas melakukan kerja penterjemahan teks falsafah dan saintifik Yunani di Baghdad.

Apabila al-Ma'mun meninggal dunia, saudaranya al-Mu'tasim menjadi khalifah. Kedudukan al-Kindi terus mendapat tempat di bawah al-Mu'tasim yang melantik beliau sebagai tutor kepada anaknya.

Pada zaman al-Mutawakkil, beliau dilantik sebagai pelukis khat memandangkan hasil seninya begitu cantik.

Namun ketokohan al-Kindi dikatakan kurang menyerlah pada masa al-Wathiq dan al-Mutawakkil. Ada beberapa teori diandaikan mengenai perkara ini.

Antaranya merudumnya sifat persaingan ilmiah al-Kindi, merujuk kepada penganiayaan al-Mutawakkil terhadap sesetengah umat Islam (termasuk bukan Islam), malah pada satu ketika beliau dipukul dan perpustakaan sementaranya dirampas.


Ahli falsafah, ahli teologi dan profesor pengajian Islam, Henry Corbin ada berpendapat, pada 873, al-Kindi meninggal dunia sebagai 'seorang yang kesepian' sewaktu pemerintahan al-Mu'tamid di Baghdad.

Selepas kematian beliau, karya falsafahnya cepat jatuh dalam kekaburan, malah kebanyakannya hilang walaupun kepada ulama dan ahli sejarah terkemudian.

Walaupun karya dan ketokohan al-Kindi agak tenggelam dibandingkan dengan al-Farabi dan Ibnu Sina, beliau juga diiktiraf sebagai antara penyumbang terbesar dalam karya falsafah Islam. Bahkan, beliau dilaporkan menguasai banyak bidang pemikiran yang berbeza.

Tokoh Renaissance Itali, Geralomo Cardano yang hidup pada 1501-1575 menganggap beliau satu daripada 12 minda terbesar pada Zaman Pertengahan.

Menurut Ibnu al-Nadim, al-Kindi menulis sekurang-kurangnya 260 buku, membabitkan bidang geometri (32 buku), perubatan dan falsafah (22 buku setiap satu), ilmu logik (sembilan buku) dan fizik (12 buku).

Info Al- Kindi

* Seorang saintis Islam terkenal, ahli falsafah Arab dan mempunyai kepakaran dalam matematik, perubatan, geografi dan muzik.

* Berasal daripada keluarga bangsawan kaum Kinda yang dilahirkan di Kufah.

* Al-Kindi diiktiraf sebagai antara penyumbang terbesar dalam karya falsafah Islam.

* Beliau dianggap satu daripada 12 minda terbesar Zaman Pertengahan.
 http://anizyn.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...