Jumaat, 15 Mac 2013

Kadi Kuala Lumpur yang pertama

Syeikh Uthman bin Abdullah, ulama besar asal Minangkabau ini adalah bersaudara dengan seorang lagi ulama besar yang banyak berjasa di Tanah Melayu iaitu Syeikh Muhammad Saleh bin Abdullah al-Minankabawi. Syeikh Muhammad Saleh pernah menjadi Syeikhul Islam negeri Perak ketika Sultan Iskandar Shah memerintah negeri tersebut.

Syeikh Uthman dilahirkan di Batu Sangkar, Minangkabau pada tahun 1267 Hijrah bersamaan dengan 1850 Masihi.
 


Batu Sangkar pada masa itu adalah merupakan pusat penyebaran Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah yang diiasaskan oleh Syeikh Ismail bin Abdullah al-Khalidi, seorang lagi ulama besar yang sangat terkenal di Alam Melayu. Menjadi kelaziman alim ulama Alam Melayu pada waktu itu, pengajian kemudiannya dilanjutkan di Mekah.

Antara gurunya di Mekah ialah Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Muhammad bin Ismail @ Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, Syeikh Wan `Ali Kutan al-Kalantani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syeikh Abdul Hamid asy-Syarwani dan ramai lagi.

Syeikh Uthman pulang ke tanah Minangkabau pada penghujung tahun 1884 Masihi. Beliau kemudiannya berhijrah ke Kuala Lumpur ketika bandar tersebut sedang mula berkembang.

Pada waktu itu, ramai orang Minangkabau berhijrah ke bandar tersebut. Masyarakat Minangkabau sangat menghormati beliau kerana kealimannya. Ramai di kalangan mereka yang datang berguru kepadanya.

Bagi memudahkan kehidupan beliau ketika berada di Kuala Lumpur, masyarakat Minangkabau telah menyediakan sebidang tanah yang letaknya dari kawasan Masjid Jamek Kuala Lumpur sampai ke kawasan yang berhampiran bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sekarang.

Syeikh Uthman bukan sahaja alim dalam bidang agama tetapi juga mempunyai ketokohan dalam menyelesaikan masalah masyarakat. Sebagai contoh, pernah berlaku perselisihan faham tentang isu solat Jumaat di dua masjid yang berdekatan.

Salah seorang anak muridnya yang juga merupakan pemerintah negeri Selangor pada waktu itu, iaitu Sultan Abdul Samad telah menanganinya secara bijaksana iaitu dengan meminta masyarakat di situ mendirikan solat Jumaat secara bergiliran. Maksudnya, minggu ini di Masjid Melaka, minggu berikutnya di Masjid Minangkabau dan begitulah seterusnya.

Keputusan yang dibuat oleh Sultan Abdul Samad itu sudah tentu melibatkan buah fikiran gurunya itu memandangkan Syeikh Uthman pada waktu itu adalah tokoh yang sangat dihormati di Kuala Lumpur.

Selain Sultan Abdul Samad, tokoh-tokoh Melayu yang lain yang pernah menadah kitab kepada ulama besar Minangkabau ini ialah Raja Mahmud (seorang pembesar negeri Selangor), Sutan Puasa (Ketua Melayu Dato’ Dagang yang pertama di Kuala Lumpur) dan Haji Abdullah Hukum.

Sepanjang hayat beliau tinggal di Kuala Lumpur, beliau pernah memegang jawatan sebagai Imam, Khatib dan Kadi. Diriwayatkan bahawa beliau adalah Kadi Kuala Lumpur yang pertama.

Syeikh Uthman dikurniakan 7 orang anak. Anak perempuannya yang bernama Saodah berkahwin dengan Haji Abdur Rauf bin Syeikh Yusuf al-Minankabawi. Syeikh Yusuf al-Minankabawi adalah seorang ulama besar Minangkabau yang tinggal di Semenanjung.

Salah seorang anak muridnya ialah Syeikh Abdul Wahhab Rokan yang sangat terkenal itu. Diriwayatkan bahawa dua orang anak lelaki iaitu Haji Abdul Rahman dan Haji Abdul Rahim berkecimpung dalam bidang perguruan. Haji Abdur Rahman merupakan seorang guru Bahasa Melayu.

Salah seorang anak muridnya ialah Tan Sri Mubin Sheppard. Haji Abdul Rahim pula merupakan pengasas majalah Guru. Anaknya yang bernama Abu Bakar pernah memegang jawatan Datuk Syahbandar Sungai Ujong, Negeri Sembilan.

Tokoh yang banyak berjasa kepada pembangunan rohaniah masyarakat Kuala Lumpur di zamannya berpulang ke rahmatullah dalam bulan Rabiulawal 1337 Hijrah bersamaan Januari 1919 Masihi.

Jenazahnya dimakamkan di Perkuburan Islam Ampang, bersebelahan dengan saudaranya Syeikh Muhammad Saleh bin Abdullah al-Minankabawi.
detikislam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...