TIKAM BATU – Satu demi satu keajaiban dapat disaksikan sepanjang
membuat liputan tragedi kebakaran yang menyebabkan seorang pelajar
Maahad Tahfiz Al-Barakah (Mantab), Kampung Masjid, Tikam Batu terkorban
dalam kejadian jam 1.50 pagi, Sabtu lalu.
Namun, apa yang berlaku pasti mempunyai hikmah tersendiri selain menunjukkan kekuasaan ALLAH SWT.
Ini bukan sahaja dapat dibuktikan dengan penemuan barang-barang milik
mangsa terkorban yang masih elok tersusun dalam almari kayu sedangkan
almari besi milik pelajar lain semuanya hangus termasuk pakaian dan
barang-barang peribadi lain.
Dalam kejadian itu, mangsa, Aiman Nurhakim Yahya, 13, seorang pelajar
pintar, rajin dan antara yang paling berdisiplin dikatakan gagal untuk
menyelamatkan diri setelah terperangkap dalam kebakaran di asrama tempat
mereka menetap.
Barang rakan lain musnah
Menceritakan kembali tragedi itu, Penaung Rangkaian Pusat Pendidikan
Al-Barakah yang juga imam kariah Kampung Masjid, Anuar Md Isa berkata,
kesemua pelajar sudah terjaga dari tidur dan menjangkakan Aiman adalah
yang terakhir keluar menyelamatkan diri.
“Kemungkinan arwah yang tidur di tingkat atas cuba untuk turun melalui
tangga, tetapi bahagian atas binaan asrama yang berasaskan kayu runtuh
menyebabkan dia terperangkap dalam api yang marak,” katanya.
Menurut Anuar, apa yang lebih ajaib ialah penemuan barang-barang
peribadi milik arwah yang masih elok tersusun dalam almari miliknya
sedangkan barang peribadi rakan-rakan lain semuanya musnah.
“Kalau nak diikutkan, api menjulang tinggi sehingga memusnahkan
keseluruhan bahagian asrama, bagaimanapun almari Aiman yang diperbuat
daripada kayu, terpelihara.
“Apa yang saya perasan juga ialah selipar yang selalu digunakan arwah
selalunya diletakkan di luar, tetapi sebelum kejadian, dia ambil dan
letak elok-elok dalam laci. Selipar itu juga masih elok dan tersimpan
rapi,” katanya yang mengakui sesuatu keajaiban mengenai peribadi pelajar
itu.
Baru lakukan tasmid
Anuar berkata, Aiman baru sahaja selesai menghabiskan satu juzuk al-Quran dan dijangka bakal masuk ke juzuk kedua.
“Dia baru sahaja melakukan tasmid (mendengar bacaan al-Quran) satu
juzuk dengan ustaznya bagi membolehkannya memasuki juzuk kedua yang
dijangka hari ini (semalam),” katanya.
Lebih memeranjatkan, Anuar berkata, pakar yang melakukan bedah siasat
ke atas jasad Aiman mendapati, otaknya masih segar, seperti otak orang
masih hidup, sedangkan anggota badan lain sudah rentung.
“Memang keajaiban apabila pakar yang menjalani bedah siasat
menjelaskan, otaknya masih segar, bersinar seolah-olah milik insan yang
masih hidup,” katanya, memuji kekuasaan ALLAH SWT.
Tidak jejas ambilan pelajar
Menurut Anuar, tragedi yang menimpa Mantab langsung tidak mematahkan
semangatnya dan tenaga pengajar lain untuk terus mengembangkan syiar
Islam dalam usaha melahirkan generasi al-Quran yang cemerlang.
“Kita baru sahaja menerima seorang pelajar hari ini (semalam). Ini
menunjukkan respons positif daripada pihak ibu bapa dan ia (tragedi)
sebenarnya tidak menjejaskan pengambilan pelajar,” katanya.
Berhubung soal keselamatan pula, katanya, pihaknya akan meningkatkan
ciri-ciri keselamatan di samping menyediakan kelengkapan dan
meningkatkan ilmu berhubung keselamatan selain menyediakan prasarana
yang layak.
“Setakat ini, pelajar diberi cuti seminggu untuk kita jalankan proses
pengurusan, terutamanya melibatkan penempatan pelajar di blok sebelah,”
katanya.
Menurut Anuar, kesemua 20 pelajar berusia antara 13 dan 17 tahun akan
dipindahkan ke blok bilik darjah yang sedang diubah suai menjadi tempat
penginapan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pihak yang
bersimpati, menyumbang dan membantu pihaknya untuk membangunkan semula
maahad tahfiz itu.
sinarharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan