Memiliki sahabat sejati merupakan satu anugerah yang tidak ternilai
kerana sahabat boleh mewarnai dan mempengaruhi kehidupan kita, baik dari
sudut kebendaan, kecenderungan mahupun tingkah laku. Sama ada kita akan
terikut-ikut dengan kecenderungannya, ataupun sebaliknya, dia akan
terpengaruh dengan kita.
Secara umumnya, kita melihat orang yang baik akan bersahabat dengan orang yang baik dan begitu juga sebaliknya.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
“Perumpamaan orang yang bersaudara adalah seperti dua tangan, yang satu membersihkan yang lainnya.” (Riwayat al-Dailamai)
Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya :
“Bersahabat
dengan orang yang soleh dan dengan orang yang jahat seperti berkawan
dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi (yang menghembus bara api).
Pengedar minyak wangi, sama ada ia memberi anda sebahagian ataupun anda
membeli bau-bauan daripadanya, ataupun sekurang-kurangnya anda mendapat
juga bau daripadanya. Manakala tukang besi pula sama ada ia menyebabkan
baju anda terbakar, ataupun anda mendapat bau yang kurang enak.”
(Riwayat Abu Daud)
Oleh sebab itu, kita harus berhati-hati untuk
menjadikan seseorang itu sebagai kawan, teman ataupun sahabat. Sahabat
semestinya memiliki sifat-sifat yang terpuji untuk kita ikuti dan
contohi. Sahabat boleh membahagiakan kita untuk menempuh kehidupan di
dunia ini dan juga membantu kita di akhirat kelak.
Sifat Sahabat yang Mulia
1. Memiliki akhlak dan budi pekerti yang baik.
Seseorang
yang disenangi, mempunyai akal yang baik, berbudi pekerti dan mematuhi
perintah Allah. Sering juga mengajak kita melakukan kebaikan untuk diri
dan masyarakat. Berbicara dengan penuh kelembutan dan kesopanan.
2. Menutup keburukan dan kekurangan sahabat, baik semasa sahabat ada ataupun tiada.
Tidak
menderitakan keaiban orang lain kepada sahabatnya dan jika dia melihat
sesuatu yang tidak baik tentang diri kita, dia akan menjaga aib
tersebut.
Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa menutup keburukan saudaranya, maka Allah akan menutup keburukannya di akhirat.” (Riwayat Ibn Majah)
3. Memperbesarkan kebaikan yang dilakukan oleh sahabatnya.
Sering
menanyakan tentang kesusahan yang kita hadapi kerana ingin berkongsi
kesusahan, kesedihan dan kesenangan bersama. Menjadi penghibur waktu
kita sedih dan pelindung jika kita memerlukan. Sanggup mengorbankan
masa, harta dan tenaga untuk memenuhi hajat sahabatnya.
4. Menyebut kebaikan.
Jika
dia mendapat sesuatu kebaikan daripada kita, dia akan menghargai dan
menyebut-nyebut kebaikan itu. Tidak pula dia berkecil hati jika kita
tidak mampu membantunya.
5. Mudah mengalah.
Jika
berlaku salah faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga
hubungan. Mengorbankan perasaan sendiri demi menjaga hati sahabatnya.
6. Mendorong kita mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
Saling nasihat-menasihati berkenaan hal-hal dunia dan akhirat.
Bersedia untuk menerima nasihat dan menasihati.
Sifat Sahabat yang Perlu Dijauhi
1. Mementingkan diri sendiri.
Dia
terlalu banyak meminta dan sedikit memberi. Mementingkan diri sendiri
yang kedekut dalam setiap perkara. Keutamaannya ialah nafsu diri sendiri
kerana tamak kepada kemewahan dan harta dunia.
2. Pengampu.
Setiap
perkara yang kita lakukan dia akan bersetuju, tida kira sama ada
perkara itu betul ataupun salah. Apabila di hadapan, dia memuji kita
namun di belakang kita, dia merendahkan dan mungkin mengkhianati kita.
3. Pemboros dan suka hiburan.
Apabila
seronoknya datang, dia menjadi kawan yang setia. Dia senang menjadi
sahabat jika kita suka berhibur, berkeliaran dan “melepak” pada
bila-bila masa, serta suka ke tempat-tempat hiburan dan meminati hiburan
yang melalaikan.
4. Membuatkan kita semakin jauh daripada Allah.
Seorang yang sesat dan menyesatkan orang lain serta mendekati jalan-jalan kemungkaran.
Hidupnya penuh dengan ranjau dan onak yang membawa kepada kekufuran.
5. Suka berbantah-bantah.
Jenis
orang yang suka bertikam lidah dan ia merasakan satu kemenangan dalam
berhujah dan langsung tidak mahu mengalah untuk menerima pandangan orang
lain.
Berhati-hatilah memilih sahabat kerana ia menjadi cermin
keperibadian kita. Berkawanlah kerana Allah untuk mencari
reda-Nya.Hayatilah Firman Allah ini :
“Pada hari itu (hari
akhirat), sahabat-sahabat karib; sebahagian mereka akan menjadi musuh
kepada sebahagiaan yang lain, kecuali orang yang bertaqwa.” (Surah
al-Zukhruf : 67)
[Penulis : Adi Hazmi] [Editor : Abi Aisyah]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan