Khamis, 20 Jun 2013

Cemburu Tandanya… Elok Di Baca

jealousy
.
Perkongsian untuk direnungkan bersama:

Sebagai manusia biasa yang serba kekurangan, kita kadang-kadang dilanda rasa cemburu apabila melihat seseorang punya kelebihan berbanding kita. Rasa cemburu kadang-kadang mengabui mata hingga kita melihat diri kita sebagai orang yang serba kurang dan orang lain sentiasa lebih dari kita.

Saya pernah rasa cemburu pada teman yang keputusan peperiksaannya lebih cemerlang daripada saya. Cemburu itu membuatkan saya menangis kerana merasa kalah dan terus mendorong saya berusaha keras menyaingi mereka.

Saya pernah rasa cemburu pada teman yang punya keluarga yang kaya raya. Saya mencemburui mereka kerana boleh memiliki pakaian yang cantik dan baru, mencemburui mereka kerana memiliki barangan yang berjenama, mencemburui mereka kerana berpeluang memiliki apa sahaja yang diingini.




Saya pernah rasa cemburu pada teman yang punya wajah cantik dan diminati ramai. Yang sentiasa mendapat pujian dan perhatian. Tetapi saya tiada daya dalam menambah kecantikan saya kerana saya telah dilahirkan dengan rupa saya yang begini.

Itu kisah saya dahulu, sebelum saya kenal agama, sebelum saya pasti tujuan hakiki hidup ini. Persoalannya, di manakah duduknya rasa cemburu kita? Apakah rasa cemburu kita sekadar suatu rasa yang berlalu di hati kemudian hilang atau ia menghantui pemikiran hingga menyebabkan jiwa tertekan dan iman berkurang?

Rasa cemburu jika dibiarkan menguasai diri boleh melarat kepada kedengkian. Untuk menangani secebis perasaan ini, kita haruslah mempunyai ilmu tentangnya. Kita perlu faham akan besarnya bahaya kedengkian agar dapat meletakkan rasa iri dan cemburu kita pada tempat yang sebetulnya.

Rasulullah bersabda bermaksud: “Takutlah kamu semua akan sifat dengki sebab sesungguhnya dengki itu memakan segala kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar.” (Riwayat Abu Daud daripada Abi Hurairah)


Menurut Imam Al-Ghazali, dengki itu ada tiga macam:

Pertama; menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang dan digantikan kepadanya.

Kedua; menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang sekalipun ia tidak dapat menggantikannya, baik kerana merasa mustahil dirinya akan dapat menggantikannya atau memang kurang senang memperolehinya atau sebab lain. Asal orang itu jatuh, ia gembira. Ini lebih jahat daripada dengki yang pertama.

Ketiga; tidak ingin kalau kenikmatan orang lain itu hilang tetapi ia benci kalau orang itu mendapat kenikmatan lebih daripada kenikmatan yang dimilikinya.

Dengki hanya dimiliki orang yang berjiwa rendah dan sifat itu mendorongnya berangan-angan kosong untuk mendapatkan kenikmatan yang dimiliki orang lain.

Dalam Islam, rasa dengki dan iri hanya dibolehkan dalam dua perkara:

Ibn Masud meriwayatkan, Rasulullah ada bersabda bermaksud: “Tidak digalakkan adanya perasaan iri hati melainkan pada dua keadaan. Pertama, keadaan orang yang dikurniakan Allah harta benda dan membelanjakannya kepada perkara kebajikan. Kedua keadaan orang yang dikurniakan ilmu pengetahuan Agama lalu ia beramal dengannya dan mengajarkannya.”
- (Riwayat Bukhari, Muslim dan Tarmizi)
 
Begitulah agama Islam yang mulia menasihati kita tentang dengki. Setelah memahami semuanya, tanyalah dirimu, apakah rasa cemburumu di luar atau di dalam lingkungan dua perkara yang dibenarkan agama. Jika tidak, hapuskanlah rasa cemburumu itu.
Namun begitu, rasa cemburu kadang kala hadir juga. Bagaimanakah kita dapat menanganinya? Bagi menjawab soalan adik Anonymous, antara tips menangani sifat cemburu ialah:

1. Merasa qanaah (cukup) dengan apa yang dikurniakan Allah kepadamu. Sentiasa merasakan rezeki yang dikurniakan Allah dalam bentuk apa pun adalah yang telah ditetapkan buat kita dan adalah yang terbaik untuk kita. Merasai berpada dan syukur atas nikmat yang diberi mendatangkan rasa lapang dan redha dalam menerimanya.

2. Menjadikan rasa cemburu sebagai sesuatu yang positif iaitu menjadikan ia dorongan untuk berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki serta memajukan diri. Menjadikan ia sebagai satu motivasi untuk berlumba-lumba membuat kebaikan (fastabiqul khoirat) terutamanya dalam menuntut ilmu untuk meningkatkan darjat diri di sisi Allah.

3. Katakan pada diri bahawa aku adalah yang terbaik, aku diciptakan cukup sempurna. Mempercayai bahawa setiap orang punya kelebihan tersendiri. Mungkin anda tidak cantik, tetapi anda bijak belajar. Mungkin anda tidak bijak belajar, tetapi anda punyai kemahiran berniaga atau memasak. Mungkin anda miskin, tetapi anda sempurna anggota. Tinggal sahaja anda menggilap segala kelebihan yang Allah berikan kepada anda untuk mencemerlangkan diri. Buangkan rasa rendah diri yang melemahkan semangat anda.

4. Melihat sesuatu hikmah di sebalik kekurangan yang dimiliki dan mensyukurinya. Anda mungkin miskin tetapi anda punyai keluarga yang bahagia. Anda mungkin anak yatim tetapi anda punyai kasih sayang dari teman-teman serta mampu pergi ke sekolah. Anda mungkin tidak cantik tetapi anda selamat dari kedengkian manusia. Anda mungkin tidak miliki segala yang anda ingini, tetapi anda juga tidak kurang sifat berbanding insan lain yang lebih malang nasibnya daripada anda.

5. Tips ulama dalam menghadapi rasa cemburu ialah melihat orang yang di bawah anda dalam perkara duniawi, tetapi melihat orang yang di atas anda dalam perkara agama.

Kunci kepada mengatasi rasa cemburu ini adalah meyakini bahawa dunia ini bersifat sementara dan hanyalah ladang untuk akhirat. Apalah guna kita menyesakkan hati dengan kedengkian dan cemburu sedangkan nilai dunia di sisi Allah adalah lebih kecil dari sebelah sayap lalat.
pakarcinta.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...