Sedarilah bahawa Allah Subhanahu Wa Ta’ala menciptakan alam seluruhnya
dan menentukan kehidupan dan kematian. Ada permulaan dan ada kesudahan –
adalah untuk ibtilaa atau ‘ujian’ terhadap insan yang mukallaf agar
ternyata dan terserlah siapakah di kalangan insan itu yang terbaik
amalan dan tindakannya menurut kacamata dan kriteria syara’. Sepertimana
firman Allah di dalam ayat 2, Surah al-Mulk:
( ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلاً۬ۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ (2
“Dialah Allah yang telah menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapakah di kalangan kamu (manusia mukallaf) yang terbaik amalannya dan Dialah Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun”
( ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلاً۬ۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ (2
“Dialah Allah yang telah menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapakah di kalangan kamu (manusia mukallaf) yang terbaik amalannya dan Dialah Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun”
Ayat “ayyukum ahsanu ‘amala” itu telah diperjelaskan oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam Fiqh Al-Aulawiyat, berdasarkan soalan yang dikemukakan kepada al Imam Abu ‘Ala al Fudhail bin ‘Iyad :
تسئل أبو على الفضيل بن عياض عن أحسن العمل فى قوله تعالى (أيكم أحسن عملا ) فقل : أحسن العمل اخلصه وأصوبه : قيل له ما أخلصه فقال :ان الله لا يقبل العمل ما لم يكن خالصا صوابا فاذا كان صوابا ولم يكن خالصا لم يقبل، واذا كان خالصا ولم يكن صوابا لم يقبل. وخلوصه أن يكون لله وصوابه أن يكون على السنة
“Abu ‘Ala al-Fudhail bin ‘Iyad telah ditanya tentang amalan yang terbaik di dalam firman Allah (ayyukum ahsanu ‘amala), maka beliau menjawab: ‘Amalan terbaik ialah yang benar-benar ikhlas lagi betul’. Beliau ditanya lagi: ‘Apakah maksud benar-benar ikhlas lagi betul itu?’. Beliau menjelaskan lagi bahawa: ‘Sesungguhnya Allah Subhanahu Wa Ta’ala tidak menerima sesuatu amalan selama mana tidak ada keikhlasan dan tidak betul. Sekiranya amalan itu betul tetapi (pelakunya) tidak ikhlas, maka tidak dimakbulkan, demikian juga sekiranya (pelakunya) ikhlas, tetapi amalan itu tidak betul, maka tidak juga dimakbulkan. Keikhlasan hendaklah dilakukan semata-mata kerana Allah dan betulnya amalan hendaklah menepati As-Sunnah (Sunnah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam).”
Oleh itu, maka perlu rujuk kembali kepada kriteria dan nilai syara’ – nilai Islam – nilai rabbani – nilai Allah Subhanahu Wa Ta’ala – nilai yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Kelebihan manusia terletak kepada ilmu, iman dan amalannya, dan amalan yang dikehendaki adalah amalan yang mencapai tahap (martabat) al-ihsan berdasarkan ayat “ayyukum ahsanu ‘amala” ayat 2, Surah al-Mulk tadi.
Jadi persaingan yang sebenarnya bukanlah di antara baik dan buruk, tetapi persaingan dan perlumbaan yang sebenarnya ialah di antara baik dengan yang lebih baik, dan sewajarnya orang-orang mukmin sentiasa berusaha untuk melakukan sesuatu yang terbaik dan berkualiti, berprestasi tinggi kerana Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah menuntut orang-orang mukmin melakukan sesuatu yang terbaik dalam semua perkara seperti dinyatakan di dalam hadith Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:
عن شداد بن أوس، أن رسول الله (ص) يقول: إن الله كتب الإحسان على كل شئ فإذا قتلتم فأحسنوا القتلة واذا ذبحتم فأحسنوا الذبحة وليحد أحدكم شفرته وليرح ذبيحته.
Daripada Syadad bin Aus bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: Sesungguhnya Allah telah menentukan (memfardukan) al-ihsan di dalam semua perkara. Jika kamu membunuh maka bunuhlah dengan cara yang terbaik dan jika kamu menyembelih, maka sembelihlah dengan cara yang terbaik. Tajamkanlah pisau sembelihan dan berilah kerehatan kepada binatang yang disembelih itu.”
(Hadis riwayat Imam Muslim).
Hal ini menggambarkan dan mengisyaratkan bahawa Allah Subhanahu Wa Ta’ala menuntut orang-orang mukmin melaksanakan apa juga amalan dan kerja-kerja dan urusan dengan cara yang terbaik (Martabat Ihsan dalam semua hal), samada di dalam melaksanakan ibadah khusus – Solat, Puasa, Zakat, Haji, maupun di dalam semua urusan hidup individu, keluarga, masyarakat, negara dan umat yang boleh menjadi ibadah umum sekiranya mengikut dan menepati syarat-syaratnya.
Bagi ibadah khusus, mestilah mengikut rukun-rukun dan syarat-syaratnya, solat ada rukunnya, ada syaratnya, puasa ada rukun dan ada syarat-syaratnya, zakat ada rukun dan ada syarat-syaratnya, Haji ada rukun dan ada syarat-syaratnya yang mesti ditepati dan disempurnakan berdasarkan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Manakala semua urusan hidup orang-orang yang beriman di dunia ini juga akan menjadi ibadah dan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala apabila diikut syarat-syaratnya dan caranya yang syar’i.
Sekali lagi, kita merujuk kepada rumusan penjelasan Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya Al-‘Ibadah fi al-Islam, yang menyatakan bahawa amalan hidup dan pengurusan orang-orang mukmin akan dikira sebagai ibadah kepada Allah dengan syarat berikut:
Pertama:
Kerja-kerja dan usaha yang dilakukan itu masyru’ (diharuskan oleh syara’, yakni tidak bertentangan dengan ajaran Islam
Kedua:
Disertakan dengan niat yang soleh – mencari keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Ketiga:
Dilaksanakan dengan “itqan” (tekun, teliti, dedikasi dan sebagainya).
Keempat:
Sentiasa iltizam dan mematuhi batas-batas hukum Allah, tidak melakukan kezaliman, penganiayaan, penipuan, menceroboh hak-hak orang lain dan seumpamanya.
Kelima:
Tidak lalai dalam melaksanakan kefarduan-kefarduan (perkara-perkara wajib) di dalam din. Contohnya: Sibuk bekerja sehingga lalai daripada mendirikan solat yang diwajibkan.
Jadi, apabila seseorang Muslim mukmin itu taat dan menepati syarat-syarat yang tersebut dalam urusan hidupnya seharian, maka dia tergolong di dalam golongan yang disebut al-‘abidun (orang-orang yang beribadah) kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Dan dikira Fi Sabilillah.
عن كعب بن عجرة قال: مر على النبى صلى الله عليه وسلم رجل فراى أصحاب رسول الله (ص) من جلدة ونشاطه فقالوا : يا رسول الله , لو كان هذا فى سبيل الله؟ (أي في الجهاد لإعلاء كلمة الله وكان أفضل العبادات عندهم) فقال صلى الله عليه وسلم : إنه كأنه خرج يسعى على ولده صفارا فهو فى سبيل الله وإنه كأنه خرج يسعى على ابوين شيخين كبرين فهو فى سبيل الله وان كان خرج يسعى على نفسه يعفها فهو فى سبيل الله. وان كان خرج يسعى رياء ومفاخرة فهو فى سبيل الشيطان - قال المندزى : (رواه الطبرانى ورجاله رجا ل الصحيح).
“Ka’ab bin ‘Ujrah menceritakan bahawa satu hari seorang lelaki telah lalu dihadapan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan sahabat-sahabat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam melihat lelaki itu gagah dan cergas, maka sahabat-sahabat berkata kepada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: ‘Wahai Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, alangkah baiknya jika lelaki itu keluar berjihad fi sabilillah (yakni berjihad untuk meninggikan kalimah Allah dan berjihad itu ibadah yang lebih utama pada pandangan sahabat-sahabat itu). Maka Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berkata: ‘Sekiranya lelaki itu keluar berusaha (mencari nafkah) untuk anak-anaknya yang masih kecil, maka dia di dalam fi sabilillah dan sekiranya dia keluar berusaha untuk kedua-dua ibubapanya yang sudah tua (uzur) maka dia di dalam fi sabilillah. Dan jika dia keluar bekerja untuk dirinya sendiri, menjaga kehormatan diri maka dia di dalam fi sabilillah, tetapi jika dia keluar bekerja di dalam keadaan riya’ dan sombong (meninggi diri) maka, dia berada di dalam jalan syaitan.’”
Setiap orang Islam sewajarnya berasa ‘izzah (mulia) menganut ajaran Allah – din Islam – din yang diredhai Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Berasa ‘izzah (mulia) bererti berasa mulia membawa iman, membawa Islam dan menghayatinya dalam kehidupan. Kemuliaan itu hak Allah dan Allah kurniakan kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang yang beriman. Sebaliknya, orang-orang yang kufur dan tidak beriman kepada Allah, mereka tidak mendapat kemuliaan tersebut. Orang-orang yang beriman, halatujunya hanya kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Orang-orang mukmin melihat dan melaksanakan segala sesuatu di dalam hidupnya semata-mata kerana Allah, beribadah dan berubudiyah untuk mencari redha Allah. Kerana orang mukmin yakin, tanpa sebarang keraguan bahawa puncak daripada segala-galanya ialah keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Firman Allah:
…وَرِضۡوَٲنٌ۬ مِّنَ ٱللَّهِ أَڪۡبَرُۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ (72)
“Dan keredhaan Allah itu lebih besar, itulah kejayaan yang amat besar.”
(Surah at-Taubah: 72)
Orang-orang mukmin yakin bahawa kebenaran hanya ada pada ajaran Allah dan Rasul-Nya menepati tuntutan Allah Subhanahu Wa Ta’ala di dalam Al-Quran ayat 147, Surah al-Baqarah:
ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَۖ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡمُمۡتَرِينَ (147
“Kebenaran itu datang daripada Allah, maka janganlah sekali-kali anda termasuk dalam golongan orang-orangyang ragu-ragu (tidak yakin).”
Dan firman Allah lagi di dalam ayat 153, Surah al-An’aam:
وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَٲطِى مُسۡتَقِيمً۬ا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٲلِكُمۡ وَصَّٮٰكُم بِهِۦ لَعَلَّڪُمۡ تَتَّقُونَ(153
“Bahawasanya (yang Allah perintahkan) inilah jalanKu (jalan Allah) yang lurus (yang benar), maka ikutilah jalan itu dan janganlah kamu mengikut jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan itu memecahbelahkan kamu (memesongkan kamu) daripada Jalan Allah. Perkara yang demikian telah diperintahkan Allah kepada kamu semoga kamu bertakwa.”
Jelaslah bahawa kita orang-orang yang beriman tiada pilihan yang lain lagi melainkan kita memilih jalan Islam – din Islam dan cara hidup Islam yang telah pun dijamin selamat oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala – selamat di dunia dan selamat di alam barzakh dan selamat di alam akhirat.kredit: rakangroup
Salam Ukhuwah..~
blogtokwan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan