Assalamualaikum.
TIDAK ada larangan kepada orang Islam memakan makanan yang dimasak
oleh orang kafir, munafik dsb, selama-mana ia tidak melibatkan makanan
yang HARAM di makan (seperti khinzir (babi)) atau minuman yang
diharamkan (seperti arak, wine, dsb), dan juga binatang yang disembelih
bukan dari kalangan orang Islam atau Ahli Kitab.
Begitu jugalah menggunakan pinggan, gelas dsb, yang di basuh oleh
orang-orang kafir, melainkan mereka menggunakan bahan-bahan pencuci yang
mengandungi benda yang haram.
Jika alasan mereka berasaskan bahawa apa-apa sahaja sentuhan orang
kafir itu NAJIS, maka mereka telah tersilap di dalam memahami nas
al-Quran. Kenajisan orang kafir hanyalah pada aqidahnya, bukanlah
tubuhnya itu najis secara fizikal. Berikut kami petik jawapan yang lalu
mengenai isu ini :-
Orang Kafir Najis
Firman Allah S.W.T.
“Wahai orang yang beriman sesungguhnya orang Musyrikun itu adalah najis…..” [Surah al-Taubah : 28]
Kenajisan kaum Musyrikin bukanlah najis hissiyah, dan apa yang
dijelaskan di dalam al-Quran didalam ayat di atas bermaksud
ketidaksucian kaum musyrikin terhadap AQIDAH mereka yang mensyirikkan
Allah swt.
Berkata Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi :-
“Kenajisan orang musyrikin adalah Najis Ma’nawiyah, melainkan ada
segelintir fuqaha’, seperti Zaidiyyah dan Zahiriyyah mengatakan orang
musyrikin dan kufar adalah najis hissiyah”.
Al-Qaradhawi memetik kata Imam Shaukani rh bahawa apa yang
dimaksudkan adalah najis tersebut bukanlah najis hissiyah, bahkan ia
adalah najis hukum. Ini bermaksud bahawa aqidah orang-orang kafir ini
yang najis, dan bukanlah fizikal badan mereka.
Malah kata al-Qaradhawi di dalam riwayat Sahih bahawa Nabi saw dan
para sahabat pernah minum dan mengambil wudhu’ dari bijana orang
Musyrikin. Baginda juga makan makanan hidangan orang kafir.
Dr Khaled Muhammad Abdul Kadir, pensyarah Universiti Lebanon
menyatakan bahawa adalah dibenarkan lelaki Islam beristerikan ahli
kitab, mereka boleh bersentuhan, baik ke atas alat-alat perabot ataupun
pakaian mereka. Suami juga boleh makan makanan yang disediakan oleh
isteri ahli kitab dan boleh menggunakan pinggan, mangkuk dan gelas yang
sama. Jelas INI menunjukkan kenajisan mereka bukanlah fizikal badan
mereka.
Kesimpulannya, jumhur ulama’ mengatakan maksud orang kafir itu najis
adalah kepada aqidah mereka yang tidak suci, dan bukanlah fizikal
badannya sehinggakan batal wudhu’ jika menyentuh mereka.
Kesimpulannya, anda boleh makan makanan yang dimasak oleh orang kafir
selagimana kandungan makanan tersebut halal dimakan. Sentuhan orang
kafir BUKAN najis. Yang berbeza dengan kita hanyalah aqidah mereka
sahaja.
Wassalam.
ammarblog
Bagaimana pula bekas yang digunakan itu pernah diletakkan makanan yang ada babi
BalasPadam