Ahad, 23 Jun 2013

Wanita Cantek Goda Malaikat



DIRIWAYATKAN daripada Nafi’ dari Abdullah Umar, bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda bermaksud: “Ketika Nabi Adam a.s diturunkan Allah ke bumi, maka berkatalah malaikat, “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?”

Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak engkau ketahui.”

Malaikat berkata, “Kami adalah orang lebih patuh kepada Engkau berbanding anak keturunan Adam.”
 
 

Kepada malaikat, Allah berfirman: “Panggillah ke mari dua malaikat. Aku akan turunkan mereka ke bumi hingga kamu dapat melihat apa yang dilakukan kedua-dua malaikat itu!”

Malaikat menjawab, “Tuhanku, biarlah Harut dan Marut saja yang melakukannya!”

Harut dan Marut pun diturunkan ke bumi, lalu Allah mencipta seorang wanita daripada bunga (Zahrah) yang amat cantik. Zahrah pun mendatangi kedua-dua malaikat itu untuk menggodanya.

Kedua-dua malaikat itu tertarik dengan kecantikan Zahrah hingga timbullah keinginan terhadapnya.

Zahrah berkata, “Tidak, demi Allah, jika kamu mahu mengucapkan kalimah musyrik ini!”

Kedua-dua malaikat itu menjawab, “Tidak, demi Allah, sedikit pun kami tidak mahu mempersekutukan Allah untuk selama-lamanya!”

Zahrah meninggalkan mereka berdua. Beberapa saat kemudian, dia kembali lagi membawa anak kecil.

Apabila mendekati kedua-dua malaikat itu Zahrah berkata, “Tidak demi Allah, sebelum kamu bersedia membunuh anak kecil ini!”

Kedua-dua malaikat itu menjawab, “Tidak, demi Allah selamanya aku tidak akan membunuhnya!”

Zahrah meninggalkan mereka dan datang semula sambil membawa segelas arak. Setelah menyapa malaikat, Zahrah berkata, “Tidak, demi Allah, sebelum kamu berdua minum arak ini!”

Akhirnya kedua-dua malaikat itu meminumnya hingga mabuk dan kemudian mereka berzina dengan Zahrah sebelum membunuh anak kecil itu.

Apabila kedua-dua malaikat itu sedar, Zahrah berkata, “Demi Allah, ketika kamu dalam keadaan mabuk tadi, kamu sudah melakukan semua yang sudah kamu tolak sebelum ini.”

Akhirnya Harut-Marut diperintah untuk memilih antara seksa dunia atau di akhirat. Kedua-duanya memilih seksaan di dunia.

Diriwayatkan Makhul daripada Mu’adz, ketika kedua-dua malaikat itu sedar, maka datanglah dari sisi Allah malaikat Jibril kepada mereka.

Pada saat Jibril datang, kedua-duanya menangis dan Jibril ikut menangis sambil berkata, “Cubaan apakah yang membuat kamu hanyut seperti ini?”

Mendengar ucapan Jibril itu, tangisan kedua-duanya menjadi semakin kuat. Jibril berkata, “Sesungguhnya Tuhan kamu sudah memerintahkan kepada kamu untuk memilih antara azab di dunia atau azab di akhirat.”

Maka tahulah mereka dunia ini hanya sementara, sedangkan akhirat kekal abadi dan sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Penyayang kepada semua hamba-Nya. Kedua-dua malaikat itu akhirnya memilih hukuman di dunia dan menyerahkan nasibnya kepada kehendak Allah.

Perawi hadis itu berkata, “Harut dan Marut pada saat itu berada di wilayah Badil, Parsi. Mereka digantung di antara dua gunung pada sebuah gua bawah tanah. Setiap hari mereka diseksa hingga pagi.”

Ketika berita hukuman itu diketahui malaikat yang lain, mereka mengepak-ngepakkan sayap sambil berdoa di Baitullah:

“Ya Allah, ampunilah anak cucu Adam kerana kami kagum bagaimana mereka dapat menyembah dan taat kepada Allah, padahal mereka dikelilingi beberapa kesenangan dan kelazatan.”

Al-Kalabi berkata, “Seterusnya malaikat pun sentiasa memohon ampun kepada anak cucu Adam. Inilah yang dimaksudkan dengan firman Allah, “Dan malaikat-malaikat bertasbih serta memuji Tuhannya dan memohon ampun bagi orang-orang yang ada di bumi.”

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, bahawa Allah berfirman kepada malaikat, “Pilihlah tiga yang termulia antara kamu!”

Malaikat memilih Azar, Azrayil dan Azwaya. Ketiga-tiga malaikat itu diturunkan ke bumi dalam bentuk dan rupa anak Adam. Ketika Azar mengetahui semuanya dan mengerti terhadap fitnah yang ada, maka dia mengambil kesimpulan bahawa dirinya tidak mampu melaksanakannya. Akhirnya, Azar memohon ampun kepada Allah serta memohon maaf dan Allah mengampunkannya.

Rabi’ Anas berkata, ketika Harut dan Marut sedar daripada mabuk, mereka akhirnya menyedari kesalahan yang sudah dilakukan ketika mabuk. Mereka menyesal.

Mereka ingin naik kembali ke langit, tetapi mereka sama sekali tidak mampu melakukannya, malah tidak mendapat keizinan. Mereka menangis dan meratapi nasib mereka.

Kedua-dua malaikat itu lalu mendatangi Nabi Idris a.s. sambil berkata, “Aku mohon supaya engkau mendoakan aku kepada Allah kerana sesungguhnya di langit aku sudah mendengar bahawa engkau disebut-sebut sebagai orang yang soleh.”

Nabi Idris a.s. mendoakan kedua-dua malaikat itu dan doanya dikabulkan hingga akhirnya mereka diperintahkan memilih antara azab di dunia atau akhirat.

Diceritakan pula ketika malaikat berkata kepada Allah, “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah,” maka mereka pun mengelilingi ‘Arsy’ selama empat ribu tahun. Mereka memohon ampun kepada Allah kerana menentang-Nya.

kredit:  buku Aneh, Lucu dan Ajaib terbitan Pustaka Ilmi


Salam Ukhuwah..~
blogtokwan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...