Sahabat yang dirahmati Allah,
Iman seorang muslim adakala kuat
dan adakalanya lemah. Ianya turun naik setiap masa bergantung pada
kehidupan dan keadaan seseorang itu. Ketika seseorang ditimpa dengan
berbagai masaalah kehidupan dan diuji dengan berbagai musibah maka
ketika ini biasanya iman akan menjadi lemah kerana timbul rasa gelisah
dan keluh kesah.
Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Iman itu naik dan turun, maka sentiasa perbaharui iman kamu".
Tetapi, kebanyakan daripada kita
mentafsirkan hadis tersebut bahawa sekiranya berlaku kelemahan diri
kita, kita mengatakan sememangnya iman itu ada masa naik dan ada masa
turun. Sepatutnya kita merasakan bahawa sekiranya tahap iman kita rendah
kita berusaha untuk meningkatkannya.
Tapi kita lupa hal terpenting
yang harus kita ambil dari hadis itu, iaitu apakah tindakan selanjutnya
apabila mendapati iman kita semakin turun, maka tidak seharusnya kita
membiarkannya turun. Kita harus memperbaharuinya dan ini boleh dilakukan
dengan banyak cara.
Sahabat yang dimuliakan,
Istilah futur adalah merujuk kepada kemerosotan atau kemalapan yang berlaku pada keimanan atau keislaman seseorang.
Futur adalah satu penyakit.
Seseorang yang dihinggapi penyakit ini akan lemah dalam melaksanakan
tanggungjawab yang di amanahkan oleh Allah S.W.T.
Terdapat 9 faktor jika wujud
dalan diri seseorang sebenarnya dia sedang mengalami futur, ketika
inilah perlu kita bertindak segera untuk meningkatkan semula iman kita
ketahap yang biasa atau lebih tinggi lagi. Perkara-perkara tesebut
adalah seperti berikut :
1. Malas beribadah.
Sering melewat-lewatkan waktu
solat. Kadangkala sehingga terlepas waktunya tanpa disedari. Malas solat
sunat , berzikir dan membaca al-Quran . Menghabiskan banyak masa untuk
tidur, berbual kosong atau melayan hobi yang kurang manfaatnya.
Betapa besarnya dosa orang yang
meninggalkan solat atau melalaikan solat hingga luput waktunya.
Renungkan hadis Rasulullah S.A.W. di bawah yang menghalang perbuatan
tersebut .
Saad bin Abi waqas bertanya Rasulullah S.A.W. mengenai orang yang melalaikan solat maka jawab baginda "
Iaitu mengakhirkan waktu solatnya dari waktu asalnya hingga sampai
waktu solat lain. Mereka telah mensia-siakan dan melewatkan waktu
solatnya, maka mereka diancam dengan Neraka Wail".
2. Tidak ada perasaan takut mengenai kematian.
Apabila hati tidak langsung
mengingati kematian ini bermakna iman sedang ditahap yang lemah. Oleh
itu kita digalakkan menziarahi orang mati dan menziarahi kubur sebagai
ubat agar hati dapat mengambil pengajaran daripada kematian. Hati orang
mukmin sentiasa mengingati kematian sebagai satu cara untuk membersihkan
hatinya.
Daripada Abu Hurairah r.a , Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :
"Perbanyakkanlah olehmu mengingati sesuatu yang memutuskan segala kelazatan (mati)." (Hadis Riwayat Tirmizi)
3. Melakukan maksiat samaada kecil atau besar.
Lebih teruk lagi apabila maksiat sudah menjadi kebiasaan dan bergembira dengan maksiat.
Sabda Nabi S.A.W maksudnya : "
Barang siapa di antaramu melihat kemungkaran hendaklah ia merubahnya
(mencegah) dengan tangannya (kekuasaan) jika ia tidak sanggup, maka
dengan lisannya (nasihat), dan jika tak sanggup juga, maka dengan
hatinya (merasa tak senang dan tak setuju, tinggalkan !) dan itu adalah
selemah-lemahnya Iman. " (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Berdasarkan hadis di atas jika seseorang itu tidak rasa bersalah dengan maksiat yang dilakukan dan gembira pula maka sebenarnya sedikit pun iman tidak ada didalam hatinya.
4. Suka melihat atau menyaksikan maksiat.
Zina mata adalah mata suka
melihat maksiat dilakukan oleh orang lain. Memerhatikan aurat wanita
yang bukan mahram dan juga melihat filem-filem lucah atau gambar-gambar
seksi adalah maksiat yang dibuat oleh mata, dari mata akan turun ke hati
dan hati akan hilang kemanisan beribadah kepada Allah S.W.T.
5. Ukhwah menjadi longgar.
Sifat orang mukmin adalah
sentiasa baik sangka kepada saudaranya yang lain. Dia cinta dan kasih
pada saudaranya semata-mata kerana Allah. Dia datang berziarah adalah
semata-mata kerana Allah dan bukan diatas sebab-sebab ada kepentingan
duniawi kerana harta atau kerana hubungan keluarga.
Dari Muaz bin Jabal meriwayatkan,
aku mendengar Rasulullah S.A.W. meriwayatkan hadis qudsi : Allah
Azzawa Jalla berfirman yang bermaksud : " Orang-orang yang
mencintai satu sama lain kerana kebesaran dan kemuliaan-Ku akan duduk
diatas mimbar-mimbar nur pada hari Qiyamat, (bahkan) nabi-nabi dan para
syuhada akan beriri hati kepada mereka." (Hadis Riwayat Tirmizi)
Orang mukmin akan mengasihi
saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. Jika perasaan kasih
sayang dan ukhwah menjadi longgar ini petanda imannya sedang lemah.
6. Ghairah kepada dunia.
Sebuk dengan dunia hingga membuang masa dengan kerja-kerja yang tak berfaedah. Firman Allah s.w.t bermaksud :“Tetapi
kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan
akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.” (Surah Al-A’laa: 16-17)
Apabila seseorang sibuk dengan
hal-hal dunia seperti hiburan yang melalaikan , hanya memikirkan nak
besarkan rumah, perabut yang mahal-mahal, kereta mewah, untuk mengaut
keuntungan dan bekerja siang malam , jika kesemua ini menjejaskan
berhubungannya dengan Allah, dan membuat seseorang merasa jauh dari
kedudukan yang tinggi di akhirat kelak, sebenarnya dia sedang ghairah
dan mabuk dengan dunia.
Firman Allah maksudnya :“Kemudian
kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu
megah-megahkan di dunia itu).” (Surah At-Takaatsur ayat 6)
7. Berbangga dengan kemajuan duniawi.
Islam tidak menghalang kemajuan
duniawi dengan bangunan yang mencakar langit, kemajuan sains dan
teknologi. Tetapi Islam amat menitik beratkan nilai-nilai rohani dan
jika nilai rohani dan akhlak yang mulia diabaikan dan lebih mengutamakan
kemajuan duniawi maka ianya dilarang. Dibarat dan Jepun terlalu
mengutamakan kemajuan tetapi mengabaikan nilai-nilai moral manusia
akibatnya mereka menuju kepada kehancuran.
Qarun, kaum 'Ad, kaum Samud dan
kaum Luth semua mereka maju dengan pembangunan material tetapi mereka
engkar dengan perintah Allah S.W.T. yang di bawa oleh para Rasul maka
mereka dibinasakan oleh Allah S.W.T.
Firman Allah s.w.t maksudnya : "Katakanlah
(wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan
saudara-saudara kamu, dan isteri- isteri (atau suami-suami) kamu, dan
kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan
yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah- rumah tempat tinggal yang
kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu
cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk
ugamaNya, maka tunggulah sehinggga Allah mendatangkan keputusanNya (azab
seksaNya) kerana Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada orang-orang
yang fasik (derhaka). (Surah at-Taubah ayat 24)
8. Lemah atau tidak bersedia dengan kerja-kerja amal Islam.
Jika timbul perasaan malas
bekerja untuk amal Islam dan sanggup membiarkan kerosakkan masyarakat
berlaku tanpa di jalankan kerja-kerja dakwah dan tarbiyah maka ini
adalah petanda futur sedang melanda seorang da'i atau seorang pekerja
Islam. Kerja-kerja amal makruf nahi mungkar perlu dijalankan tanda kita
menyahut seruan Allah S.W.T.
9. Menangguh-nangguhkan kerja.
Apa sahaja kerja yang membawa kebaikan dan amal soleh tidak boleh ditangguh-tangguhkan.
Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Bersegeralah kalian
untuk berbuat amal soleh, kerana akan muncul berbagai fitnah seperti
penggalan-penggalan malam yang gelap-gulita, ada orang yang paginya
beriman, petangnya kafir. Ada yang petangnya beriman, paginya kafir. Ia
jual agamanya dengan barang perhiasan dunia." (Hadis Riwayat Muslim)
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita tingkatkan
iman kita kepada Allah S.W.T dengan melaksanakan semua suruhanNya dan
meninggalkan semua larangan-Nya memperbanyakkan juga kalimah tauhid di
dalam hati dengan keikhlasan. Jika salah satu sifat diatas wujud pada
diri kita sebenarnya kita sedang futur atau lemah iman maka perlulah
kita perbaiki segera. Peruntukkanlah masa kita untuk berjumpa
orang-orang soleh untuk menimba ilmu pengetahuan dan tarbiyah.
Perbanyakkanlah membaca al-Quran, berzikir dan solat tahajud supaya kita
dapat perbaiki iman dan jiwa kita yang lemah menuju kepada kecintaan
kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya Muhammad S.A.W.
mencariygbenar@gmail.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan