Menjelang Hari Raya Aidilfitri kali ini aku ada terbaca info pasal cara orang Melayu
dahulukala menyambut hari raya. Tida aku ketahui ianya benar atau
tidak. tetapi mungkin dapat kita menambahkan sedikit pengetahun kita
lagi.
SEBELUM kedatangan sebarang agama ke Alam Melayu, penduduk di rantau ini
seperti juga di lain-lain tempat di Asia Tenggara menganut kepercayaan
alam roh, maknanya semua benda dipercayai ada roh, pokok, binatang dan
lain-lain.
Maka roh paling utama ialah pada padi. Tanpa beras, orang Melayu akan mati.
Justeru perayaan paling besar tentunya ketika menyambut hari menuai
padi. Seperti mana hari perayaan pribumi Sarawak, Sabah dan Orang Asli,
maka begitu jugalah apa yang dilakukan oleh orang Melayu dan semua kaum
di Nusantara.
Dipanggil sambutan ini sebagai Hari Raya kerana ia merujuk kepada
kebesaran sesuatu perayaan. Ia merupakan hari meraikan atau merayakan
kejayaan penanaman padi. Tetapi cara hidup orang Melayu kemudian berubah
apabila mereka bukan saja menjadi masyarakat petani tetapi juga menjadi
bangsa berdagang. Mereka mampu membina kapal-kapal besar untuk
berlayar. Menjadi bangsa maritim bermula dengan keupayaan orang Melayu
mewujudkan kerajaan di pesisiran pantai dan kuala sungai. Mereka membina
pelabuhan bagi menarik kunjungan kapal-kapal dagang dari China, India,
Parsi dan Arab.
Di sinilah munculnya kerajaan Sri Wijaya. Daripada kunjungan kapal-kapal
ini, maka agama Hindu pun bertapak di alam Melayu. Sebagai bangsa
maritim, orang Melayu sudah tidak lagi menyambut hari menuai sebagai
hari kebesarannya yang utama. Dengan beragama Hindu, orang Melayu turut
menyambut hari Perayaan Cahaya mengatasi Kegelapan. Dalam sambutan
Diwali atau Deepavali, lampu-lampu dipasang di keliling rumah. Suatu
amalan Hari Raya yang kini sudah menjadi sebahagian daripada budaya
Melayu.
Merantau
Orang Melayu kuat merantau. mereka berlayar di sekitar kepulauan Melayu.
Walaupun terdiri daripada banyak kerajaan, tetapi Nusantara adalah
Dunia Melayu.
Maka setiap Hari Raya, mereka akan balik ke kampung halaman seboleh
mungkin untuk menemui ibu, bapa dan sanak saudara. Amalan balik kampung
menjadi suatu kemestian semasa Hari Raya kini terus diamalkan oleh orang
Melayu.
Tetapi menarik untuk mengetahui bagaimanakah orang Melayu menyambut Hari Raya Aidilfitri ketika mula memeluk agama Islam.
Cuba bayangkan bagaimana orang Melayu zaman kesultanan Melaka menyambut
Hari Raya. Lebih-lebih lagi pada tahun pertama mereka memeluk Islam.
Tentu sukar bagi istana Melaka, apatah lagi rakyatnya berpuasa.
Bagaimanakah pihak istana membuat keputusan untuk menjadikan Hari Raya
Aidilfitri sebagai Hari Raya bagi orang Melayu? Mengapa mereka memilih
Hari Raya Puasa dan bukannya Hari Raya Haji?
Dalam ibadat, dikatakan orang Melayu lebih menekankan tentang puasa
berbanding ibadat lain. Pendakwah berjaya meyakinkan keseluruhan
masyarakat Melayu supaya berpuasa, bertarawih dan mengharapkan Lailatul
Qadar. Maka Hari Raya menjadi begitu bermakna bagi orang Melayu dengan
dikaitkan dengan kejayaan beribadat puasa.
Pada Hari Raya pula, ulama Melayu dahulu membuat keputusan untuk
mengambil takbir raya yang bernada syahdu. Ini kerana di lain-lain
tempat, takbir mereka bernada semangat juang. Ini kerana takbir itu
berasal daripada laungan semasa Perang Badar, yang kemudian diabadikan
dalam sambutan meraikan kemenangan perang itu.
Tetapi bagi orang Melayu di Nusantara, nada takbir adalah berbentuk sayu
dan sedih mengenangkan sanak saudara yang sudah tiada atau pergi tidak
kembali. Ini kerana bagi masyarakat Melayu, balik kampung waktu Hari
Raya adalah penting. Jika tidak dapat balik, maka si ibu atau bapa akan
teringatkan anaknya terutama semasa takbir yang bernada sedih dan sayu.
Sumber : http://www.budakladang.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan