Sabtu, 3 Ogos 2013

Tip Pemanduan Jarak Jauh

''Pandu cermat, jiwa selamat. Ingatlah orang yang tersayang,'' merupakan slogan kempen yang paling popular di negara kita. Biarpun ia sudah dicanangkan sejak sekian lama, namun statistik kemalangan khususnya pada musim perayaan masih membimbangkan.
 
Walaupun slogan ini seakan dipandang remeh oleh segelintir pemandu, namun laungan kerajaan supaya para pengguna jalan raya sentiasa peka dan lebih berhati-hati harus diberi perhatian khusus. Malah harus dipraktikkan cara pemanduan selamat supaya dapat mengurangkan risiko kemalangan jiwa terutamanya menjelang musim perayaan yang bakal kunjung tiba pada minggu hadapan.
 

Persediaan sebelum memulakan perjalanan:

  1. Sila lakukan pemeriksaan kenderaan di bengkel yang anda percayai. Periksa keadaan tayar, bateri, air bateri, penyaman udara dan sebagainya. Pastikan kenderaan anda diselenggara dengan baik dan selamat dipandu.
  2. Jangan lupa periksa tayar simpanan dan pastikan anda membawa air bateri, minyak enjin, peti pertolongan cemas, pemadam api bersaiz kecil serta peralatan yang berkaitan sekiranya berlaku sebarang kecemasan. Pastikan juga lampu utama, lampu brek dan lampu isyarat berfungsi dengan baik.
  3. Pastikan anda mendapat rehat yang cukup sebelum memulakan perjalanan yang jauh. Memandu di dalam keadaan yang mengantuk dan letih adalah merbahaya.
  4. Pastikan anda turut menyemak lokasi berehat termasuk pam minyak sepanjang perjalanan.
  5. Memandangkan ramai yang berpusu-pusu pulang ke kampung, anda dinasihatkan supaya merancang perjalanan supaya tidak terkandas di dalam kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di lebuh raya utama pada musim perayaan. Anda juga boleh mengikuti perkembangan trafik daripada syarikat konsesi lebuh raya seperti mengikuti akaun Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia @LLMinfotrafik
  6. Sekiranya perlu, anda boleh menggunakan GPS, Google Map atau aplikasi pemetaan lain untuk membantu anda mencari jalan alternatif sekiranya jalan yang anda biasa lalui mengalami kesesakan atau kerosakan.
  7. Sila pastikan anda turut menyimpan nombor-nombor penting sekiranya berlaku sebarang kecemasan semasa pemanduan, termasuk nombor telefon keluarga terdekat, balai polis berhampiran dan juga mekanik yang dipercayai.
  8. Bagi yang menggunakan perkhidmatan Touch n Go atau Smart Tag, sila pastikan anda telah membuat isian semula kad tersebut.

Semasa dalam perjalanan:

  1. Tetapkan kelajuan mengikut keadaan trafik semasa. Elakkan memandu perlahan di lorong kanan, memotong di lorong kiri dan menggunakan laluan kecemasan. Amalkan sikap bertoleransi, bertolak ansur dan bertimbang rasa semasa.
  2. Pandang cermin sisi dan cermin pandang belakang jika anda ingin memotong kenderaan lain atau mengubah laluan.
  3. Patuhi papan tanda yang menjadi panduan dalam pemanduan seperti mengetahui kawasan berisiko kemalangan, angin lintang dan sebagainya.
  4. Jika keadaan cuaca gelap atau hujan, pastikan anda menggunakan lampu utama dan bukannya menggunakan hazard light. Perlahankan kenderaan sekiranya jarak penglihatan anda terbatas. Elakkan dari memandu laju.
  5. Awasi jarak pemanduan anda. Jangan sesekali mengekori kenderaan di hadapan secara dekat kerana ia boleh mengundang padah.
  6. Pastikan anda dan penumpang memakai tali pinggang keselamatan.
  7. Sentiasa fokus pada pemanduan. Jangan sesekali menggunakan telefon bimbit untuk berbual, SMS atau mengemaskini Blog, Facebook dan Twitter semasa memandu. Jika anda ingin membuat panggilan keluar, anda disarankan menggunakan kit bebas tangan (hands free) secara berwayar atau bluetooth bersambung terus dengan kenderaan anda.
  8. Jika mengantuk, seeloknya anda memberhentikan kenderaan di tempat yang selamat untuk berehat atau boleh bergilir-gilir memandu dengan keluarga atau rakan yang menemani perjalanan.
    Pastikan juga ahli keluarga yang menggantikan anda adalah yang tahu memandu.
  9. Jika tempoh pemanduan memakan masa sehingga tiga hingga empat jam, anda disarankan supaya berhenti seketika di tempat yang selamat untuk merehatkan fizikal dan mental anda. Ia juga dapat memastikan kenderaan anda juga dapat berehat dari kepanasan enjin yang melampau.
 http://anakbekasperajurit.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...