Selasa, 5 Mei 2015

Kisah stokin koyak

Saya nak share sebuah kisah (tak pasti ianya kisah benar atau dongeng, tapi pengajarannya sangat baik).
Kisah seorang jutawan yang sedang sakit menunggu ajal telah menyuruh dikumpulkan anak-anaknya yang tercinta.

Beliau berkata kepada mereka ;

“Anak-anak ayah, bila ayah sudah tidak ada nanti, ada permintaan ayah kepada kamu semua. Tolong pakaikan stokin kesayangan ayah, walaupun stokin tu koyak. Ayah ingin pakai stokin kesayangan ayah kerana banyak kenangan ayah bersama stokin tu. Minta stokin itu dipakai bila ayah nak dikafankan nanti.”
stokin koyak 



Akhirnya jutawan itu meninggal dunia.

Saat mengurus jenazah dan saat mengkafankan, anak-anaknya minta tuan imam untuk memakaikan stokin yang koyak itu sesuai dengan permintaan terakhir ayahnya. Akan tetapi tuan imam menolaknya ;

“Maaf secara syariat hanya 2 lembar kain putih saja yang dibenarkan dipakaikan kepada mayat.”

Terjadi pula perbalahan antara anak-anak jutawan yang ingin memakaikan stokin koyak dan tuan imam serta beberapa orang ustaz lagi yang berada di sisi jenazah ketika itu. Kerana tidak ada titik temu dipanggilah penasihat keluarga yang juga seorang peguam.

Beliau berkata ;

“Sebelum meninggal dunia, arwah ada memberikan saya surat wasiat, kita bacalah bersama mana tahu ada petunjuk.”

Maka dibukalah surat wasiat jutawan tadi buat anak-anaknya yang dipesankan kepada peguam tersebut.

Suratnya bertulis ;
“Anak-anakku pasti sekarang kamu semua sedang berbalah kerana dilarang memakaikan stokin koyak kepada jenazah ayah. 

Lihatlah, padahal harta ayah banyak, wang berlimpah dengan kereta mewah, tanah, rumah dan ladang yang banyak tapi tidak ada ertinya ketika ayah sudah meninggal.

Stokin koyak tu pun tidak boleh dibawa mati.

Begitu tidak berertinya dunia buat ayah ketika ini, kecuali amal ibadah, sedekah dan doa-doa daripada kamu semua. Anak-anak ayah, inilah yang ingin ayah sampaikan agar kamu semua tidak tertipu lagi dengan dunia.

Salam sayang dari ayah yang ingin melihat kamu semua menjadikan dunia sebagai jalan menuju Allah.”

Nota :
Manusia itu pelupa, dunia pula penipu, orang yang pelupa memang mudah untuk ditipu. Betapa ramai yang walaupun sedar hakikat ini tetapi masih cintakan dunia termasuklah saya.

Saya masih lagi cintakan harta dan wanita, keselesaan dunia, anak-anak, makanan yang enak dan macam-macam lagi perkara dunia yang saya ketagih dan cinta.

Moga Allah kesian pada saya dan beri taufik dan hidayah pada saya untuk hapuskan ketagihan dan kecintaan ini sebelum saya mati. Dan moga Allah kesian pada saya dan masukkan cinta hanya pada Allah dan Rasul di dalam hati sebelum saya mati.

Sesungguhnya tidak mungkin berkumpul dua cinta dalam satu hati. Orang yang cinta dunia tetapi mengaku cinta Allah juga adalah penipu paling besar yang lebih besar penipuannya daripada penipuan dunia, iblis, syaitan dan sekutunya.

Dan apa yang lebih aneh, apabila para sufi menjalani riadah dan latihan untuk membuang cinta dunia dari hati, mereka dituduh sesat.

Penipuan dunia pada umat manusia hari ini berada di tahap yang amat tinggi sehingga najis dikatakan suci, putih dikatakan hitam, benar dikatakan salah.

Saya dan kamu, akan mati… tidak lama lagi!

Kita akan dikelilingi tanah dan tiada ruang untuk bergerak. Kita akan berada di tempat sempit itu sampai kiamat.

Tiada lagi shopping mall, tiada lagi kedai makan, tiada lagi lepak di mamak, tiada lagi hotel, tiada lagi tilam empuk.

Kereta dan motor yang kita pandu bebas di bumi yang luas.

Akan hilang apabila kita baring dalam kubur. Tak boleh lagi nak bebas ke sana sini…..

Kita tak tahu bila waktu itu akan tiba.

Mungkin kejap lagi?

Tapi yang pasti, dan pasti, ia akan tetap tiba!

Dan bila ia datang, maka rugilah para pecinta dunia, para ahli maksiat, para manusia yang lalai, para manusia yang sibuk dengan dunia hingga lupakan akhiratnya…….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...