Kita sering dimomokkan atau diwar-warkan dengan pelbagai mitos
berkaitan diet dan pemakanan.
Kebanyakan rakyat Malaysia mudah percaya
bulat-bulat tentang mitos yang disampaikan kepada mereka. Kesannya,
ramai yang mempraktikkan mitos-mitos ini tanpa mengkaji kesahihannya
atau merujuk kepada yang pakar.
Antara mitos pemakanan yang terkenal di Malaysia ialah:
1. Makan nasi, menggemukkan!
Nasi bukanlah penyebab kegemukan, tetapi kuantiti nasi yang kita
ambil secara berlebihan adalah puncanya. Nasi merupakan salah satu
sumber karbohidrat serta makanan ruji rakyat Malaysia. Karbohidrat
merupakan sumber tenaga utama yang diperlukan oleh tubuh dan otak.
Isunya bukanlah apa yang kita makan, tetapi berapa banyak kuantiti
makanan yang kita ambil.
Jika seseorang menggantikan nasi kepada roti dalam diet hariannya,
kerana takut gemuk, berwaspadalah dengan kuantiti roti yang anda ambil.
Hal ini kerana, 1 keping roti = 1 senduk nasi! Oleh itu, ambillah
karbohidrat mengikut kadar tenaga yang diperlukan oleh badan anda, bukan
diambil secara berlebihan.
2. ‘Berdiet’ (tidak makan) untuk menurunkan berat badan.
Amalan ‘berdiet’ amat popular bagi individu yang sedang berusaha
untuk menurunkan berat badan. Namun, tidak mengambil hidangan utama
seperti sarapan, makan tengah hari dan makan malam adalah cara yang
salah. Walaupun anda akan mendapati berat badan anda menurun pada
peringkat permulaan, tetapi penurunan ini tidak akan konsisten.
Hal ini kerana, apabila hidangan utama tidak diambil, secara
automatiknya, badan akan menganggap bahawa anda sedang kebuluran
disebabkan oleh tempoh berlapar yang agak panjang. Anda berisiko untuk
makan dengan kadar yang banyak dalam satu masa, badan pula akan menyekat
jumlah kalori tersebut daripada digunakan sebagai tenaga.
Jadi, makanlah dalam kuantiti yang sedikit untuk setiap hidangan
utama sepanjang hari bersama snek yang sihat sebagai hidangan selingan
untuk membantu mengawal selera anda.
3. Semua jenis lemak adalah bahaya!
Tidak! Semua nutrien termasuk lemak, mempunyai peranan yang penting
untuk tubuh badan manusia. Lemak hanya akan mengundang masalah jika
diambil dengan banyak atau dalam kadar yang salah. Secara umumnya, lemak
terbahagi kepada dua, lemak tepu dan lemak tidak tepu. Kedua-duanya
diperlukan dalam kadar yang sepatutnya.
Hadkan pengambilan lemak tepu seperti santan, susu pekat manis, ghee,
butter dan kulit ayam. Lebihkan pengambilan lemak tidak tepu seperti
kekacang, ikan, minyak sayuran (minyak bunga matahari, minyak zaitun,
minyak canola). Lemak tidak tepu adalah pilihan yang lebih baik
berbanding lemak tepu kerana mengandungi vitamin, antioksida dan asid
lemak yang diperlukan oleh badan kita.
4. Saya kurus, mesti kolesterol rendah.
Awas! Jangan terus menganggap bahawa badan yang kurus akan terlepas
daripada kolesterol yang tinggi dalam darah. Kolesterol tinggi dalam
darah adalah berpunca daripada faktor-faktor seperti pengambilan
kolesterol dan lemak tepu yang berlebihan, kurang bersenam, merokok dan
faktor genetik.
Kolesterol yang tinggi dalam darah akan mengakibatkan arterosklerosis
(penyempitan salur darah) yang membawa kepada strok atau serangan
jantung jika tidak dirawat. Periksalah tahap kolesterol dalam darah anda
sekarang, kerana ianya boleh membunuh secara senyap!
5. Santan selamat digunakan kerana bebas kolesterol.
Santan sememangnya bebas kolesterol kerana kolesterol hanya
terkandung dalam haiwan dan sumber haiwan sahaja. Namun, awas kerana
santan tinggi kandungan lemak tepu! Pengambilan santan secara berlebihan
boleh mengakibatkan peningkatan kadar kolesterol ‘jahat’ (LDL cholesterol) dalam darah.
Oleh itu, hadkan pengambilan serta penggunaan santan dalam menu
seharian. Gantikan santan dengan susu rendah lemak di dalam masakan.
Ayuh bersama mengurangkan risiko penyakit jantung!
Para pembaca yang prihatin,
Rungkaikanlah segala mitos-mitos yang anda dengar atau percaya,
dengan mencari kesahihan fakta tersebut. Elakkan amalan pemakanan yang
hanya berdasarkan mitos semata-mata kerana ini boleh menjejaskan
kesihatan. Amalkan gaya hidup sihat yang sebenar. Anda mampu
mengubahnya!
Sekian, terima kasih.
Sumber : Prevent NCDs_Nutrition Month Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan