Mendidik anak membesar sebagai indvidu yang berperibadian mulia bukan tugas yang mudah dan singkat. Anak adalah amanah dari Allah dan ujian kepada ibu bapa. Kesabaran dan ketelitian memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak.

Tuntutan kerjaya dan kos hidup yang semakin tinggi setiap hari membuatkan ada ibu bapa yang terlepas pandang memberikan didikan sempurna kepada anak-anak. Jangan sekali-kali bersikap sambil lewa dalam mendidik anak terutama semasa enam tahun pertama mereka yang merupakan tahun terpenting dalam kehidupan mereka.

Kepada yang bergelar ibu ayah, marilah mengamalkan tabiat berikut untuk  menjadi ibu bapa yang efektif.


  1. Memupuk nilai agama dan moral ke dalam diri anak
Anak ibarat kain putih yang suci dan bersih. Ibu bapa yang perlu memupuk nilai agama dan moral dalam diri anak supaya mereka membesar sebagai anak yang berakhlak.
  1. Mendisiplin dan berkomunikasi secara positif serta mendengari anak
Ibu bapa bertanggungjawab membentuk disiplin dalam diri anak sejak mereka kecil lagi. Disiplin dalam kehidupan seharian membantu anak-anak erti tanggungjawab. Selain itu cara berkomunikasi dengan anak juga amat penting menjadikan mereka anak yang mendengar kata. Dalam menyampaikan mesej, bercakap dan memberi arahan, ibu bapa perlu tahu cara yang bersesuaian. Contohnya, posisi badan yang sesuai, turunkan badan supaya boleh menatap wajah dan muka anak, pandangan mata semasa bercakap, bahasa dan cara yang sesuai dengan tahap umur anak, nada suara yang bersesuaian. Semua itu penting supaya mesej yang hendak disampaikan difahami oleh anak.
  1. Banyak membaca kepada/dengan anak
Anak memerhati tabiat ibu ayahnya. Jika mahukan anak-anak suka membaca buku, ibu dan ayah perlu rajin membaca dengan anak atau bagi anak yang masih kecil bacakan buku kepada mereka. Percayalah lama kelamaan semakin mereka meningkat usia, mereka juga akan suka membaca buku.
  1. Membenarkan anak-anak bermain
Bermain adalah sebahagian daripada dunia kanak-kanak. Jangan sekat anak-anak bermain, biarkan mereka bermain asalkan ia tidak berbahaya kepada mereka. Kanak-kanak belajar banyak perkara ketika bermain.
  1. Menghadkan masa menonton televisyen dan penggunaan gajet
Televisyen dan gajet memang boleh membuatkan anak duduk diam tetapi ia memberi kesan buruk untuk tumbesaran dan kesihatan mereka. Oleh itu hadkan masa anak-anak menonton televisyen dan menggunakan gajet.
  1. Memupuk bakat dan hobi anak
Berikan dorongan dan semangat kepada bakat dan hobi anak anda. Mereka mampu mencipta kejayaan sekiranya ibu bapa menjadi pembakar semangat yang utama.
  1. Merapatkan hubungan dengan anak melalui sentuhan dan kasih sayang
Anak yang menerima sentuhan, belaian dan kasih sayang yang cukup daripada ibu bapa akan membesar sebagai anak-anak yang positif, ceria dan cerdas. Oleh itu pastikan anda tunjukkan kasih sayang kepada anak-anak setiap saat. Dengan cara ini hubungan anda dengan anak-anak akan menjadi rapat sehingga ke akhir hayat.
pama