Jumaat, 1 Mei 2015

Kepentingan 7 Vitamin B Kepada Anak Anda


vitamin 
Vitamin merupakan bahan organik yang sangat diperlukan oleh tubuh meskipun kuantiti keperluannya sedikit. Bagi kanak-kanak, pengambilan vitamin secukupnya menjamin tumbesaran normal, mencegah jangkitan penyakit dan memasti tahap kesihatan memuaskan. Salah satu yang utama ialah vitamin B. Teruskan bersama NAROSWATI NAIB untuk penjelasan lanjut tentangnya.



Vitamin B1
Vitamin B1 atau dikenali sebagai Thiamine ini penting untuk membantu perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak. Vitamin ini turut membantu pemprosesan dan penggunaan karbohidrat, lemak dan protein selain daripada membantu memelihara sistem saraf dan otot yang sihat serta fungsi jantung yang normal. Manusia memerlukan vitamin B1 untuk membentuk bahan api yang membolehkan tubuh bekerja. Vitamin B1 boleh diperoleh daripada gandum, kacang pis, kekacang, ikan dan daging. Kekurangan vitamin B1 boleh menyebabkan keletihan, lesu dan hilang selera makan. Ada kalanya, kekurangan vitamin ini boleh menyebabkan gangguan mental dan emosi. Kanak-kanak memerlukan di antara 0.6 hingga 0.9mg vitamin B1 setiap hari.

Vitamin B2
Riboflavin adalah nama lain bagi vitamin B2. Vitamin ini perlu untuk pembentukan sel darah merah, penghasilan antibodi, pernafasan sel, dan tumbesaran. Riboflavin membantu melegakan keletihan mata dan penting untuk pencegahan dan rawatan katarak. Ia membantu metabolisme karbohidrat, lemak dan protein. Riboflavin juga memudahkan penggunaan oksigen oleh tisu kulit, kuku dan rambut, menghapuskan kelemumur, membantu penyerapan zat besi dan vitamin B6.

Makanan yang kaya vitamin B2 ialah keju, putih telur, ikan, daging, susu, asparagus, avokado, kubis bunga, rumpai laut, sayuran berdaun hijau, kulat, kacang dan selada air. Kekurangan vitamin B2 boleh menyebabkan keletihan, lemah badan, lemah daya penglihatan, terlalu sensitif pada cahaya, gatal kulit, lemah daya penghadaman, tumbesaran terbantut dan minda lambat bertindak balas. Keperluan vitamin B2 bagi kanak-kanak ialah sebanyak 0.6 hingga 0.9mg sehari.

Vitamin B3
Vitamin B3 atau dikenali juga dengan nama Niasin diperlukan oleh tubuh untuk peredaran darah dan kulit yang sihat. Niasin penting dalam menghasilkan tenaga daripada gula darah dan dalam pembuatan lemak. Vitamin B3 ini turut membantu dalam fungsi sistem saraf, metabolisme karbohidrat, lemak dan protein, dan dalam pengeluaran asid hidroklorik untuk sistem penghadaman. Vitamin ini juga terlibat dalam pengeluaran cecair hempedu dan perut yang normal dan sintesis hormon seks. Niasin merendahkan paras kolesterol dan membaiki peredaran darah.

Niasin boleh didapati daripada hati lembu, ragi yang ditapai, kubis bunga, lobak merah, keju, tepung jagung, buah kurma, telur, ikan, susu, kacang tanah, ubi kentang, tomato, gandum, dan hasil gandum.
Kekurangan vitamin B3 boleh menyebabkan badan lemah, cirit-cirit, otot lemah, bengkak mulut dan lidah, sakit kepala dan kandungan gula dalam darah rendah. Kanak-kanak memerlukan di antara 9 hingga 16mg vitamin B3 setiap hari.

Vitamin B5
Vitamin yang juga dikenali sebagai vitamin anti-stres, asid pantothenic memainkan peranan dalam pengeluaran hormon adrenal dan pembentukan antibodi, membantu dalam penggunaan vitamin dan menolong menukar lemak, karbohidrat dan protein kepada tenaga.

Vitamin ini diperlukan oleh semua sel dalam badan dan tertumpu pada organ badan dan terlibat dalam pengeluaran neurotransmitters. Vitamin B5 merupakan elemen perlu koenzim A, bahan kimia badan penting yang terlibat dalam kebanyakan fungsi metabolisme. Asid pantothenic juga bertindak sebagai penambah stamina dan mencegah sesetengah bentuk anemia. Ia diperlukan untuk salur perut-usus berfungsi dengan normal dan boleh menolong dalam merawat tekanan dan rasa cemas.

Sumber utama asid pantothenic ialah daging lembu, telur, sayuran segar, hati, kekacang, ikan laut dan gandum. Kekurangan vitamin B5 ini boleh menyebabkan keletihan, lemah badan, sakit kepala, muntah, lemah daya tahan terhadap jangkitan saluran pernafasan dan kejang otot. Keperluan harian vitamin B5 bagi kanak-kanak ialah sebanyak 2 hingga 4 mg.

Vitamin B6
Pyridoxine adalah nama lain bagi vitamin B6 yang banyak terlibat dalam fungsi badan berbanding kebanyakan nutrien lain. Vitamin ini memberi kesan terhadap kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak. Selain itu, vitamin B6 juga perlu untuk penghasilan sel darah merah dan antibodi. Pyridoxine turut membantu mengimbangi tahap sodium dan potassium. Agar sistem saraf dan otak dapat berfungsi dengan normal, tubuh memerlukan vitamin B6 secukupnya. Antara makanan yang mengandungi vitamin B6 ialah lobak merah, ayam, telur, ikan, daging, kacang pis, bayam, biji bunga matahari dan walnut. Sumber lain turut kaya dengan pyridoxine termasuklah avocado, pisang, kacang, kubis bunga, beras perang, dan bijirin. Kekurangan vitamin B6 boleh menyebabkan keletihan, lesu, rasa tertekan, mengalami penyakit kulit, anemia dan sawan. Kanak-kanak perlukan sebanyak 0.6 to 1.3mg vitamin B6 setiap hari.

Vitamin B9
Vitamin ini lazimnya disebut sebagai asid folik. Asid ini merupakan sejenis mineral yang diperlukan oleh kanak-kanak untuk memastikan tumbesarannya sempurna. Asid folik penting dalam pembinaan DNA setiap sel. DNA berperanan sebagai penyimpan maklumat bagi sel tersebut. Tubuh juga memerlukan folat untuk menghasilkan sel darah merah. Asid folik banyak terdapat dalam sayur-sayuran hijau, susu dan produk tenusu. Keperluan vitamin B9 bagi kanak-kanak ialah sebanyak 150 hingga 300mcg sehari.

Vitamin B12
Vitamin B12 atau ‘cyanocobalamin’ diperlukan dalam proses pembuatan bahan genetik pada sel (DNA) untuk pertumbuhan dan pembesaran. Pembentukan sel darah merah oleh sum-sum tulang juga bergantung pada vitamin ini. Selain itu, vitamin B12 juga menolong memelihara sel saraf dan sel darah merah serta terlibat dalam penggunaan folik asid dan karbohidrat dalam makanan. Asid hidroklorik melepaskan vitamin B12 di dalam perut ketika proses penghadaman. Selepas itu akan bercantum pula dengan sejenis bahan yang dipanggil faktor intrinsik (IF) sebelum diserap ke dalam darah. Vitamin B12 juga perlu untuk memelihara sistem saraf yang sihat. Sumber semula jadi vitamin ini ialah ikan, susu dan produk tenusu, telur, daging dan ayam. Bijirin sarapan pagi yang diperkayakan adalah sumber terbaik vitamin B12. Kekurangan vitamin B12 boleh menyebabkan badan lesu, sakit mulut dan lidah, anemia dan gangguan mental serta emosi. Keperluan harian vitamin B12 bagi kanak-kanak ialah sebanyak 0.9 hingga 2.4mcg.
eberita

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda Berkenan .

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...