Tanda dia suka kamu
Banyak gadis datang bertanya kepada teman mereka, Kau rasa dia suka aku
tak? Hakikatnya mereka masih berteka-teki kerana bimbang dilabelkan syok
sendiri.
Bukan saja kajian, tapi realitinya gadis memang cepat jatuh cinta.
Mereka lebih sensitif dan mudah merasai sesuatu perkara terus ke jiwa.
Berbanding lelaki, mereka adalah golongan manusia yang diberikan
kelebihan untuk lebih rileks.
Jarang sekali kita melihat lelaki yang mudah lafaz kata cinta tapi tidak
dinafikan ada juga spesis begitu yang masih wujud. Itulah romeo dan mat
jiwang yang sememangnya cepat sungguh rasa syok pada perempuan yang
mereka jumpa.
Tapi perlu diingat, jangan pula gadis cepat perasan kerana kebanyakan
lelaki hanya bersikap begitu untuk `test market' saja tanpa niat lebih.
Kata mereka, umpan dengan ayat saja, kalau dapat satu bonus tapi kalau
tidak mengenai pancing, tidak mengapa kerana peluang mencuba sentiasa
ada.
Justeru jangan cepat rasa selesa apabila terima kiriman salam atau
usikan daripada lelaki. Mereka memang golongan yang ego dan tidak mudah
mengaku kalah terhadap sesuatu perkara.
Bagaimanapun, ada rahsia sebenarnya lelaki tidak mampu sembunyikan apabila mereka benar-benar sudah jatuh cinta.
10 tanda lelaki angau untuk rujukan gadis di luar sana.
Namun peringatan kepada gadis bertuah yang melepasi kesemua rahsia yang
dibentangkan, jangan pula kamu berdiam dan tidak memberikan reaksi
kepada mereka kerana lelaki adalah golongan yang cepat putus asa apabila
berkaitan kisah cinta.
Bukan tidak serius sebaliknya ego mereka akan tercabar kalau percubaan
dan usaha mereka ditolak mentah-mentah. Jadi jangan pula kamu sombong
atau cuba lagi dengan ujian lain kerana nanti dia akan bosan dan letih
dengan sikap kamu.
Tanda mereka berminat mengenali kamu sudah terang, tapi jika dia
bukanlah lelaki pilihan yang memenuhi ciri yang kamu inginkan, cakap
lebih awal sebelum dia semakin angau kepada kamu.
Ingat, berdosa permainkan perasaan orang!
Perhatian lebih
Sesetengah lelaki rasa tak `cool' kalau terlalu menunjukkan rasa sayang
atau minat terhadap gadis pilihan. Kononnya tidak mahu lelaki lain
memperlekehkan mereka. Maklumlah sikap ego tidak dapat ditepis
sebaliknya hanya mampu dikurangkan saja.
Justeru tidak mudah mendapat perhatian daripada seseorang lelaki yang
masih di tahap mencuba atau mengurat. Namun mungkin selepas kamu
memberikan sedikit reaksi positif terhadap percubaan mereka, tidak
mustahil ada langkah seterusnya diambil.
Lantas ketika itu, lelaki yang dulunya acuh tak acuh terhadap kamu, kini
sudah tidak kelihatan. Si dia mula memberikan beribu perhatian kepada
kamu.
Bukan saja menelefon bertanyakan khabar, kadang-kadang belum sampai lima
minit bercakap, SMS pula masuk kononnya `awak jangan lupa makan yea'.
Itulah tanda lelaki sudah mula jatuh cinta kepada kamu dan serius untuk menjalin hubungan kerana si dia mula mengambil berat.
Ingat semuanya
Lumrah lelaki adalah golongan yang jarang serius terhadap perkara remeh.
Bayangkan, ada lelaki yang lupa akan tarikh lahir pasangannya apatah
lagi tarikh ulang tahun perkahwinan bagi mereka yang sudah
bertahun-tahun berumahtangga.
Itu bukan tanda mereka tidak sayang tapi sudah termaktub lelaki memang
tidak gemar ingat setiap satu tarikh atau kejadian yang dianggap ringan
pada mereka kerana kononnya tidak mahu semakkan otak.
Bagaimanapun, mereka mampu berubah untuk memastikan apa yang mereka
inginkan berjaya. Sama senario apabila mereka mula meminati diri kamu
atau ingin mengenali dengan lebih rapat.
Mereka akan ingat setiap inci kisah atau setiap satu kejadian yang kamu
ceritakan kepada mereka. Kiranya sepanjang perbualan antara kamu dan dia
ketika `dating', semuanya didaftarkan di fikiran mereka tanpa gagal.
Sentiasa sedia
Menolong wanita atau kawan perempuan memang adalah sikap biasa untuk
kebanyakan lelaki. Bukanlah pelik untuk mendapat bantuan daripada kawan
lelaki terutamanya apabila kereta kamu meragam atau apa saja.
Tapi lebih istimewanya kalau si dia sudah mula mengharap sesuatu, apa
saja yang kamu perlukan sudah tentu menjadi keutamaannya. Itulah tanda
utama yang mungkin kamu boleh lihat apabila si dia sudah mula minat.
Malah lelaki tidak sekali menyusahkan gadis yang mula diminati. Tidak
`macho' untuk meminta bantuan daripada wanita sebaliknya simbolik
seorang lelaki sejati sekiranya mereka berpeluang menyelesaikan masalah
gadis pilihan mereka.
Justeru tidak perlu bimbang kalau kamu berdepan sebarang masalah kerana
lelaki yang sudah jatuh cinta dengan kamu akan sentiasa bersedia untuk
membantu.
Tiada janji palsu
Kebanyakan lelaki berjanji kerana difikirkan perlu untuk memastikan
pasangan mereka senyap atau mempercayai mereka. Malah ada yang berjanji
untuk menyedapkan hati kekasih mereka.
Sebaliknya lelaki yang mula menunjukkan rasa sayang kepada gadis yang
mula didekati, mereka tidak mudah menabur janji kerana bimbang tidak
dapat menunaikannya. Kesannya akan membuatkan anda terguris atau serik.
Lantas mereka tidak sekali berjanji jika difikirkan tidak perlu. Tapi
mulalah mereka akan mencari jalan untuk memastikan janji yang sudah
dibuat ditunaikan juga kerana lelaki akan risau pada peringkat awal
perkenalan, bimbang mereka akan dinilai.
Menerima seadanya
Bila si lelaki mula mencintai setiap kelemahan kamu itu bermakna dia
betul-betul sudah mula memberikan perhatian kepada kamu. Itu adalah
tanda dia mencari jalan untuk mendekati kamu.
Kadang-kadang lelaki sanggup berpura-pura bagi memastikan kamu tidak
berkecil hati dan sentiasa selesa. Malah ada juga sesetengah lelaki yang
suka memuji ketiak di tahap ini untuk mengambil hati kamu.
Contohnya memuji nyanyian kamu di karaoke walaupun ia tidaklah sesedap
mana atau berpurapura kononnya tidak gemar menonton sinetron Indonesia
kerana kamu terlebih dulu mengatakannya.
Namun sikap itu akan semakin pudar sebaik hati kamu sudah terkunci dan cinta terhadapnya kuat. Percayalah.
Layanan `kelas pertama'
Lelaki selalunya hanya bersikap biasa atau natural apabila dia
menganggap seseorang itu hanya kawan. Bukan berkira tapi mereka bersikap
bersahaja tanpa komitmen seperti mana lumrah mereka yang tidak gemar
terikat.
Tapi apabila dia sudah mula meletakkan kamu di kedudukan yang istimewa,
tentunya kamu akan dilayan dengan begitu baik ibarat puteri kayangan.
Sanggup tunggu berjam-jam di luar rumah dan tidak kisah berhujan atau
berpanas terik semata-mata ingin kamu melihat pengorbanannya.
Tapi jangan pula kamu mengambil kesempatan kerana jika salah percaturan,
lelaki itu adalah pendendam, dia akan menuntut semula segala
kebaikannya terhadap kamu jika perasaannya kamu permainkan.
Hanya kamu saja!
Istilah `cuci mata' atau saja mencuba nasib adalah sifat semula jadi
lelaki. Mereka bukan ada niat untuk lebih sebaliknya hanya suka untuk
mencari pandangan berbeza dengan melihat gadis lain walaupun sedang
keluar dengan pasangan mereka.
Bagaimanapun sikap itu tidak akan sekali kamu lihat apabila keluar
bersama. Itu adalah tanda yang si dia memang mula menaruh rasa terhadap
kamu. Dia akan mula berkelakuan seperti kamu saja wanita yang ada dalam
fikirannya.
Tapi besar kemungkinan takut gadis pula yang akan rasa seperti dikongkong atau rimas.
Sanggup curi masa
Masih adakah lelaki yang sanggup mengorbankan masanya terutama ketika
bekerja hanya untuk berjumpa isteri tersayang? Kalau ada mungkin tidak
ramai kerana pada lelaki, kerja itu lebih penting dan masa di pejabat
saja untuknya lari daripada rasa terikat dengan tanggungjawab.
Sebaliknya apabila seseorang lelaki itu memang mula rasa minat pada
kamu, dia akan cuba memberikan seribu alasan hanya untuk bertemu kamu.
Tidak kira masa dan tempat, dia akan berusaha mencari jalan untuk dekat
dengan kamu.
Tiada jawapan mengapa cinta kamu
Selepas bertemu lebih tiga kali, melihat pada gerak tubuh dan cara dia
melayan kamu sebagaimana semua rahsia mereka yang dijelaskan di sini,
cuba pula kamu tanya si dia mengapa agaknya dia ingin keluar dengan
kamu.
Tanya pula mengapa dia begitu mengambil berat terhadap kamu dan alasan kerap menelefon kamu.
Jika lelaki itu sukar memberikan jawapan dan teragak-agak untuk
menjawabnya, itu adalah tanda paling kuat yang dia sememangnya sudah
jatuh cinta dengan kamu tapi tidak tahu cara terbaik untuk
menterjemahkannya.
Mereka akan segan dan rasa kekok untuk berterusterang dengan kamu tapi
jangan lupa dipaksa kerana bimbang dia akan menyifatkan kamu seorang
gadis yang gemar mendesak. Sebaliknya biarkan kerana tidak lama lagi dia
akan membuat pengakuannya.
Fikir bertemu orang tua
Apa agaknya langkah seterusnya untuk memastikan yang dia serius terhadap kamu dan bukannya bahan eksperimennya saja?
Lihat reaksinya apabila kamu bertanyakan untuk bertemu ibu dan bapa
kamu. Jangan seperti merancang meminang kerana lelaki tidak suka
terburu-buru sebaliknya ajak dia bertemu ayah kamu di tempat riadah atau
menemankan kamu bertemu ibu membeli-belah.
Jika lelaki itu bersetuju dan menyatakan hasratnya yang tidak sabar, dia
adalah calon paling sesuai untuk kamu terus bersama kerana dia sudah
berani berdepan keluarga kamu walaupun masih di peringkat awal.
http://www.cicinta.com
MindaRakyat Tidak dikemaskini, sila ke 1 Media - https://www.1media.my/
2 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan