Imam Syafie pernah ditanya oleh isterinya, “Suamiku, apakah engkau mencintaiku?” Beliau menjawab, “Ya tentu saja, dirimu adalah sebahagian dalam hidupku.” Mendengar itu, isterinya bertanya lagi “Apakah engkau juga mencintai Allah? Bagaimana mungkin dua cinta menyatu dalam hati seorang mukmin, Cinta kepada Allah dan juga mencintaiku?” Beliau tersenyum dan mengatakan kepada isterinya dengan pandangan mata yang lembut penuh kasih sayang. “Kerana cintaku kepada Allah, maka aku mencintai makhlukNya, memperlakukan dengan hormat dan penuh kasih sayang terhadap isteriku, anak-anakku dan sesama insan. Aku mencintaimu kerana cintaku kepada Allah.”
Tiada satu pun perkara dalam dunia ini terlepas dari ciptaan Allah. Seandainya kita
mencintai seseorang, sedarlah bahawa orang itu juga adalah ciptaan
Allah. Maka yang manakah perkara yang lebih layak dicintai? Penciptanya
atau penghasilan-Nya? Sudah tentu penciptanya kerana kita sendiri adalah
makhluk yang diciptakan-Nya. Mana mungkin kita mampu mempunyai rasa cinta dan kasih sayang seandainya diri tidak dilahirkan ke dunia ini.
Oleh itu adalah satu kesalahan
andainya kita tidak sandarkan rasa suka, kasih sayang dan cinta yang
kita miliki ini pada Allah yang menciptakan kita semua. Seharusnya rasa cinta yang hadir kepada manusia itu menambahkan lagi rasa cinta kita kepada Allah kerana hal itu telah menyempurnakan hidup kita.
Apabila kita mencintai seseorang kerana
Allah, kita akan mendekatkan dirinya kepada Allah. Kita juga mahu
dirinya mendekatkan diri kita kepada Allah. Segala salah
silap ditegur demi mendapat keredhaan Allah. Bukan membiarkan dirinya
hanyut dan leka dalam nikmat dunia. Kita dapat perhatikan ramai manusia
membiarkan pasangannya bergelumang dalam kehidupan penuh maksiat sedangkan dalam masa yang sama dia mengaku mencintai pasangannya. Cinta seperti ini bukanlah cinta yang dikehendaki dalam Islam dan inilah contoh gambaran cinta kepada manusia bukan kerana mereka mencintai Allah.
Oleh Syeikh al-Kubrawiyyah.
Asas persahabatan ialah setia dalam bercinta antara satu dengan yang lain dan tulus ikhlas dalam berkasih sayang, dan selagi ia dihalakan kepada Allah dan kerana Allah, maka pahalanya adalah amat besar.
Allah telah berfirman dalam satu hadis Qudsi yang bermaksud:
Pasti mendapat kecintaanKu bagi dua orang yang sayang menyayangi keranaKu, dua orang yang duduk bersama-sama keranaKu, dua orang kunjung mengunjungi keranaKu, dan dua orang yang tolong menolong keranaKu.
FirmanNya lagi dalam hadis Qudsi yang lain bermaksud:
Mana dia orang yang bercinta kerana keagunganKu? Hari inilah Aku akan menaungi mereka di bawah nauganKu, iaitu hari yang tiada naungan selain dari naunganKu.
Rasulullah bersabda yang maksudnya:
Sesiapa yang ingin merasakan kemanisan iman, hendaklah ia mencintai seseorang, tiada mencintainya melainkan kerana Allah.
Apabila seseorang mencintai orang lain,
bersahabat dan membiasakan diri dengannya, kerana dilihatnya orang itu
mencintai Allah dan taat setia kepada perintah Allah, maka hal demikian
itulah yang dikatakan bercinta kerana Allah.
Ataupun jika ia mencintai seseorang itu
dan bersahabat dengannya kerana orang itu membantunya di dalam
selok-belok agama, dan mengarahkannya untuk taat setia terhadap
Tuhannya, maka hal sedemikian itu juga dikira bercinta kerana Allah.
Ataupun jika ia mencinta seseorang itu
kerana membantunya dalam urusan keduniaan yang mana dengannya pula ia
bisa mengurus urusan akhiratnya, maka itu juga termasuk dalam bercinta
kerana Allah.
Ataupun jika ia mencintai seseorang itu
dan bersahabat dengannya kerana dirinya merasa senang berkawan dengan
orang itu dan dadanya merasa lapang bila duduk bersama-sama dengannya
ataupun barangkali orang itu dapat menolongnya di dalam urusan dunianya,
dan dalam hal ehwal kehidupannya yang menerusinya ia mampu hidup senang
lenang, maka cinta serupa itu adalah cinta tabii, cinta biasa yang
tiada kena mengena dengan Allah. Persahabatan itu timbul kerana
kecenderungan diri semata-mata dan meskipun demikian ia tetap harus
hukumnya, tidak sunyi dari kebaikan mudah-mudahan.
Allah Taala telah berfirman yang bermaksud:
Sahabat-sahabat pada hari itu, satu sama lain akan bermusuhan kecuali orang yang bertaqwa. ( az-Zukhruf:67)
Dipetik dari kitab An-Nashaihu ad-Diniyyah wa al-Washaya al-Imaniyyah: Saiyidina Ghautsul Anam Wa-Dairah Quthubi Rahal Islam Imam Habib Abdullah al-Haddad al-Alawi al-Husaini al-Hadhrami as-Syafie.
http://wanwma.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan