Golongan Muslimin yang beriman mengharapkan ganjaran dan reda-Nya. - Gambar hiasan
SESUNGGUHNYA mempunyai kesempatan untuk hidup dan beramal ibadah pada
Ramadan adalah satu nikmat yang agung daripada ALLAH SWT. Bahkan,
golongan salafuna soleh (orang soleh terdahulu) berdoa kepada ALLAH SWT
semenjak enam bulan sebelum Ramadan.
Sebahagian ulama salaf berkata: "Mereka (sahabat) berdoa kepada ALLAH
selama enam bulan agar mereka dapat bertemu dengan bulan Ramadan".
(Rujuk Lathaaiful Maa’arif)
Tindakan mereka ini adalah kesan yang wujud dalam diri akan kerinduan
tibanya Ramadan al-mubarak dan sebagai usaha mereka agar ALLAH memilih
mereka untuk hidup dan beramal soleh pada bulan al-Quran ini.
Selain itu, terdapat doa yang sentiasa dibaca oleh ulama salaf, Yahya
bin Katsir rahimahullah iaitu “Ya ALLAH, bawalah diriku kepada bulan
Ramadan, bawakanlah bulan Ramadan kepadaku dan terimalah amalan pada
bulan Ramadan dariku”. (Rujuk Hilyatul Auliya’)
Hikmah berpuasa
(1) Memperoleh takwa kepada ALLAH
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman,
diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang
sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah: 183)
Ayat ini jelas menunjukkan antara hikmah berpuasa adalah agar seorang hamba yang berpuasa itu memperoleh ketakwaan kepada ALLAH.
Disebabkan berpuasa, seorang hamba akan melaksanakan segala perintah
ALLAH dan akan berusaha bersungguh-sungguh menjauhi segala larangan-Nya.
Antara bentuk ketakwaan yang akan diperoleh daripada berpuasa adalah:
Pertama, orang yang berpuasa sebenarnya mempunyai keinginan untuk
makan, minum, bersama dengan isteri mereka dan sebagainya tetapi mereka
meninggalkannya dalam rangka mendekatkan diri kepada ALLAH dan mentaati
perintah-Nya iaitu berpuasa pada Ramadan.
Kedua, orang yang berpuasa sebenarnya mampu untuk melakukan apa sahaja
yang dikehendaki diri mereka tetapi mereka mengetahui ALLAH selalu
mengawasi mereka. Ini juga adalah satu bentuk ketakwaan kepada ALLAH.
Ketiga, ketika berpuasa, setiap orang yang berpuasa akan mempunyai
semangat untuk melakukan amalan ketaatan kepada ALLAH. Ketaatan
merupakan jalan kepada ketakwaan kepada ALLAH.
(2) Mampu mengawal diri daripada hawa nafsu dan keinginan
Sepertimana yang kita sedia maklum, apabila seorang hamba ALLAH itu
berpuasa, mereka diperintahkan untuk meninggalkan buat sementara waktu
keinginan nafsu makan, minum, bersama dengan isteri dan pastinya perkara
ini ditinggalkan untuk mengharapkan ganjaran pahala dan reda ALLAH.
Dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, ALLAH berfirman:
"Dia (Orang yang berpuasa) telah meninggalkan syahwat dan makan
kerana-Ku."
Disebabkan berpuasa, kita akan dapat mendidik hawa nafsu dan keinginan
yang kebiasaannya perkara-perkara ini menyebabkan seseorang itu lalai,
tidak mensyukuri segala nikmat ALLAH. Ini adalah antara hikmah berpuasa
di dalam bulan Ramadan.
(3) Menjadi motivasi untuk menjadi hamba ALLAH yang lebih baik
Setiap hamba ALLAH yang berpuasa Ramadan mengharapkan agar puasa yang
mereka kerjakan tidak sia-sia dan pastinya mengharapkan ganjaran pahala
daripada ALLAH.
Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad:
“Berapa ramai orang yang berpuasa namun hanya mendapat rasa lapar dan
dahaga. Dan berapa ramai orang yang mengerjakan solat malam namun hanya
mendapat rasa mengantuk."
Amat merugikan apabila seorang hamba yang berpuasa tetapi mereka hanya
mendapatkan lapar dan dahaga sahaja, bahkan mengerjakan solat sunnah
pada malam hari pun hanya mendapat rasa mengantuk sahaja.
Disebabkan itulah, setiap hamba ALLAH yang berpuasa hendaklah memelihara
ibadah puasa mereka daripada perkara-perkara yang tidak mendatangkan
manfaat dan tidak berfaedah. Jauhilah perkataan yang sia-sia, berkata
dusta, mencaci maki sesama manusia.
Rasulullah SAW telah bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam
al-Bukhari : “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan
dusta (sewaktu berpuasa) maka ALLAH tidak sudi menerima puasanya
meskipun ia telah meninggalkan makan dan minum."
Dalam hadis yang lain diriwayatkan oleh Imam Hakim, Rasulullah SAW
bersabda: “Puasa itu bukan hanya menahan diri daripada makan dan minum
sahaja. Namun ia juga menahan diri daripada perbuatan sia-sia dan keji.
Jika seseorang memakimu atau membodohkanmu, maka katakanlah kepadanya :
Aku sedang berpuasa, aku sedang berpuasa."
Jadikanlah Ramadan ini sebagai jalan untuk berubah kepada hamba ALLAH
yang lebih baik. Sebelum ini, berkemungkinan kita membuat banyak
perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat, sia-sia tetapi
jadikanlah Ramadan ini untuk menjauhi segala perkara-perkara tersebut.
(4) Dapat merasai kesusahan orang miskin dan berkasih sayang dengan mereka
Puasa akan menyebabkan seseorang hamba yang berpuasa lebih menyayangi
orang-orang yang miskin kerana orang yang berpuasa juga berasa kesusahan
menahan rasa lapar dan dahaga walaupun dalam tempoh seketika sahaja,
tetapi disebabkan itu, mereka akan bersikap lemah lembut terhadap sesama
mereka dan berbuat baik kepada mereka.
Motivasi untuk berubah
Dengan sebab inilah, orang yang berpuasa akan mendapatkan ganjaran
pahala yang besar daripada ALLAH. Begitu juga dengan puasa, seseorang
akan merasai apa yang dialami oleh golongan miskin, fakir yang penuh
kekurangan. Orang yang berpuasa akan merasai lapar dan dahaga
sebagaimana yang dialami oleh mereka tadi.
Inilah yang menyebabkan kedudukan mereka tinggi di sisi ALLAH SWT. Dan banyak lagi hikmah daripada Ramadan al-Mubarak.
Semoga penulisan yang ringkas berkenaan hikmah di sebalik berpuasa
Ramadan al-Mubarak ini bermanfaat buat golongan Muslimin yang beriman
kepada ALLAH dan mengharapkan ganjaran pahala dan reda-Nya serta
memberikan motivasi kepada insan yang ingin membuat perubahan kepada
insan yang lebih baik dan dekat kepada ALLAH.
Semoga Ramadan kali ini menjadi titik permulaan kepada kita semua
menjadi hamba ALLAH yang taat kepada-Nya mengikut petunjuk Rasulullah
SAW sesuai dengan pemahaman salaful ummah.
Saya akhiri artikel ini dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan
oleh Imam at-Tirmizi, Ibnu Majah dan ulama hadis yang lain: “Pada setiap
Ramadan ada penyeru dalam kalangan malaikat yang berseru : Wahai orang
yang mengehendaki kebaikan kepada dirimu, maka buatlah kebaikan, dan
wahai orang yang mengehendaki keburukan, maka kurangilah perbuatan buruk
kamu."
http://pastiislam.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan