Bulan mulia iaitu bulan Ramadhan bakal menjelma tidak lama lagi, dan
apabila tiba bulan Ramadhan, bermakna bazar Ramadhan pastinya akan
menjadi tumpuan seluruh masyarakat tidak kiralah yang beragama Islam
atau tidak akan berpusu-pusu ke bazar Ramadhan untuk membeli juadah
untuk berbuka puasa.
Seperti yang kita tahu, Malaysia adalah sebuah negara yang terkenal
dengan kepelbagaian makanan, dan oleh itu setiap kali tibanya bulan
Ramadhan pelbagai jenis makanan dijual dan ini pastinya akan membuat
pembeli rambang mata.
Oleh itu, kali ini TUPAI ini menyenaraikan beberapa jenis makanan yang
boleh dikatakan menjadi juadah wajib ketika membeli juadah berbuka puasa
di bazar Ramadhan:
Ayam Percik
Ayam percik merupakan juadah paling popular di mana-mana bazar Ramadan
dan populariti ayam percik yang tidak pernah pudar jelas tidak
menghairankan dengan baunya yang membikin perut rancak berkeroncong.
Berasal dari pantai timur, daging ayam yang diperap dalam rempah akan
dipanggang menggunakan arang. Nikmat memakan ayam yang dicicah dengan
kuah memang tak terkata.
Bubur Lambuk
Para pengunjung masjid pasti sudah biasa melihat bubur lauk atau bubur
lambuk yang sentiasa terhidang selepas solat Asar. Bubur nasi yang
dicampur dengan pelbagai jenis sayuran, termasuk ubi, udang dan daging
sering menjadi pilihan ramai kerana sifatnya yang mudah dihadam, di
samping bau dan rasa yang lazat.
Murtabak
Murtabak berasal dari perkataan bahasa Arab 'mutabbaq' yang bermaksud
berlipat. Cara pembuatannya adalah dengan melipat adunan roti yang telah
diselit dengan ayam ataupun daging berserta telur dan bawang. Untuk
menyedapkan lagi rasa, peminat murtabak selalunya mencicah juadah
bersama kuah dal atau jeruk bawang.
Roti John
Siapa tak kenal John menjelang bulan puasa? Walaupun tidak diketahui
asal usul nama, roti ini tetap menjadi permintaan ramai di setiap bazar
Ramadhan. Memang tidak dinafikan, roti yang diisi penuh dengan telur,
daging, bawang, tomato dan macam-macam lagi memang sesuai mengisi perut
yang sudah berbunyi setelah seharian berpuasa.
Tepung Pelita
Sejenis kuih tradisional yang terdiri daripada lapisan berwarna hijau di
bawah dan lapisan santan di atas, kuih tepung pelita biasa disediakan
dalam bekas daun pisang. Disebabkan rasanya yang sangat enak dan manis,
maka tidak hairanlah kuih ini terkenal di Malaysia, Singapura dan juga
Indonesia.
Popia Basah
Tak rugi anda beratur panjang semata-mata untuk membeli juadah yang
sememangnya menjadi kesukaan orang ramai ini. Untuk menyedapkan lagi
rasa, popiah basah biasa biasa dimakan bersama sos cili manis yang
ditabur dengan bijian ataupun bawang goreng.
Ikan Bakar
Aroma ikan pari, keli, terubuk dan siakap yang dibakar memang sukar
untuk diabaikan, lebih-lebih lagi ketika anda sedang berpuasa. Ikan-ikan
ini enak dicicah bersama sambal cili yang dicampur dengan jus limau dan
dimakan dengan nasi panas. Terbaik!
Kurma
Akhir sekali, makanan wajib di bulan Ramadhan. Walaupun tampak kecil dan
biasa, namun sebiji buah kurma berserta segelas air suam atau susu
boleh membekalkan tenaga dan mengenyangkan perut anda. Menurut sunnah
Rasulullah, amalan membuka puasa dengan buah yang berasal dari Timur
Tengah ini merupakan amalan yang sihat kerana buah ini mengandungi
khasiat zat besi dan kalsium yang sangat tinggi, di samping dapat
memberikan keberkatan yang besar.
tupai
Tiada ulasan:
Catat Ulasan