Islam merupakan agama yang mudah dan
tidak membebankan. Membicarakan isu majlis kenduri kahwin (walimah)
daripada konteks Islam adalah mudah. Isu Islam sebagai agama yang mudah
dapat difahami berdasarkan hadis yang berbunyi : “Dari Abu Hurairah r.a,
katanya Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya agama (Islam) itu
ringan. Barangsiapa memperberat-berat, maka dia akan dikalahkan oleh
agama. Oleh kerana itu, kerjakanlah (agama itu) menurut mestinya, atau
mendekati mestinya, dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala), serta
beribadatlah (mohonlah pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan
sebahagian malam." (Hadis Riwayat Bukhari)
Berdasarkan
hadis ini, majlis kenduri kawin (walimah) daripada konteks Islam
tidaklah memberati para penganutnya dalam urusan pelaksanaannya. Islam
menggalakkan penganutnya untuk mengadakan walimah berdasarkan kemampuan.
Walaubagaimanapun, Islam begitu mencela perbuatan yang membazir dalam
setiap perkara yang dilakukan berdasarkan ayat firman Allah SWT
maksudnya :“Berikanlah kepada kaum-kerabat haknya masing-masing dan
kepada orang miskin dan orang musafir dan jangalah engkau
membazir(boros) dengan melampau (Surah al-Isra' ayat 26)
Terdapat
banyak perkara-perkara bertentangan dengan ajaran Islam semasa di
adakan majlis kenduri kawin di dalam masyarakat kita. Sebagai seorang
muslim-mukmin yang beriman dan bertakwa kita perlulah menjauhkan diri
daripada perkara-perkara yang bertentang dengan ajaran Islam. Jika boleh
di elakkan maka elakkanlah semoga kita mendapat keredaan Allah SWT.
Oleh
kerana majlis kenduri kawin adalah sebagai satu ibadah (meraikan tetamu
dengan majlis jamuan) selepas majlis akad nikah dijalankan, maka
perlulah kita berwaspada supaya ibadah yang kita baru tunaikan tidak
dicemari dengan kemugkaran dan mendapat kemurkaan Allah SWT.
Perkara-perkara yang bertentangan tersebut adalah seperti berikut :
Pertama : Adakah hantaran belanja termasuk di dalam ajaran Islam?
Setelah
merujuk dalil berkenaan perkara ini, sememangnya hantaran belanja tidak
termasuk dalam ajaran Islam. Islam hanya meminta seorang lelaki yang
ingin mengahwini seorang perempuan untuk membayar maskahwin sahaja.
Maskahwin ini boleh terdiri dari emas, wang ringgit atau sekadar bacaan
dari al-Quran.
Maskahwin
adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan
sebab perkahwinan. Firman Allah SWT. yang bermaksud : " Berikanlah
kepada orang-orang perempuan itu maskahwin mereka ". ( Surah An-Nisaa'
ayat 4 )
Sabda
Rasulullah SAW. yang bermaksud : "Carilah untuk dijadikan maskahwin
walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi ." ( Hadis Riwayat
Bukhari )
Dari
hadis di atas nyatalah bahawa maskahwin boleh dijadikan daripada apa
sahaja asalkan benda itu berguna dan berfaedah sama ada berupa wang,
barang atau sesuatu yang bermanfaat sebagaimana diberitakan Rasulullah
SAW pernah mengahwinkan seorang lelaki yang tiada memiliki sesuatu pun
untuk dijadikannya maskahwin lalu baginda bertanya kepada lelaki itu,
adakah pada engkau (hafaz ) sedikit daripada ayat al-Quran, lelaki itu
menyahut bahawa ia mengingati beberapa surah kemudian Nabi SAW pun
mengahwinkan lelaki itu dengan bermaskahwinkan surah yang diajarkan
kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya.
Maskahwin
itu tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikit, jadi untuk
menentukan banyak atau sedikitnya itu terpulanglah kepada dua pihak di
atas persetujuannya dan berdasarkan taraf atau darjat pengantin tersebut
dan hukum syarak tidak menggalakkan maskahwin yang terlalu tinggi yang
menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud: " Sebaik-baik maskahwin ialah yang lebih rendah ". ( Hadis Riwayat Abu Daud )
Dan
sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud: "Sesungguhnya yang besar berkat
nikah ialah yang sederhana belanjanya ". ( Hadis Riwayat Ahmad )
Maskahwin
ini yang bakal diterima oleh bakal isteri menurut ulama tidak boleh
diambil oleh ibu bapa wanita atau oleh bakal suaminya. Maskahwin ini
tidak boleh digunakan untuk majlis jamuan makan kenduri kahwin tanpa
kebenaran anak perempuan yang berkahwin.
Hantaran
belanja yang kini mencecah belasan ribu ringgit Malaysia adalah
tambahan adat Melayu yang bukan untuk memudahkan proses berkahwin tetapi
sebenarnya adalah untuk menyusahkan orang yang ingin berkahwin.
Jika
hantaran tidak terlalu tinggi dan bersesuaian dengan keadaan semasa dan
pihak lelaki berkemampuan membayarnya tidaklah menjadi satu kesalahan
dan ianya diharuskan.
Kedua : Adakah bersanding merupakan ajaran Islam?
Setelah
dikaji dari sumber yang sahih dari hadis dan sunnah, sememangnya adat
ini juga tidak bersumber dari ajaran Islam. Ia lebih bersumberkan ajaran
dari agama Hindu. Malahan adat tepung tawar , beras kunyit yang berasal
dari ajaran Hindu masih lagi dikekalkan pada hari ini.
Apa
yang berlaku semasa majlis bersanding ini lebih kepada pembaziran dan
sesungguhnya didalam al-Quran , Allah SWT menyatakan bahawa orang yang
membazir adalah saudara syaitan. Kerana kos yang tinggi akan digunakan
untuk menyiapkan pelamin dan peralatannya sedangkan wang tersebut tidak
perlu dibazirkan di atas perkara yang tidak berfaedah.
Walaupun
niat kita mengadakan upacara persandingan dengan niat yang baik iaitu
untuk meraikan pasangan pengantin, namun sekiranya upacara itu dicemari
oleh unsur-unsur yang bertentangan dengan agama Islam, maka secara tidak
langsung upacara tersebut salah disisi agama.
Menurut
Prof. Yusof Qardhawi di dalam bukunya Fatwa Mu'asirat dan Halal dan
Haram fil Islam, halaman 36. : “Niat yang baik tidak akan menghalalkan
yang haram"
Jika
terdapat majlis makan berdamai semasa majlis kenduri kahwin di antara
pengantin lelaki dan perempuan dan keluarga kedua-dua pihak maka majlis
seperti ini dibolehkan kerana mendatangkan kebaikan untuk mengeratkan
silaturahim di antara dua keluarga yang baru berkenal-kenalan.
Berinai
adalah salah satu amalan semasa majlis perkahwinan. Inai bagi perempuan
dibolehkan kerana tiada larangan dan wanita-wanita di zaman salaf
berinai dan Nabi SAW tidak menegahnya, malah menyuruhnya, dari Aisyah ra
: "Nabi SAW melihat tangan di sebalik tirai dan berkata, "Apakah ini
tangan lelaki atau perempuan?" maka dikatakan itu tangan perempuan, maka
Nabi SAW pun bersabda maksudnya : " Jika kamu seorang perempuan, pasti
kamu akan mengubah warna kuku kamu (dengan inai)."
(Hadis RiwayatAbu Daud, 4166) dan (Hadis Riwayat Nasa'i 5092)
Walau
bagaimanapun berinai dengan daun inai atau sebagainya, pada dua tangan
dan kaki, bagi kaum lelaki hukumnya adalah haram. Di antara dalil yang
mengharamkan lelaki berinai ialah hadis sahih yang diriwayatkan oleh
Imam Bukhari dan Imam Muslim: Daripada Anas dia berkata: “Bahawa Nabi
SAW melarang kaum lelaki memakai za'faran (kuma-kuma)." (Hadis Riwayat
Bukhari dan Muslim)
Ketiga : Wajarkah menyediakan tepak sirih dan sirih junjung?
Pada
zaman dahulu rombongan pengantin lelaki membawa tepak sirih dan sirih
junjung adalah bertujuan semoga semua ahli rombongan dan pihak tuan
rumah dapat bersama-sama makan sireh, maklumlah majoriti orang zaman
dahulu memang makan sireh. Apa perlunya pada zaman sekarang? Beli sireh,
upahkan orang menyusunnya, usung ke hulu dan ke hilir sebagai tontonan
dan akhirnya dibuang begitu sahaja! Adalah jauh lebih baik rombongan
pengantin lelaki membawa makanan atau buah-buahan sebagai hadiah kepada
pihak pengantin perempuan. Sirih junjung dikira sebagai barang membazir
dan menyusahkan sahaja.
Keempat : Apakah sebenarnya tujuan pengantin perempuan bersolek (berlebih-lebihan) di majlis perkahwinan ini?
Di
samping itu, perbuatan andaman yang berbentuk “li tadlis" mengabui atau
merubah kecantikan yang sebenar juga dilarang sama sekali dalam Islam
malah ianya adalah haram. Antaranya yang disebut oleh al-hadis riwayat
Muslim. Dari Abdullah Ibn Mas'ud r.a katanya : "Allah melaknat wanita
yang mencucuk tangan dan menaruh warna (tattoo) dan yang meminta berbuat
demikian; wanita-wanita yang menghilangkan bulu kening di muka, wanita
yang mengikir gigi dan menjarangkannya supaya kelihatan cantik yang
merubah kejadian Allah."
Apa
yang jelas dari bersolek adalah satu dosa kerana termasuk dalam
"Tabarruj" dan melakukan sesuatu untuk mendapat pujian adalah riak.
Semua perkara ini adalah perbuatan mungkar yang membawa dosa dan
dilarang oleh Allah SWT . Jika bersolek sekadarnya dan tidak nampak
bedak yang tebal dan tiada perhiasan yang berlebihan tidaklah dilarang.
Kelima : Apakah tujuan membuat majlis kenduri kahwin ini?
Berdasarkan Islam, sepatutnya majlis perkahwinan ini dilakukan bertujuan:
Mengadakan
majlis walimah untuk pernikahan sepasang pengantin merupakan anjuran
dan sunnah Rasulullah SAW kerana dengan adanya majlis walimah, sesuatu
perkahwinan itu boleh diumumkan kepada khalayak, demikian juga para
tetamu undangan boleh menghadirinya sambil bersilaturrahim dan mendoakan
kebahagiaan pasangan pengantin. Ia juga sebagai satu tanda kesyukuran
kepada Allah SWT kerana diberikan rahmatnya iaitu seorang menantu dan
tanda kesyukuran ini ialah dengan menjamu tetamu makan terutama sekali
yang miskin.
Islam
mengajarkan umatnya untuk mendahulukan orang fakir miskin. Hal ini
dijelaskan Rasulullah dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan Bukhari
bermaksud: “Seburuk-buruk makanan ialah makanan dari majlis kenduri
kahwin yang hanya dijemput orang kaya, orang fakir dan miskin tidak
diundang untuk makan bersama."
Pada
masa kini, majlis perkahwinan diserikan lagi dengan berbagai hiburan,
hiburan di dalam Islam dibolehkan berdasarkan hadis riwayat Bukhari
daripada Aisyah r.ha bahawa seorang wanita berkahwin dengan lelaki
Ansar, maka baginda bersabda maksudnya : "Wahai Aisyah! Mengapakah tiada
bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan."
Dalam
hadis yang bertaraf 'hasan' yang diriwayatkan oleh al-Nasai dan
al-Tirmizi, baginda bersabda maksudnya :" Perbezaan antara yang halal
dan yang haram adalah kompang dan suara dalam perkahwinan. Maksudnya
perkahwinan yang halal dilakukan secara terbuka dan diisytiharkan.
Berbeza dengan perzinaan."
Berdasarkan
dalil-dalil ini, dapatlah diketahui bahawa Islam tidak melarang bentuk
hiburan. Hiburan dalam Islam dilihat sebagai suatu keizinan untuk
menenangkan diri dan menghiburkan hati yang gundah-gulana. Hiburan yang
tidak bertentangan dengan Islam adalah alunan nasyid yang memuji
kebesaran Allah SWT dan berbentuk doa dan mempromosikan akhlak Islam.
Hiburan yang berbentuk karaoke campuran lelaki dan perempuan adalah
dilarang.
Sahabat yang dimuliakan,
Islam
menyarankan majlis kenduri kahwin (walimah) hendaklah diadakan cara
yang sederhana tetapi meriah. Tidak membebankan kedua-dua pihak lelaki
dan perempuan. Jika kurang berkemampuan adakan majlis yang sederhana
sahaja dan perlu mengundang saudara mara yang terdekat , jiran tetangga
dan sahabat-sahabat yang rapat sahaja. Tidak perlulah berhutang dan
bergolok bergadai semata-mata untuk mencari kemegahan dan riak sedangkan
cara seperti ini dilarang dan ditegah oleh agama.
Kenapa
perkahwinan umat Islam sekarang ini tidak kekal dan berlaku penceraian
walaupun umur perkahwinan tidak sampai setahun? Sedangkan kos
perbelanjaan perkahwinan telah dihabiskan puluhan ribu ringgit. Puncanya
adalah tidak terdapat keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT kerana
terdapat banyak unsur maksiat dan dosa semasa dilangsungkan majlis
perkahwian tersebut. Oleh itu perlulah kita buangkan adat-adat melayu
lama yang bertentangan dengan syariat Islam seperti adat bersanding,
hiburan yang mendatangkan dosa dan mengelakkan pembaziran dengan
menyediakan perkara-perkara yang tidak berfaedah.
Majlis prkahwinan adalah ibadah, pastika kita tidak melaggar batas-batas syarak yang di benarkan oleh Allah SWT.
Wallahu a’lam
Sumber ikahwin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan