Rabu, 13 Februari 2013

Fenomena Laut Merah Sabah Korban Seorang Lagi Mangsa Termakan Kerang

Fenomena laut merah yang kini melanda Sabah menyaksikan seorang lagi mangsa terkorban, menjadikan jumlah tiga kesemuanya setakat ini, dipercayai akibat memakan kerang dan lokan dibeli dariPasar Malam Inanam, dekat sini.

Ketika mengesahkan kejadian itu, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata mangsa, 23, seorang wanita warganegara asing berasal dari Kampung Inanam Jaya itu sudah dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas pada kira-kira jam 2.55 pagi semalam.





"Sampel kerang dan lokan itu telah dihantar ke Jabatan Perikanan Sabah untuk dianalisis dan keputusan masih belum diperolehi,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Puteri Umno Malaysia di sini, hari ini.

Rosnah berkata semalam sahaja, Jabatan Kesihatan Negeri menerima sebanyak 18 kes yang disyaki keracunan kerang daripada HWKKS manakala jumlah keseluruhan adalah 43 kes dengan 37 kes di daerah Kota Kinabalu dan enam kes di daerah Tuaran.

Beliau berkata pada jam 7.30 malam semalam, seramai 10 orang telah mendapat rawatan di HWKKS, enam di Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2, dua di HQE 1, enam di Hospital Tuaran, tiga kes di Klinik Kesihatan Likas dan satu di bawah keadaan tidak bernafas.

“Setakat ini seramai empat kes dimasukkan di wad HWKKS, dan tiga di HQE 2 untuk rawatan lanjut manakala 35 kes lagi menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya sambil menyatakan kesemua kes berkaitan dengan memakan kupang yang dibeli dari Pasar Malam Inanam dan mengambil kupang di Teluk Likas.

Sementara itu, Rosnah berkata poster dan hebahan awam mengenai keracunan makanan akibat air merah telah ditampal di Pasar Malam Inanam dan para peniaga dilarang menjual kerang pada masa ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak memakan atau mengumpul kesemua jenis kerang (hidupan laut yang mempunyai cangkerang) seperti kerang, siput dan juga ikan-ikan pesisir pantai.
“Jika termakan dan mengalami tanda-tanda seperti kebas, pening, muntah dan sesak nafas, sila dapatkan rawatan segera di hospital atau klinik kesihatan berdekatan,” kata Rosnah. -- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...