Baitulmaqdis merupakan sebuah kota yang terletak di dalam wilayah
Palestin dan diiktiraf sebagai kota ketiga paling suci bagi umat Islam
selepas Mekah dan Madinah. Dalam kalangan masyarakat antarabangsa, kota
ini lebih dikenali dengan nama Jerusalem yang bermaksud ‘tempat yang aman untuk didiami’.
Catatan sejarah menunjukkan kota ini telah diduduki manusia selama
sekitar 5,000 tahun sekaligus merupakan antara kota yang tertua di dunia
dan masih dihuni sehingga sekarang. Kota ini merupakan tempat
pertembungan antara tiga agama samawi iaitu Islam, Yahudi, dan Kristian
bahkan setiap agama mempunyai kawasan masing-masing di sekitar kota lama
yang mengelilingi sebuah tanah tinggi yang terkepung dengan tembok yang
tinggi lagi kukuh.
Masyarakat dunia menamakan kawasan tanah tinggi ini sebagai ‘Mount
Temple’ disebabkan sejarahnya yang pernah menempatkan kuil Yahudi kuno
iaitu dipanggil juga sebagai Haikal Sulaiman sebelum ia dimusnahkan,
dibina semula dan sekali lagi dimusnahkan selepas kota ini dijajah oleh
kerajaan-kerajaan yang berbeza.
Mengikut catatan sejarah, umat Islam pada era awal Islam dahulu
menggelarkan kawasan di mana terletaknya ‘Mount Temple’ sebagai Madinah
Baitulmaqdis yang membawa erti ‘City of the Temple’ yang mengambilkira
akan kewujudan Haikal Nabi Sulaiman A.S yang menjadi tempat ibadat
pertama kaum Yahudi sebelum dimusnahkan oleh orang Babylon pada tahun
586 sebelum Masihi.
Selepas kemusnahan pertama itu, Haikal ini dibina semula kira-kira
selepas 70 tahun kemusnahan pertamanya apabila orang Babylon berjaya
diusir, namun ia diruntuhkan kembali pada tahun 70 Masihi oleh Empayar
Roman. Manakala kawasan kota yang wujud di sekeliling ‘Mount Temple’ ini
dipanggil Iliya, berasal daripada nama ‘Aelia
Capitolina’ yang diberikan semasa penjajahan orang Roman. Kawasan ‘Mount
Temple’ pada asalnya agak tinggi dengan keadaan yang tidak rata tetapi
pada tahun 19 sebelum Masihi, pemerintah ketika itu iaitu Herod the
Great telah membina tembok tinggi mengelilingi kawasan ini lalu
meratakan permukaannya di dalam kawasan tembok sepertimana keadaan
sekarang.
Selepas pengislaman Kota Baitulmaqdis yang bermula ketika zaman
khalifah Umar al-Khattab, nama ‘Mount Temple’ telah ditukarkan kepada Haram al-Sharif yang
menggambarkan kedudukan kawasan suci ini yang mendapat tempat yang
mulia di dalam Islam sementara kota disekitarnya inilah dinamakan
Baitulmaqdis.
Pada Zaman Khalifah Sulaiman iaitu salah seorang khalifah di dalam
era Turki Uthmaniyyah, beliau telah membina semula dinding seakan-akan
sebuah tembok di sekeliling kota Baitulmaqdis. Sekarang ini Baitulmaqdis
yang asal dirujuk sebagai kota lama Baitulmaqdis iaitu kawasan yang
dikepungi tembok tadi. Di kota inilah terletaknya Masjid al-Aqsa yang
telah disebut di dalam kitab suci al-Quran dan al-Hadis yang mana
beribadat di dalamnya mendapat seribu ganda pahala berbanding di tempat-tempat lain.
Masjid al-Aqsa di dalam bahasa Arab bermaksud ‘masjid yang jauh’,
merujuk pada jaraknya yang berjauhan daripada bumi Mekah yang
menempatkan Masjid al-Haram. Di sini juga menjadi tapak kepada salah
satu peristiwa terpenting di dalam Islam iaitu Isra’ dan Mikraj yang
mana ketika itu, Nabi Muhammad S.A.W telah dinaikkan ke langit untuk
menghadap Allah S.W.T. Baitulmaqdis juga menjadi kiblat pertama umat
Islam sebelum berpindah ke Mekah, iaitu kira-kira selama enam belas
bulan. Kedua-dua peristiwa besar Islam ini iaitu pembinaan Masjid
al-Aqsa dan peristiwa Isra’ Mikraj ini berlaku di atas tapak Haram al-Sharif.
Selain itu, Masjid Kubah Batu turut dibina berdekatan dengan Masjid
al-Aqsa dan telah dibina pada zaman pemerintahan Khalifah Abdul Malik
semasa era Bani Umayyah. Diriwayatkan senibina masjid ini yang begitu
indah dengan kubah berwarna keemasannya yang menonjol adalah untuk
menyaingi kehebatan senibina gereja-gereja di sekitar Baitulmaqdis yang
menjadi tumpuan ramai pelawat. Kini Masjid Kubah Batu menjadi antara
monumen tertua orang Islam yang sangat dikenali.
Masjid ini mendapat namanya berikutan dipercayai didirikan di atas
tapak batu terapung yang terjadi ketika peristiwa Isra’ dan Mikraj.
Ironinya batu ini juga dianggap suci oleh penganut Yahudi disebabkan
kepercayaan bahawa ia merupakan pusat bagi ‘Mount Temple’ dan dianggap
sebagai asas untuk pembinaan kuil mereka satu masa nanti.
Tetapi menurut catatan sejarah ketika Khalifah Umar al-Khattab r.a
yang bertanggungjawab menjadikan Baitulmaqdis sebagai salah sebuah
wilayah Islam, setibanya di kota ini beliau lalu bertanyakan mengenai
batu yang menjadi tempatnya Baginda Rasul dinaikkan ke langit, lalu
ditunjukkan oleh penduduk kota pada sebuah batu terbiar di atas tanah
tinggi yang dikepungi oleh tembok. Lebih malang apabila kaum Yahudi
mengotorkan kawasan itu dengan najis dan sampah sarap sebagai tanda
penghinaan kepada lokasi peristiwa Isra’ Mikraj itu. Khalifah Umar
membersihkan kawasan itu bersama-sama dengan orang Mukmin yang lain dan
membina Masjid al-Aqsa buat kali pertamanya di bumi Baitulmaqdis itu
Masyarakat Yahudi menganggap Haikal ketiga dan sepatutnya menjadi
yang terakhir seharusnya dibangunkan di atas lokasi yang sama iaitu
Haram al-Sharif bahkan perkara yang sama turut dicatatkan di dalam
kitab Injil. Perebutan tapak suci inilah yang menjadi teras konflik
antara Islam dan Yahudi selanjutnya menjadikan kawasan suci ini sebagai
tempat krisis yang masih belum selesai sehingga sekarang.
Salah satu tembok yang mengelilingi Haram al-Sharif ini,
iaitu tembok di bahagian barat ataupun ‘Western Wall’ ini menjadi
tempat suci bagi penganut Yahudi. Tembok yang dibina lebih daripada
2,000 tahun yang lampau ini merupakan satu-satunya bahagian Haikal
kedua mereka yang masih wujud. Mereka menganggap Tuhan mereka berada di
sebalik tembok itu dan pandangan mereka terhalang disebabkan dosa-dosa
yang telah mereka lakukan. Oleh kerana itu lokasi ini menjadi tempat
mereka beribadat dan meratap di atas dosa-dosa yang mereka lakukan dan
amalan ini masalah berlangsung sehingga sekarang ini, susulan dengan itu
kadang-kadang tembok ini juga dirujuk sebagai ‘Wailing Wall’ ataupun
tembok ratapan.
Mengikut agama Kristian pula, Baitulmaqdis juga mendapat kedudukan
yang mulia dan dianggap sebagai tanah suci mereka. Nabi Isa A.S yang
dilahirkan di Baitullaham iaitu sebuah bandar yang berhampiran dengan
Baitulmaqdis terus dibawa ke Baitulmaqdis sebaik sahaja dilahirkan.
Semasa remajanya, penganut Kristian percaya bahawa Nabi Isa A.S pernah
berkhidmat untuk mencuci Haikal kedua yang pada ketika itu masih
tertegak utuh di Baitulmaqdis. Selain itu juga, peristiwa penyaliban
dipercayai berlaku di dalam kawasan Baitulmaqdis tetapi lokasi yang
tepat masih lagi menjadi pertikaian sarjana-sarjana Kristian.
Pendapat yang paling diterima ramai adalah peristiwa itu berlaku pada
tapak di mana tertegaknya sebuah gereja yang dianggap paling suci oleh
penganut Kristian iaitu Gereja ‘Holy Sepulchre’, salah sebuah gereja di
dalam kawasan kota lama. Di sini juga dianggap sebagai lokasi orang yang
mereka percayai sebagai Nabi Isa A.S dimakamkan. Kota Baitulmaqdis
sehingga kini masih menerima pengunjung Kristian yang ramai dari seluruh
dunia terutamanya menjelang musim Easter.
Perang Salib yang berlaku pada 1099 Masihi juga menunjukkan keazaman
penganut Kristian untuk menawan tanah suci ini daripada penguasaan orang
Islam dan mereka telah berjaya menduduki kota ini selama kira-kira 200
tahun sehinggahlah kota ini dibebaskan oleh panglima Islam yang unggul
iaitu Salahuddin al-Ayubbi pada tahun 1187 Masihi. Diriwayatkan bahawa
ketika tentera salib dihalau sepenuhnya dari kota, Salahuddin al-Ayubbi
sendiri yang membersihkan Masjid al-Aqsa yang dijadikan kandang kuda
oleh tentera salib, manakala Masjid Kubah Batu yang dijadikan sebagai
gereja dikembalikan fungsinya sebagai sebuah masjid.
Penguasaan orang Islam berterusan sehinggalah ke akhir zaman Khalifah
Uthmaniyyah yang menyaksikan Baitulmaqdis dikuasai oleh British
sehinggalah mandat penguasaan itu tamat. Kewujudan negara Israel pada
tahun 1948 menyaksikan peperangan antara Arab dan Yahudi berlaku untuk
menguasai wilayah Palestin yang ketika itu dibahagikan secara berat
sebelah oleh badan dunia PBB.
Penduduk Arab yang mewakili dua pertiga diperuntukkan hanya sepertiga
kawasan sementara sepertiga Yahudi mendapat selebihnya tanah Palestin.
Ketika itu PBB mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai wilayah antarabangsa
tetapi pertempuran tentera Israel dan Arab menyebabkan bahagian barat
kota jatuh ke tangan Yahudi dan diisytiharkan sebagai ibu kota negara
Israel tetapi tidak diiktiraf oleh dunia.
Bahagian timur Baitulmaqdis dikuasai oleh negara Jordan, termasuklah kawasan kota lama Baitulmaqdis ini. Sehingga waktu ini, Haram al-Sharif merangkumi keluasan hampir seperlima daripada keluasan kota lama Baitulmaqdis masih dikuasai oleh orang Islam.
Kota lama Baitulmaqdis terbahagi kepada empat bahagian. Bahagian
pertama adalah bahagian orang Islam iaitu bahagian yang terbesar antara
kesemua bahagian, Kompleks Haram al-Sharif adalah sebahagian daripada
kawasan orang Islam. Bahagian kedua adalah bahagian Yahudi dan
selebihnya merupakan bahagian Kristian dan bahagian Kristian Armenia,
iaitu bahagian yang paling kecil antara semua. Walaupun Orang Armenia
juga merupakan penganut Kristian, tetapi mereka mendapat kawasan mereka
sendiri di dalam kota dan bilangan mereka juga hanya kecil jika
dibandingkan dengan kumpulan-kumpulan lain. Ketika Jordan menguasai kota
lama, penganut Yahudi tidak dibenarkan beribadat di sekitar ‘Western Wall’ ataupun
tembok ratapan itu dan kebanyakan tempat ibadat Yahudi ditutup dan
sebahagian bahagian orang Yahudi di kota lama turut menempatkan penduduk
Arab yang menjadi pelarian akibat wilayah mereka dirampas oleh Israel.
Tetapi perang pada tahun 1967 merubah lanskap kota ini sampai
sekarang. Penglibatan Jordan di dalam perang negara-negara Arab dengan
Israel menyebabkan bahagian timur kota ini jatuh ke tangan Yahudi, lebih
teruk apabila wilayah Palestin yang selebihnya turut jatuh bersama
sehinggalah ke Tebing Barat Sungai Jordan. Mesir pula kehilangan
Semenanjung Sinai dan Genting Gaza sementara Syria terlepas Tanah Tinggi
Golan.
Bermulanya kejatuhan Baitulmaqdis ini menyaksikan banyak pencabulan
dilakukan oleh bangsa Yahudi ke atas Baitulmaqdis. Antaranya menjadikan
kawasan ‘Western Wall’ sebagai tapak ibadat mereka selain pembinaan
penempatan haram Yahudi yang mengelilingi kejiranan Arab di dalam usaha
memastikan kota ini didominasi secara penuh oleh Yahudi. Penempatan
masyarakat Yahudi turut dibina di dalam bahagian orang Islam.
Rumah-rumah penduduk Palestin dirampas dan digantikan dengan
perumahan Yahudi. Lebih teruk lagi apabila kerajaan Israel meluluskan
akta yang menggabungkan timur dan barat Baitulmaqdis sebagai satu kota
dan menjadi ibu kota Israel yang rasmi menggantikan Tel Avivyang
sebelum ini menempatkan kedutaan-kedutaan asing. Pejabat Presiden dan
Perdana Menteri, kediaman Presiden dan Perdana Menteri, bangunan
Parlimen, Mahkamah Agung dan kementerian-kementerian Israel semuanya
dipindahkan ke Baitulmaqdis secara beransur-ansur.
Masjid al-Aqsa juga beberapa kali telah dicabuli termasuklah dibakar
oleh fanatik Yahudi sehingga membawa kemusnahan mimbarnya. Paling
diingati adalah peristiwa yang berlaku pada tahun 2000, lawatan penuh
provokasi Perdana Menteri Israel ketika itu iaitu Ariel Sharon ke
kompleks Haram al-Sharif. Untuk rekod, Ariel Sharon
terlantar koma akibat serangan strok semasa masih bertugas sebagai
Perdana Menteri pada tahun 2006 dan masih tidak sedarkan diri.
Perlu diingatkan bahawa walaupun Israel menguasai kota ini secara
total namun pengawalan kompleks Haram al-Sharif diberikan kepada badan
Islam sebagai kawasan wakaf dan juga Raja Jordan dianggap sebagai
penjaga Masjid al-Aqsa. Bendera negara Israel juga tidak dibenarkan
dikibarkan di sekitar Haram al-Sharif. Penganut agama
lain juga dilarang memasuki kompleks suci ini dan askar-askar serta
polis Israel berkawal di pintu masuk dan pengunjung mesti membuktikan
mereka ini adalah Islam sebelum memasuki kompleks untuk beribadat.
Langkah ini diambil bagi mengelakkan terjadinya pertikaian seterusnya
membawa kepada pertumpahan darah memandangkan lokasi ini amat sensitif
bagi semua penganut agama samawi.
Namun sampai bilakah langkah ini berterusan menjadi tanda tanya
memandangkan sikap kerajaan zionis Israel sendiri yang suka melakukan
provokasi ke atas penduduk Palestin dan pengyahudian Baitulmaqdis bukan
lagi sesuatu agenda yang rahsia.
Hari ini, Kota Baitulmaqdis masih berada di bawah kekuasaan bangsa
Yahudi yang menyimpan impian untuk meruntuhkan Masjid al-Aqsa yang mahu
digantikan dengan Haikal ketiga mereka yang dipercayai menjadi Haikal
terakhir mereka, malahan mereka bertungkus lumus melakukan aktiviti
carigali di sekitar kompleks Haram al-Sharif untuk menguatkan dakwaan pemilikan mereka ke atas kawasan suci itu sebelum terbinanya masjid-masjid di atasnya.
Mengikut berita yang tersebar luas, mereka melakukan penggalian di
bawah tapak masjid sehingga meletakkan Masjid al-Aqsa dan Masjid Kubah
Batu di dalam risiko keruntuhan akibat aktiviti yang kononnya
berlandaskan kerja-kerja arkeologi itu. Kaum Yahudi kelihatan begitu
teruja untuk merealisasikan pembinaan Haikal Sulaiman mereka itu, bagi
mereka pembinaan itu adalah sesuatu yang menjadi tuntutan agama mereka
dan perlu dilaksanakan, yang menjadi persoalan hanyalah bila
Haikal Sulaiman itu akan dibangunkan?
Via: I Luv Islam : Ammarblog
Tiada ulasan:
Catat Ulasan