Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang..selawat serta salam buat junjungan mulia kekasih teristimewa.....
Assalamu'alaikum
dan salam sejahtera buat bakal suamiku, moga Allah sentiasa merahmati
dan memberkati dirimu yang jarang kutemui, namun doaku tidak pernah
putus mengiringi setiap langkahmu demi meraih keredhaanNya…“Seindah
perhiasan dunia adalah wanita yang sholehah,” Kumulakan warkah ini
dengan bait indah yang ditinggalkan Rasulullah saw kepada seisi alam.
Wanita solehah! Idaman semua muslimin di alam maya ini..Alhamdulillah,
itulah anjuran Islam yang kita cintai, pilihlah wanita yang mampu
menyejukkan pandanganmu dan juga baitul muslim yang bakal dibina tika
sampai saat itu, insyaAllah.
Calon zaujku,
”Dinikahi
seorang wanita itu kerana empat perkara hartanya, keturunannya,
kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah hal keagamaannya, maka
beruntunglah kedua-dua tanganmu..” Telah dinukilkan panduan sepanjang
zaman, itulah lirikan utama buatmu memilih calon isteri. Tiap baris itu
telah menjadi hafalanku sejak aku mengenali dunia baligh ini. Jika harta
yang kau idamkan, ketahuilah diriku tidak punya apa-apa harta di dunia
ini melainkan ilmu agama yang telah dititipkan buatku oleh keluarga yang
disayangi. Tiada harta untuk kupersembahkan dalam taklik ijab kita
nanti. Tiada harta sebagai jaminan bahawa kau akan menikmati sedikit
kesenangan apabila ijab bersaksi telah dilafazkan. Hanya ketenangan yang
mampu aku sediakan buatmu kerana aku pernah terbaca kata-kata ... "Dan
di antara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah Dia menciptakan untukmu
isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa
tenteram kepadanya, dan dijadikannya di antaramu rasa kasih dan sayang.¨
(Ar-Rum: 21)
Jika
keturunan yang mulia itu yang kau dambakan, ketahuilah jua ibu dan ayah
telah menitipkan aku di bawah pengawasan Allah sebagai penjaga mutlak
diriku. Namun apa yang pasti, aku adalah keturunan mulia, ayahanda Nabi
Adam as dan bonda Hawa as, sama seperti mu. Ingin aku berkongsi lafaz
sahih ini denganmu ... ”... maka bertawakkallah kepada Allah,
sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepadaNya. Jika Allah
menolong kamu maka, tiada seseorangpun yang boleh menghalang kamu, dan
jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang dapat menolong kamu
sesudah Allah (menetapkan demikian) ? dan ingatlah kepada Allah jualah
hendaknya orang yang beriman itu berserah diri...” (Ali Imran :
159-160)
Kecantikan,
itulah pandangan pertama setiap insan. Malah aku meyakini bahawa kau
juga tidak terlepas seperti insan yang lain. Ketahuilah, jika kecantikan
itu yang kau inginkan daripada diriku, kau telah tersalah langkah.
Tiada kecantikan yang tidak terbanding untuk kupertontonkan padamu.
Telah aku hijabkan kecantikan diriku ini dengan amalan ketaatan kepada
tuntutan agama yang kucintai. Kau hanya membuang masa jika kau
menginginkan kecantikan lahiriah semata-mata.
Aku
tidak menjanjikan aku mampu membahagiakan rumahtangga kita nanti,
kerana aku memerlukan engkau untuk bersama-samaku menegakkan dakwah
islamiyyah ini, dan aku merelakan diri ini menjadi penolongmu untuk
membangunkan sebuah markas dakwah dan tarbiyyah ke arah jihad hambaNya
kepada Penciptanya yang agung. Melalui pencarian ilmu agama bersama,
marilah kita jadikan pernikahan ini sebagai risalah demi meneruskan
perjuangan Islam. Aku masih kekurangan ilmu agama, tetapi berbekalkan
ilmu agama yang telah dibekalkan ini, aku ingin menjadi isteri yang
sentiasa mendapat keredhaan Allah dan suamiku untuk memudahkan aku
membentuk usrah muslim antara aku, kau dan anak-anak kita untuk
dibaiahkan dengan ketaatan kepada Allah Yang Maha Esa.
Aku
bercita-cita bergelar pendamping solehah, seperti mana yang dijanjikan
Rasul, " Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada lelaki yang bangun di
tengah malam lalu dia sembahyang dan membangunkan isterinya, maka
sekiranya enggan juga bangun untuk bersembahyang, dia merenjiskan air ke
mukanya. Semuga Allah memberi rahmat kurnia kepada wanita yang bangun
di tengah malam lalu bersembahyang dan membangunkan suaminya. Maka jika
dia enggan, dia merenjiskan air kemukanya." (Riwayat Abu Daud dengan
Isnad yang sahih)
Renungilah
FirmanNya ini, lalu kau akan tahu hakikat diriku dan dirimu
dipertemukan oleh Allah atas namanya pertemuan dan jodoh. “Hai sekalian
manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari
diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan
daripada keduanya Allah memperkembangbiakkan lelaki dan perempuan yang
banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) namaNya
kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan
silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (An
Nisaa’ : 1) Calon Suamiku yang dirahmati, " Kaum lelaki itu adalah
pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian
mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka
(lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka".(An-Nissa':34)
Membenarkan
seperti apa yang telah Dia katakan dalam QalamNya yang mulia, aku
meyakini bahawa engkau adalah pemimpin untukku dan anak-anak pewaris
kejihadan Islam yang bakal lahir. Jadikanlah pernikahan ini sebagai asas
pembangunan iman dan bukannya untuk memuaskan bisikan syaitan yang
menjadikan ikatan pernikahan sebagai tunjang nafsu semata-mata. Moga
diriku dan dirimu sentiasa didampingi kerahmatan dan keredhaanNya.
Lakukanlah tanggungjawabmu itu dengan syura kesabaran, qanaah ketabahan
moga kita akan menjadi salah satu daripada jemaah saf menuju ke syurga
insyaAllah. Ingin aku berbicara mengenai pemberianmu kepadaku.
Kau
membimbangkan akan kehendak bersifat duniawi semata-mata. Ketahuilah,
Benar?! aku tidak menginginkan hantaran bersusun, mas khawin yang hanya
akan menyebabkan hatiku buta dalam menilai erti kita dipertemukan oleh
Allah atas dasar agama. Cukuplah seandainya, maharku sebuah Qalam Mulia,
Al-Quran, kerana aku meyakini Qalam itu mampu memimpin rumahtangga kita
dalam meraih keredhaanNya bukan kekayaan dunia yang bersifat
sementara.
Bantulah
aku dalam menjayakan agama Allah ini melalui pernikahan, kerana ia
adalah laluan untuk aku menyempurnakan separuh daripada agamaku,
insyaAllah. Akhlakmu yang terdidik indah oleh ibu bapa dan orang
sekelilingmu, itulah yang aku harapkan daripada kekayaan duniawi yang
kau sediakan. Kutitipkan sebahagian daripada pembacaanku dalam Jalan
Dakwah Mustaffa Masyhur, tidak lagi wujud keborosan dan kebakhilan
kerana semuanya berada di dalam udara Qana'ah (berpuas hati dengan apa
yang ada), redha dan yakin bahawa dunia ini bukanlah negara
Janatunna'im. Lihatlah rumahtangga Rasulullah s.a.w kadang-kadang
berlalu sebulan demi sebulan, pernah dapurnya tidak berasap kerana tidak
ada bahan makanan yang dapat dimasak. Walaupun demikian susahnya,
rumahtangga Rasulullah s.a.w tetap menjadi rumahtangga yang paling
bahagia yang tidak ada tolok bandingnya hingga ke hari ini. Terlalu
panjang rasanya aku mencoretkan warkah ini.
Cukup
dahulu buat tika ini, andai diizinkan aku akan kembali menitipkankan
lagi kiriman bertintakan hati ini. Akhir bicara, maaf andai tiada
pertemuan yang kususuli kerana padaku biarlah merindu daripada jemu
tatkala kita disatukan.
Wassalam~
.::.
Ya Allah, gembirakan kami dengan redhaMu .::. ~tulang rusuk kirimu~
pertemuan... menghadiahkan kita kasih sayang... jika cinta satu pasti
bertemu... ia tidak ternilai... kerana antara hati kita telah tiada
antaranya lagi yg ada hanyalah cinta kasih Ilahi... kita berpisah hanya
sementara kerna pertemuan bukan milik kita... jasad dan suara berjauhan
sentiasa namun cinta abadi... biar berpisah selalu menderita kerana
syurga menagih ujian sedang neraka dipagari oleh nikmat bertemu tidak
jemu...berpisah tak gelisah...
Oleh, Nabilah binti Azinan
sahabatraudhahblogsport
Tiada ulasan:
Catat Ulasan