Ianya berlaku kepada seorang wanita yang
berusia di pertengahan 30-an.Kejadian itu berlaku pada pertengahan
1980-an semasa saya menguruskan satu rombongan haji. Ketika itu umur
saya 20 tahun dan masih menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah.
Kebetulan ketika itu saya balik ke Mekah sekejap untuk menghabiskan cuti
semester.
Saya menetap di Mekah mulai 1981 selepas
menamatkan pengajian di Sekolah Agama Gunung Semanggol, Perak. Keluarga
saya memang semuanya di Mekah, cuma saya seorang saja tinggal dengan
nenek saya di Perak. Walaupun masih muda, saya ditugaskan oleh bapa
saya, Haji Nasron untuk menguruskan jemaah haji dan umrah memandangkan
saya adalah anak sulung dalam keluarga.
Berbalik kepada cerita tadi, ketibaan
wanita tersebut dan rombongan haji di Lapangan Terbang Jeddah kami
sambut dengan sebuah bas. Semuanya nampak riang sebab itulah kali
pertama mereka mengerjakan haji. Sebaik sampai, saya membawa mereka
menaiki bas dan dari situ, kami menuju ke Madinah. Alhamdulillah,
segalanya berjalan lancar hinggalah kami sampai di Madinah. Tiba di
Madinah, semua orang turun dari bas berkenaan. Turunlah mereka seorang
demi seorang sehingga tiba kepada giliran wanita terbabit.
Tapi tanpa apa-apa sebab, sebaik sahaja
kakinya mencecahkan bumi Madinah, tiba-tiba wanita itu tumbang tidak
sedarkan diri. Sebagai orang yang dipertanggungjawabkan mengurus jemaah
itu, saya pun bergegas menuju ke arah wanita berkenaan. “Kakak ni
sakit,” kata saya pada jemaah-jemaah yang lain. Suasana yang tadinya
tenang serta merta bertukar menjadi cemas. Semua jemaah nampak panik
dengan apa yang sedang berlaku.
“Badan dia panas dan menggigil. Kakak ni
tak sedarkan diri, cepat tolong saya…kita bawa dia ke hospital,” kata
saya.Tanpa membuang masa, kami mengangkat wanita tersebut dan membawanya
ke hospital Madinah yang terletak tidak jauh dari situ. Sementara itu,
jemaah yang lain dihantar ke tempat penginapan masing-masing.
Sampai di hospital Madinah, wanita itu
masih belum sedarkan diri. Berbagai-bagai usaha dilakukan oleh doktor
untuk memulihkannya, namun semuanya gagal. Sehinggalah ke petang, wanita
itu masih lagi koma. Sementara itu, tugas mengendalikan jemaah perlu
saya teruskan. Saya terpaksa meninggalkan wanita tersebut terlantar di
hospital berkenaan. Namun dalam kesibukan menguruskan jemaah, saya
menghubungi hospital Madinah untuk mengetahui perkembangan wanita
tersebut.
Bagaimanapun, saya diberitahu dia masih
tidak sedarkan diri. Selepas dua hari, wanita itu masih juga tidak
sedarkan diri. Saya makin cemas, maklumlah, itu adalah pengalaman
pertama saya berhadapan dengan situasi seperti itu. Memandangkan usaha
untuk memulihkannya semuanya gagal, maka wanita itu dihantar ke Hospital
Abdul Aziz Jeddah untuk mendapatkan rawatan lanjut sebab pada masa itu
hospital di Jeddah lebih lengkap kemudahannya berbanding hospital
madinah. Namun usaha untuk memulihkannya masih tidak berhasil. Jadual
haji mesti diteruskan. Kami bertolak pula ke Mekah untuk mengerjakan
ibadat haji.. Selesai haji, sekali lagi saya pergi ke Jeddah. Malangnya,
bila sampai di Hospital King Abdul Aziz, saya diberitahu oleh doktor
bahawa wanita tersebut masih koma. Bagaimanapun, kata doktor, keadaannya
stabil. Melihat keadaannya itu, saya ambil keputusan untuk menunggunya
di hospital.
Selepas dua hari menunggu, akhirnya
wanita itu membuka matanya. Dari sudut matanya yang terbuka sedikit itu,
dia memandang ke arah saya. Tapi sebaik saja terpandang wajah saya,
wanita tersebut terus memeluk saya dengan erat sambil menangis teresak-
esak. Sudah tentu saya terkejut sebab saya ni bukan muhrimnya. Tambahan
pula kenapa saja dia tiba-tiba menangis??
Saya bertanya kepada wanita tersebut,
“Kenapa kakak menangis?” “Mazlan.. kakak taubat dah Lan. Kakak menyesal,
kakak takkan buat lagi benda-benda yang tak baik. Kakak bertaubat,
betul-betul taubat.”
“Kenapa pulak ni kak tiba-tiba saja nak
bertaubat?” tanya saya masih terpinga-pinga. Wanita itu terus menangis
teresak-esak tanpa menjawab pertanyaan saya itu. Seketika kemudian dia
bersuara , menceritakan kepada saya mengapa dia berkelakuan demikian,
cerita yang bagi saya perlu diambil iktibar oleh kita semua. Katanya,
“Mazlan, kakak ni sudah berumah tangga, kahwin dengan lelaki orang
putih. Tapi kakak silap.
Kakak ini cuma Islam pada nama dan
keturunan saja. Ibadat satu apa pun kakak tak buat. Kakak tak
sembahyang, tak puasa, semua amalan ibadat kakak dan suami kakak tak
buat. Rumah kakak penuh dengan botol arak. Suami kakak tu kakak sepak
terajang, kakak pukul-pukul saja,” katanya tersedu-sedan.
“Habis yang kakak pergi haji ini?”
“Yalah…kakak tengok orang lain pergi haji, kakak pun teringin juga nak
pergi.” “Jadi apa sebab yang kakak menangis sampai macam ni sekali. Ada
sesuatu ke yang kakak alami semasa sakit?” tanya saya lagi.
Dengan suara tersekat-sekat, wanita itu
menceritakan, “Mazlan…Allah itu Maha Besar, Maha Agung, Maha Kaya.
Semasa koma tu, kakak telah di azab dengan seksaan yang benar-benar
pedih atas segala kesilapan yang telah kakak buat selama ini. “Betul ke
kak?” tanya saya, terkejut.
“Betul Mazlan. Semasa koma itu kakak
telah ditunjukkan oleh Allah tentang balasan yang Allah beri kepada
kakak. Balasan azab Lan, bukan balasan syurga. Kakak rasa seperti di
azab di neraka. Kakak ni seumur hidup tak pernah pakai tudung. Sebagai
balasan, rambut kakak ditarik dengan bara api. Sakitnya tak boleh nak
kakak ceritakan macam mana pedihnya. Menjerit-jerit kakak minta ampun
minta maaf kepada Allah.”
“Bukan itu saja, buah dada kakak pula
diikat dan disepit dengan penyepit yang dibuat daripada bara api,
kemudian ditarik ke sana-sini… putus, jatuh ke dalam api neraka. Buah
dada kakak rentung terbakar, panasnya bukan main. Kakak menjerit,
menangis kesakitan.. Kakak masukkan tangan ke dalam api itu dan kakak
ambil buah dada tu balik.” tanpa mempedulikan pesakit lain dan jururawat
memerhatikannya wanita itu terus bercerita.
Menurutnya lagi, setiap hari dia
diseksa, tanpa henti, 24 jam sehari. Dia tidak diberi peluang langsung
untuk berehat atau dilepaskan daripada hukuman sepanjang masa koma itu
dilaluinya dengan azab yang amat pedih.
Dengan suara tersekat-sekat, dengan air
mata yang makin banyak bercucuran, wanita itu meneruskan ceritanya,
“Hari-hari kakak diseksa. Bila rambut kakak ditarik dengan bara api,
sakitnya terasa seperti nak tercabut kulit kepala.. Panasnya pula
menyebabkan otak kakak terasa seperti menggelegak. Azab itu cukup
pedih…pedih yang amat sangat…tak boleh nak diceritakan. ” sambil
bercerita, wanita itu terus meraung, menangis teresak-esak. Nyata dia
betul-betul menyesal dengan kesilapannya dahulu.
Saya pula terpegun, kaget dan menggigil
mendengar ceritanya. Begitu sekali balasan Allah kepada umatnya yang
ingkar. “Mazlan… kakak ni nama saja Islam, tapi kakak minum arak, kakak
main judi dan segala macam dosa besar.
Kerana kakak suka makan dan minum apa
yang diharamkan Allah, semasa tidaksedarkan diri itu kakak telah diberi
makan buah-buahan yang berduri tajam. Tak ada isi pada buah itu
melainkan duri-duri saja. tapi kakak perlu makan buah-buah itu sebab
kakak betul-betul lapar. “Bila ditelan saja buah-buah itu, duri-durinya
menikam kerongkong kakak dan bila sampai ke perut, ia menikam pula perut
kakak.
Sedangkan jari yang tercucuk jarum pun
terasa sakitnya, inikan pula duri-duri besar menyucuk kerongkong dan
perut kita. Habis saja buah-buah itu kakak makan, kakak diberi pula
makan bara-bara api. Bila kakak masukkan saja bara api itu ke dalam
mulut, seluruh badan kakak rasa seperti terbakar hangus.
Panasnya cuma Allah saja yang tahu. Api
yang ada di dunia ini tidak akan sama dengan kepanasannya. Selepas habis
bara api, kakak minta minuman, tapi…kakak dihidangkan pula dengan
minuman yang dibuat dari nanah. Baunya cukup busuk. Tapi kakak terpaksa
minum sebab kakak sangat dahaga. Semua terpaksa kakak lalui… azabnya tak
pernah rasa, tak pernah kakak alami sepanjang kakak hidup di dunia
ini.”
Saya terus mendengar cerita wanita itu
dengan tekun.. Terasa sungguh kebesaran Allah. “Masa di azab itu, kakak
merayu mohon kepada Allah supaya berilah kakak nyawa sekali lagi,
berilah kakak peluang untuk hidup sekali lagi. Tak berhenti-henti kakak
memohon. Kakak kata kakak akan buktikan bahawa kakak tak akan ulangi
lagi kesilapan dahulu. Kakak berjanji tak akan ingkar perintah Allah
akan jadi umat yg soleh.
Kakak berjanji kalau kakak dihidupkan
semula, kakak akan tampung segala kekurangan dan kesilapan kakak dahulu,
kakak akan mengaji, akan sembahyang, akan puasa yang selama ini kakak
tinggalkan.” Saya termenung mendengar cerita wanita itu. Benarlah, Allah
itu Maha Agung dan Maha Berkuasa.. Kita manusia ini tak akan terlepas
daripada balasannya. Kalau baik amalan kita maka baiklah balasan yang
akan kita terima, kalau buruk amalan kita, maka azablah kita di akhirat
kelak. Alhamdulillah, wanita itu telah menyaksikan sendiri kebenaran
Allah.
“Ini bukan mimpi Mazlan. Kalau mimpi
azabnya takkan sampai pedih macam tu sekali. Kakak bertaubat Mazlan,
kakak tak akan ulangi lagi kesilapan kakak dahulu. Kakak bertaubat…
kakak taubat nasuha,” katanya sambil menangis-nangis.
Sejak itu wanita berkenaan benar-benar
berubah. Bila saya membawanya ke Mekah, dia menjadi jemaah yang paling
warak. Amal ibadahnya tak henti-henti. Contohnya, kalau wanita itu pergi
ke masjid pada waktu maghrib, dia cuma akan balik ke biliknya semula
selepas sembahyang subuh.
“Kakak…yang kakak sembahyang teruk-teruk
ni kenapa. Kakak kena jaga juga kesihatan diri kakak. Lepas sembahyang
Isyak tu kakak baliklah, makan nasi ke, berehat ke…” tegur saya. “Tak
apalah Mazlan. Kakak ada bawa buah kurma. Bolehlah kakak makan semasa
kakak lapar.” menurut wanita itu, sepanjang berada di dalam Masjidil
Haram, dia mengqadakan semula sembahyang yang ditinggalkannya dahulu.
Selain itu dia berdoa, mohon kepada
Allah supaya mengampunkan dosanya. Saya kasihan melihatkan keadaan
wanita itu, takut kerana ibadah dan tekanan perasaan yang keterlaluan
dia akan jatuh sakit pula. Jadi saya menasihatkan supaya tidak beribadat
keterlaluan hingga mengabaikan kesihatannya. “Tak boleh Mazlan.. Kakak
takut… kakak dah merasai pedihnya azab tuhan. Mazlan tak rasa, Mazlan
tak tau. Kalau Mazlan dah merasai azab itu, Mazlan juga akan jadi macam
kakak. Kakak betul- betul bertaubat.”
Wanita itu juga berpesan kepada saya,
katanya, “Mazlan, kalau ada perempuan Islam yang tak pakai tudung,
Mazlan ingatkanlah pada mereka, pakailah tudung. Cukuplah kakak seorang
saja yang merasai seksaan itu, kakak tak mau wanita lain pula jadi macam
kakak. Semasa di azab, kakak tengok undang-undang yang Allah beri ialah
setiap sehelai rambut wanita Islam yang sengaja diperlihatkan kepada
orang lelaki yang bukan muhrimnya, maka dia diberikan satu dosa. Kalau
10 orang lelaki bukan muhrim tengok sehelai rambut kakak ini, bermakna
kakak mendapat 10 dosa.”
“Tapi Mazlan, rambut kakak ini banyak
jumlahnya, beribu-ribu. Kalau seorang tengok rambut kakak, ini bermakna
beribu-ribu dosa yang kakak dapat. Kalau 10 orang tengok, macam mana?
Kalau 100 orang tengok? Itu sehari, kalau hari-hari kita tak pakai
tudung macam kakak ni??? Allah…”
“Kakak berazam, balik saja dari haji
ini, kakak akan minta tolong dari ustaz supaya ajar suami akak
sembahyang, puasa, mengaji, buat ibadat. Kakak nak ajak suami pergi
haji. Seperti mana kakak, suami kakak tu Islam pada nama saja. Tapi itu
semua kesilapan kakak. Kakak sudah bawa dia masuk Islam, tapi kakak tak
bimbing dia. Bukan itu saja, kakak pula yang jadi seperti orang bukan
Islam.”
Sejak balik dari haji itu, saya tak
dengar lagi apa-apa cerita tentang wanita tersebut. Bagaimanapun, saya
percaya dia sudah menjadi wanita yang benar-benar solehah. Adakah dia
berbohong kepada saya tentang ceritanya di azab semasa koma? Tidak. Saya
percaya dia bercakap benar. Jika dia berbohong, kenapa dia berubah dan
bertaubat nasuha?
Satu lagi, cubalah bandingkan azab yang
diterimanya itu dengan azab yang digambarkan oleh Allah dan Nabi dalam
Al-Quran dan hadis. Adakah ia bercanggah? Benar, apa yang berlaku itu
memang kita tidak dapat membuktikannya secara saintifik, tapi bukankah
soal dosa dan pahala, syurga dan neraka itu perkara ghaib? Janganlah
bila kita sudah meninggal dunia, bila kita sudah di azab barulah kita
mahu percaya bahawa “Oh… memang betul apa yang Allah dan Rasul katakan.
Aku menyesal….” itu dah terlambat..
Semoga menjadi iktibar kepada kita yang selalu lalai terhadap ajaran agama.
BalasPadam