Rabu, 11 Jun 2014

Banjir besar Di Bosnia, paling teruk dalam tempoh 100 tahun We


  
 
SEKITAR pertengahan bulan lalu, nama Bosnia Herzegovina dan Serbia sekali lagi mencuri tumpuan dunia apabila kedua-dua negara itu dilanda banjir terbesar yang disifatkan paling teruk dalam tempoh 100 tahun.

Banjir di kawasan bersejarah Balkan juga menyebabkan lebih 2,000 kejadian tanah runtuh dan meragut lebih 70 nyawa, ratusan ribu penduduk terpaksa dipindahkan serta satu perempat daripada 4 juta penduduknya terjejas teruk.

Malah, pihak berkuasa Bosnia turut membandingkan kemusnahan daripada bencana itu dengan kemusnahan ketika perang melanda Bosnia sekitar tahun 1992 hingga 1995.
 

Difahamkan, hujan lebat turun selama tiga hari hingga mengakibatkan satu pertiga daripada Bosnia menyerupai tasik lumpur apabila landasan kereta api dan jalan raya ditenggelami air.

Menteri Luar Bosnia Zlatko Lagumdzija berkata, lebih 100,000 buah rumah dan bangunan di negara itu musnah dan lebih 1 juta penduduk terputus bekalan air bersih.

“Keadaannya sangat menakutkan. Kemusnahan fizikal yang dialami hampir sama dengan kemusnahan akibat perang.

“Jika 22 tahun dulu, ramai orang kehilangan segala-galanya. Kini, kami sekali lagi tidak mempunyai apa-apa,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Serbia Aleksandar Vucic memberitahu, kewangan di negara tersebut akan terjejas sehingga ratusan juta Euro terutamanya apabila gelombang banjir baharu dari Sungai Rava melanda kompleks Nikola Tesla, sebuah kawasan penjana kuasa utama negara terletak kira-kira 30 kilometer di barat daya ibu negara Belgrade.

“Kami mengharapkan sokongan besar kerana tidak banyak negara pernah mengalami malapetaka seperti ini,” katanya.

 
Bahagian terjejas banjir

Serbia merupakan bahagian paling teruk terjejas di mana beberapa bandar utama ditenggelami air dan tanah runtuh di kawasan pergunungan. Di Bosnia, khususnya di kawasan Republika Sepska lumpuh akibat banjir.

Sementara itu, di Croatia timur dan selatan Romania juga terlibat banjir. Manakala di Austria, Bulgaria, Hungary, Itali, Poland dan Slovakia terjejas oleh ribut.

 
Bosnia

Kebanyakan bahagian utara Bosnia dilanda banjir di mana lembah sungai Bosna adalah paling teruk. Kawasan lain terjejas termasuk Sarajevo Canton, Tuzla, dan wilayah Semberija. Manakala sungai yang mencapai paras tinggi hingga melimpah adalah termasuk Bosna, Vrbas, Drina, Sana dan Sava.

Sehari selepas Bosnia dilaporkan banjir, 24 kematian dicatatkan dan timbul spekulasi bahawa banjir mungkin mengganggu kedudukan periuk api yang tertinggal semasa perang Bosnia yang boleh mendatangkan bahaya.

 
Serbia

Bandar Obrenovac dilanda banjir paling teruk di mana hampir 90 peratus daripadanya ditenggelami air. Pada 15 dan 16 Mei, paras air berhampiran Sungai Kolubara naik beberapa meter secara tiba-tiba menyebabkan seluruh penduduk di kawasan itu dipindahkan.

Sepanjang tempoh banjir, lebih 300,000 isi rumah terputus bekalan elektrik. Menteri Tenaga Aleksandar Antic mencadangkan supaya penduduk menjimatkan elektrik dan menggunakannya dengan lebih berhemah.

Pada 20 Mei, kerajaan Serbia mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari. Malah, Perdana Menteri Aleksandar Vucic menyifatkan banjir itu sebagai bencana paling buruk yang pernah melanda negara itu.

 
Croatia, Romania, Slovakia

Kawasan paling kritikal terjejas adalah di selatan Slavonia. Benteng di Sungai Sava pecah dan air melimpah berhampiran Rajevo Ranau dan Racinovi. Akibatnya, lebih 15,000 terpaksa dipindahkan.

Merupakan banjir kali ketiga yang melanda Romania sejak April lalu. Lebih 8,000 orang dipindahkan dan 2,000 hektar tanah ditenggelami air. Secara keseluruhannya, 125 kampung terjejas dan 30 laluan jalan raya ditutup kerana rosak teruk serta dilitupi lumpur.

 
Ekonomi Balkan lumpuh

Bank Eropah untuk Pembinaan Semula dan Pembangunan (EBRD) menganggarkan jumlah kerugian di dua negara itu mencecah lebih 3 bilion Euro (RM13 bilion).

EBRD memaklumkan, pihaknya meletakkan anggaran kasar kerugian antara 1.5 bilion Euro hingga 2 bilion Euro (RM7 bilion hingga RM9 bilion) di Serbia dan 1.3 bilion Euro (RM6 bilion) di Bosnia.

“Banjir juga boleh memberi kesan makro ekonomi yang agak besar di Serbia dan Bosnia dan memberi kesan kepada pertumbuhan jangka pendek dan inflasi serta keutamaan polisi untuk bajet mereka tahun ini,” menurut bank itu dalam satu kenyataan.

Sektor paling teruk terjejas adalah pertanian kerana kebanyakan tanah yang sesuai untuk sektor tersebut musnah. Kerugian di kedua-dua negara boleh mencecah hingga ratusan juta Euro.

Manakala, kerugian pada sektor tenaga juga dijangka tinggi terutamanya di Serbia di mana kompleks perlombongan terbesar Kolubara yang penting untuk sistem tenaga negara telah ditenggelami air.

Selain itu, jutaan penduduk di kawasan terjejas turut hilang pekerjaan sekali gus menambahkan lagi kesukaran mereka.

Sehingga kini, kerajaan belum menjanjikan sebarang pampasan atau ganti rugi kerana ia melibatkan perbelanjaan besar.

Oleh itu apakah nasib mereka selepas ini? Bagaimanakah mereka boleh meneruskan kelangsungan hidup tanpa sebarang bantuan merupa wang ringgit.

Susulan itu, negara-negara jiran ditagih untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka.

 
Reaksi antarabangsa

38 negara hulur bantuan


Kejadian ini mencetuskan pelbagai kempen bantuan antarabangsa daripada lebih 38 negara termasuk Malaysia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jerman, Itali dan Jepun.

Agensi Bantuan Malaysia (MRA) menyalurkan bantuan bernilai RM43,780 dalam bentuk makanan dan kit kesihatan kepada wilayah di Bosnia. Selain itu, MRA dan beberapa organisasi swasta turut melancarkan tabung bantuan untuk mangsa bencana terbabit.

Manakala PBB turut menyediakan bantuan segera kepada dua negara itu, terutamanya kapasiti Serbia sebagai sebuah negara calon pertubuhan sekali gus melayakkannya menerima bantuan kewangan.

Sekumpulan pasukan pakar PBB mengatakan bahawa pembinaan semula besar-besaran, pemulihan dan usaha pembersihan amat diperlukan bagi membaik pulih keadaan Serbia selepas dilanda bencana alam itu.

Malah, dalam laporan kepada kerajaan Serbia, PBB memberi amaran berkaitan risiko kesihatan daripada air bertakung, potensi risiko kepada alam sekitar dan kerosakan kepada pertanian selain kemusnahan rumah serta infrastruktur.

“Laporan ini adalah titik permulaan. Kami tidak sabar untuk bekerja dengan kerajaan Serbia, Kesatuan Eropah dan Bank Dunia mengenai penilaian tentang keperluan jangka panjang negara ini yang dipanggil Penilaian Keperluan Selepas Bencana (PDNA),” menurut Penyelaras Residen PBB di Serbia, Irena Vojackova-Sollorano.

 
Bantuan selebriti

•Pemain tenis Serbia Novak Djokovic mendermakan kesemua wang tunai AS$500,000 (RM1.7 juta) yang dimenanginya pada perlawanan tenis Terbuka Itali 2014 selepas mengalahkan Rafael Nadal. Selain itu, dia turut mengumpul tambahan AS$100,000 (RM321,000) menerusi Dana Novak Djokovic.

•Ahli perniagaan Romania, Ion Tiriac yang juga pemilik Kejohanan Terbuka Masters Mutua Madrilena Madrid tenis, bekas pemain tenis dan hoki mendermakan AS$100,000 (RM321,000) kepada mangsa banjir di Serbia.

•Pelakon Angelina Jolie menderma AS$50,000 (RM161,000) kepada Bosnia dan Serbia.

•Pemuzik terkenal Bosnia, Goran Bregovic mendermakan 20,000 Euro (RM88,000) ke Bosnia.

•Pemain bola sepak Bosnia Miralem Pjanic membeli keperluan perubatan yang sama nilainya seperti sebuah farmasi.
 http://realitiabadi.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda Berkenan .

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...