Rabu, 25 Jun 2014

Fakta - Apa itu “Cucuk Air Tulang Belakang / Lumbar Puncture” ?


( * Lumbar bermaksud satu segmen di tulang belakang yang agak hujung sekali    * Puncture bermaksud tebuk atau cucuk.)

Secara ringkasnya, lumbar puncture adalah suatu prosedure yang dilakukan untuk mendapatkan sample air saraf ataupun cecair selaput otak ( cerebrospinal fluid ), ia juga sering dipanggil “air tulang belakang” kerana cecair ini diperolehi daripada kawasan tulang belakang )

Cecair ini menyelaputi otak dan saraf tunjang. Apabila lumbar puncture dilakukan, sebatang jarum halus digunakan untuk memperolehi cecair ini dengan mencucuk di hujung tulang belakang (kawasan tulang lumbar ) kerana di sini adalah tempat yang paling senang dan selamat.








Bagaimana lumbar puncture dilakukan ?

Suatu jarum halus (lebih kurang sama seperti jarum yang digunakan untuk mengambil darah dari tangan/kaki bayi) dicucuk menembusi kulit di bahagian bawah tengah belakang badan ( di kawasan antara tulang lumbar ke-3 dan ke-4). Apabila jarum sampai ke kawasan yang mengandungi cecair saraf, maka titisan cecair ini akan keluar dan dikumpul dalam botol-botol untuk dihantar ke makmal.

Tidak banyak cecair diambil dan kehilangan sedikit cecair ini tidak akan membawa apa-apa kesan kepada anak, dan cecair ini akan digantikan balik oleh badan dalam masa kurang daripada dua hari.

Adakah lumbar puncture sesuatu yang membahayakan ?

Tidak, ia tidak bahaya kerana dilakukan mengikut tatacara oleh doktor. Doktor dan jururawat juga akan memastikan ia dilakukan dengan bersih supaya tidak menyebabkan jangkitan kuman.

Doktor akan memastikan anak tidak mempunyai masalah tekanan tinggi dalam otak dan masalah darah susah membeku supaya tiada komplikasi daripada lumbar puncture.

Ia tidak akan menyebabkan lumpuh
Ia tidak akan menyebabkan lumpuh kerana jarum yang dimasukkan langsung tidak kena pada saraf tunjang kerana jarum akan dimasukkan pada aras di bawah penghujung saraf tunjang ini.

Mengapa anak saya perlu buat lumbar puncture?

Ia secara umumnya dilakukan untuk salah satu sebab yang berikut:-

1)   Untuk mengesan bukti jangkitan kuman dalam cecair saraf/selaput otak

2)   Untuk mengesan tekanan dalam cecair saraf

3)   Untuk mengesan unsur-unsur kimia dalam cecair saraf – seperti protein, gula dan sebagainya.

Tujuan yang spesifik untuk anak anda akan diterangkan oleh doktor yang merawat anak.

Cecair ini adalah suatu bahan yang mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan otak kerana cecair menyelaputi otak, maka dengan mengkaji cecair ini, kita akan mendapat maklumat yang penting mengenai kesan pada otak akibat daripada penyakit yang dihadapi.

Apa yang perlu dilakukan sebelum prosedur ini ?

Anak anda perlu berpuasa dari makan/minum sebelum prosedur (biasanya 4 jam sebelum). Doktor akan menerangkan prosedur ini kepada anda, dan menjawab soalan daripada anda. Kemudian, anda akan diminta untuk menandatangani borang memberi izin.

Bergantung kepada umur anak anda, dia mungkin akan diberi ubat untuk menyebabkan dia rasa mengantuk. Kadang-kala ubat bius yang lebih kuat diperlukan. Krim bius juga boleh disapukan pada kawasan belakang badan yang akan dicucuk, supaya tidak merasa kesakitan cucuk jarum.

Apa akan berlaku kepada anak saya semasa prosedur ini?

Lumbar puncture biasanya dilakukan di dalam bilik rawatan di wad kanak-kanak. Dia akan baring atas katil dengan mengiring ke kiri, dengan lutut kakinya dirapatkan ke dada supaya ruang antara tulang belakang lebih terbuka. Seorang jururawat atau doktor akan membantu untuk mengekalkan kedudukan ini.



Doktor yang melakukan prosedur ini akan mencuci tangan, dan memakai sarung tangan yang bersih, dan mencuci kulit di kawasan yang akan dicucuk, dan ditutup oleh suatu kain yang bersih. Jarum dimasukkan diantara ruang tulang lumbar ke-3 dan ke-4, dan titisan cecair yang keluar akan dikumpul dalam beberapa botol. Botol ini akan dihantar ke makmal untuk dikaji.

Apa masalah yang boleh berlaku dalam prosedur ini ?

Sebenarnya agak jarang untuk berlaku masalah dalam lumbar puncture. Namun, ada beberapa keadaan yang mungkin berlaku :-

- Tidak dapat memastikan pesakit berada dalam kedudukan kerana tidak tidur, dan cuba melawan. Sekiranya ini berlaku, prosedur ini perlu ditunda atau dirancang untuk membuat dibuat di dewan bedah dengan bius penuh.

- Kadang-kadang, ia adalah susah untuk doktor mengenalpasti tempat untuk dicucuk, dan perlu mendapatkan bantuan seorang doktor yang lain. Ini boleh mengambil lebih banyak masa, dan juga mungkin perlu ditunda.

- Ada juga mungkin berlaku pendarahan sedikit yang boleh menyebabkan cecair selaput otak yang dikumpul itu bercampuran dengan darah yang akan menyukarkan analisa yang tepat.

- Kawasan yang dicucuk mungkin akan mengalami sedikit lebam daripada pendarahan atau sedikit cecair selaput otak yang berkumpul di bawah kulit. Ini tidak bahaya dan boleh dielakkan dengan baring atas katil untuk sejam.

- Sesetengah pesakit boleh mendapat sakit kepala akibat prosedur ini kerana sedikit penurunan dalam tekanan dalam otak, sakit ini akan reda  secara spontan dalam masa 24 hingga 48 jam. Sekiranya perlu, pesakit boleh diberikan ubat paracetamol.

Apa akan berlaku selepas prosedur ini?

Tempat yang dicucuk akan ditampal, dan anak digalakkan untuk baring atas katil selama satu jam. Dia boleh minum/makan apabila sedar sepenuhnya. Plaster yang ditampal boleh ditanggalkan selepas 24 jam. Sebahagian daripada keputusan makmal boleh diperolehi dalam masa beberapa jam dan laporan kajikuman biasanya ambil masa beberapa hari.

Akhir kata, saya sangat berharap artikel ini dapat menjawab soalan-soalan anda mengenai prosedur ini, dan boleh membantu anda dalam membuat keputusan. Sekali lagi saya ingin tegaskan bahawa prosedur ini tidak akan menyebabkan lumpuh, tetapi sebaliknya adalah suatu ujian yang penting dalam rawatan jangkitan selaput otak supaya rawatan yang terbaik dan paling tepat boleh diberikan kepada pesakit.

( written by Dr Foo Chee Hoe )
 http://bahtera-rumahtangga.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...